SHAH ALAM - Kekerapan panggilan daripada scammer sejak akhir-akhir ini mengundang rasa bimbang dalam kalangan orang ramai, khususnya bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelang pembayaran Pengeluaran Khas bermula 20 April... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kekerapan panggilan daripada scammer sejak akhir-akhir ini mengundang rasa bimbang dalam kalangan orang ramai, khususnya bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelang pembayaran Pengeluaran Khas bermula 20 April ini.

Rata-rata daripada mereka meminta pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pihak bank meningkatkan pemantauan dan tahap keselamatan akaun bank pengguna serta menyekat nombor-nombor yang mencurigakan.

Penjawat awam, Mahadi Ismail, 48, mengakui ada menerima panggilan mencurigakan yang mendakwa daripada Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.

"Panggilan scam ini saya sudah terima banyak kali, termasuk yang mendakwa daripada Bank Negara. Pemanggil menyatakan akaun bank saya ada masalah dan turut meminta maklumat peribadi bagi pengesahan akaun.

"Saya bernasib baik sebab tahu sedikit sebanyak mengenai scam ini melalui media, jadi saya abaikan dan letak telefon sahaja,” katanya.

Pereka seni, Muhamad Syamil Jamidan, 33, turut berdepan situasi sama dan mengharapkan kerajaan mengambil langkah keselamatan sewajarnya.

Katanya, panggilan yang diterima semakin kerap menyebabkan dia berasa bimbang dengan keselamatan wangnya di bank.

Omar Mukhtar Mohd Nor, 39, yang juga penjawat awam turut mengakui ada menerima panggilan mencurigakan yang mendakwa daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Saya pada mulanya ingatkan pemanggil adalah wakil LHDN disebabkan dia menggunakan talian tetap tapi yang mencurigakan bila dia menelefon pada hari cuti. Mereka ini menggunakan pelbagai taktik nak menipu tapi ada kalanya bila difikirkan, ada yang tidak logik,” ujarnya.

Penjawat awam, Zulkifli Muda, 41, pula mengakui semakin kerap menerima panggilan daripada scammer menyebabkan dia mula berasa bimbang.

Bagaimanapun katanya, dia mengambil pendekatan untuk tidak mengangkat panggilan orang yang tidak dikenali, selain menggunakan aplikasi yang boleh mengesan nama pemanggil.

Pensyarah, Dr Mohd Shukri Baba, 51, berkata, dia ada menerima panggilan yang mendakwa daripada pihak kastam.

"Panggilan scam ini memang sudah acap kali saya terima dan makin kerap. Mungkin pihak berkuasa ada kaedah tertentu untuk menyekat nombor yang mencurigakan,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca