NEW DELHI - Gabungan parti pembangkang India membantah keganasan dan ucapan kebencian yang semakin memuncak terhadap umat Islam di negara itu.
Gesaan itu dibuat oleh 13 parti politik pada Sabtu.
"Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan komunal di beberapa negeri baru-baru ini.
"Kami bimbang terhadap laporan insiden yang berlaku,” menurut kenyataan bersama parti politik berkenaan.
Madhya Pradesh, Karnataka, Uttar Pradesh, Rajasthan, Gujarat dan Delhi antara negeri yang menyaksikan serangan terhadap umat Islam dan harta benda mereka oleh kumpulan nasionalis Hindu.
Menurut kenyataan bersama itu, keadaan yang berlaku amat membimbangkan dan malang sekali tiada tindakan sewajarnya diambil setakat ini.
Penandatangan kenyataan itu termasuk Presiden Parti Kongres, Sonia Gandhi; Ketua Menteri Tamil Nadu, MK Stalin; Ketua Parti Kongres Nasionalis, Sharad Pawar; Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee; Ketua Menteri Jharkhand, Hemant Soren dan pemimpin Rashtriya Janata Dal, Tejashwi Yadav.
Menurut pemimpin pembangkang, mereka terkejut dengan sikap berdiam diri Perdana Menteri, Narendra Modi berhubung keganasan komunal oleh perusuh bersenjata.
Sambutan Ramadan bagi umat Islam di Madhya Pradesh bertukar tragedi apabila rumah yang menjadi tempat perlindungan dan kedai sumber mereka mencari rezeki dirobohkan pihak berkuasa.
Ia dirobohkan ketika penganut Hindu menyambut festival Ram Navami selepas kemuncak keganasan tercetus sejak 10 April lalu.
Kumpulan perusuh daripada kalangan penganut Hindu keluar ke jalan raya dan menyerang serta membuat ucapan kebencian terhadap orang Islam semasa perayaan berkenaan di beberapa kawasan seperti Madhya Pradesh, Gujarat, Jharkhand dan Bengal Barat.
Namun, akhirnya, komuniti Islam yang dipersalahkan dan mereka ‘dipaksa untuk bertanggungjawab’ atas kekecohan yang berlaku.
Media sosial dibanjiri dengan imej jengkaut besar berwarna kuning yang melakukan kerja-kerja perobohan.
Perdana Menteri, Narendra Modi yang mewakili Parti Bharatiya Janata (BJP) adalah pemimpin yang dilantik di kawasan Madhya Pradesh.
Saluran berita NDTV melaporkan Menteri Perumahan India, Narottam Mishra dengan angkuh berkata, sekiranya orang Islam melancarkan serangan seperti itu, tiada keadilan buat mereka.
Sementara itu, penduduk di New Delhi pada Sabtu mengadakan protes mengutuk Islamofobia yang berleluasa di seluruh negara.
Dalam protes aman dianjurkan oleh rakyat yang menentang jenayah kebencian dan keganasan menyasarkan minoriti Islam di New Delhi, penunjuk perasaan memegang sepanduk bertulis anti-Islam.
Kes keganasan terhadap umat Islam telah dilaporkan di sekurang-kurangnya lapan negeri di India sejak beberapa hari kebelakangan ini semasa perarakan Ram Navami.
Parti BJP telah dipersalahkan kerana mencetuskan ketegangan antara majoriti penganut Hindu dan Muslim di negeri yang memerintah.
Sembilan orang ditahan di negeri Uttar Pradesh pada Jumaat atas tuduhan membakar rumah seorang lelaki Islam yang berkahwin dengan seorang wanita Hindu.
Keganasan terhadap umat Islam dan minoriti lain telah berlaku sejak pemisahan benua kecil pada 1947, tetapi dekad yang lalu menyaksikan peningkatan dramatik penguasaan Hindu sayap kanan.
Berdasarkan laporan kumpulan hak asasi manusia, Parti BJP yang memerintah telah menerima pakai pelbagai undang-undang dan dasar menghalalkan prasangka terhadap minoriti agama sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya umat Islam. – Agensi
Klik di sini untuk terus membaca