SHAH ALAM - Seramai 5.3 juta pencarum yang memohon Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bakal menerima RM10,000 bermula 20 April ini berdepan risiko untuk menjadi mangsa sindiket penipuan.
Pakar kriminologi, Nadiah Syariani Md Shariff berkata, ini kerana sindiket berkenaan menggunakan pelbagai taktik untuk memperdayakan mangsa.
"Nasihat saya jika pencarum menerima sebarang panggilan telefon supaya tidak mudah panik dan jangan kongsikan maklumat peribadi seperti nombor Mykad atau nombor akaun bank kepada orang yang tidak dikenali.
"Sekiranya pencarum telah sedia maklum tentang taktik-taktik yang digunakan scammer ini, lebih mudah untuk berfikir dengan jelas dari terperangkap menjadi mangsa.
Dalam masa sama, pencarum yang berdepan dengan situasi tersebut diingatkan agar segera membuat laporan polis supaya maklumat tersebut berguna kepada orang lain.
Pada Sabtu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan pihaknya mula menerima aduan daripada pencarum yang diganggu sindiket penipuan melibatkan permohonan Pengeluaran Khas KWSP.
Meskipun tiada data spesifik, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, berdasarkan laporan awal, sindiket itu dipercayai mencari mangsa secara dalam talian.
KWSP pada Sabtu mengumumkan sebanyak 5.3 juta permohonan untuk kemudahan Pengeluaran Khas diterima sejak dibuka pada 1 April hingga Khamis lalu, yang membabitkan amaun pengeluaran berjumlah RM40.1 bilion.
Sementara itu, Pakar Psikologi, Profesor Dr Ruhani Mat Min berkata, sifat semula jadi manusia yang cepat panik apabila berada dalam kebimbangan melampau menjadi faktor seseorang individu itu mudah terperangkap dengan penipu.
Beliau berkata, ini kerana dalam tempoh tersebut emosi mangsa tidak stabil, selain ingin segera keluar daripada permasalahan yang sengaja dicipta oleh scammer.
"Sindiket ini akan mewujudkan suasana di mana kita akan berasa terancam dan tidak selamat dengan pelbagai penipuan antaranya kita dikatakan terlibat dengan jenayah.
"Apabila kita mendapat panggilan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara dan sebagainya kita akan menjadi panik dan berada dalam suasana yang sangat tertekan,” katanya.
Tambah beliau, bagi mengelak daripada menjadi mangsa sindiket, orang ramai dinasihatkan supaya tidak cemas dan mengambil masa untuk bertenang apabila menerima panggilan meragukan.
"Apabila kita menerima panggilan daripada individu yang mencurigakan, ambil masa bertenang kerana ia akan membantu kita berfikir secara lebih waras, sekali gus dapat mengelak daripada menjadi mangsa penjenayah ini.
"Jangan terburu-buru dan buat semakan dulu, sebelum melakukan sesuatu tindakan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca