SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu menyambung semula perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik (CSA) yang ditandatangani antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) selepas ia... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu menyambung semula perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik (CSA) yang ditandatangani antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) selepas ia tamat, pada 31 Julai depan.

Sebaliknya, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Dr Azmi Hassan berpandangan, sudah tiba masanya Perdana Menteri mengambil langkah berani dengan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 secepat mungkin.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi mengembalikan kuasa dan mandat untuk memilih kerajaan baharu lebih stabil kepada lebih 21.1 juta pengundi berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh negara.

Namun bagi PH katanya, ia bukan masa yang sesuai sambil mengharapkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri meneruskan CSA kerana penerimaan rakyat terhadap mereka merudum jika tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini menjadi batu pengukur.

Katanya, sebelum ini kerajaan terpaksa menandatangani CSA dengan PH kerana tidak mahu mengadakan PRU lebih awal bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 dan menstabilkan ekonomi negara.

Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak timbul selepas negara memasuki fasa peralihan endemik dan kejayaan kerajaan mengadakan PRN Melaka, Sarawak dan Johor, sebelum ini.

Azmi Hassan

"Saya berpandangan Perdana Menteri tidak wajar menyambung semula CSA dengan pembangkang selepas tamat, pada 31 Julai nanti.

"Ini kerana jika Perdana Menteri meneruskan perjanjian berkenaan maka ia memperlihatkan kerajaan sekarang dalam kedudukan amat lemah dan takut dengan ugutan serta terpaksa bergantung kepada ihsan PH untuk terus mentadbir negara," katanya kepada Sinar Premium.

Azmi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kewajaran Perdana Menteri meneruskan CSA dengan PH sehingga tahun depan biarpun banyak pihak melihat PRU15 wajar diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat memilih kerajaan lebih stabil menerusi proses demokrasi.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, tindakan UMNO menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri dan 'poster boy' dalam PRU15 nanti adalah suatu langkah bijak bagi menunjukkan masalah dalam parti sudah selesai dan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada mereka.

Malah katanya, Ismail Sabri juga menjadi antara pemimpin Barisan Nasional (BN) yang boleh diterima oleh parti lain termasuk Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) jika mereka memerlukan sokongan serta kerusi tambahan untuk membentuk kerajaan baharu selepas PRU15 nanti.

"Ini kerana berdasarkan penelitian dan kajian dilakukan oleh banyak mendapati BN/UMNO tidak mampu menang lebih daripada 112 daripada 222 kerusi Parlimen dan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendiri tanpa bergabung dengan parti lain termasuk GPS, Pas dan Bersatu atau PH pada PRU15 nanti," katanya.

Untuk rekod, PH menang PRU14 dan diberikan mandat untuk membentuk kerajaan Persekutuan selepas memperoleh 113 diikuti oleh BN sebanyak 79 kerusi, Pas (18), Warisan (8), Bebas (3) dan lain-lain satu kerusi.

Bagaimanapun, kerajaan PH hanya mampu bertahan selama 22 bulan susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri, pada 23 Februari 2020 serta tindakan Bersatu dan Ahli Parlimen PKR diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar PH.

Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudian berjaya mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 1 Mac 2020.

Namun, kerajaan PN pimpinan Muhyiddin hanya mampu bertahan selama kira-kira 17 bulan susulan tindakan 14 Ahli Parlimen BN diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan mereka menarik sokongan diberikan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu, pada 9 Ogos 2021.

Tindakan itu membuka laluan kepada Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri ke-9 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, pada 21 Ogos 2021 dan seterusnya menandatangan CSA dengan PH pada September 2021.

Klik di sini untuk terus membaca