SHAH ALAM - Tempahan hotel bagi perantau yang pulang meraikan Hari Raya Aidilfitri di kampung pada tahun ini menunjukkan peningkatan sekitar 30 peratus pada 1 hingga 5 Mei nanti.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Tony Goh berkata, selain itu, peningkatan juga berlaku susulan orang ramai mengambil peluang untuk melancong bersama-sama keluarga pada musim cuti panjang.
"Setakat ini, hotel-hotel di Pulau Pinang mula menunjukkan peningkatan dan hingga hari ini, kami masih menerima pertanyaan mengenai kekosongan bilik terutama untuk awal Mei nanti.
"Kebanyakan pengunjung sudah mula membuat tempahan hotel semenjak dua minggu lalu,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel berkata, setakat ini hanya berlaku sedikit peningkatan bagi negeri seperti Kelantan dan Terengganu dalam tempoh tersebut iaitu dengan kadar 15 peratus sahaja.
Ujarnya, terdapat perantau pulang ke kampung namun terpaksa menginap di hotel kerana rumah keluarga yang kecil.
"Hotel bajet telah merekodkan penurunan tempahan bermula Ramadan sehingga kini dan kebanyakan hotel hanya mencapai 15 peratus sahaja.
"Namun, masih awal untuk kita lihat tempahan tinggi mungkin juga atas faktor mengelakkan wang tempahan hotel mereka hangus jika berlaku perkara yang tidak diingini,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng menjangkakan tempahan hotel di beberapa destinasi di seluruh negara dijangka menunjukkan peningkatan sekitar 40 hingga 45 peratus secara purata pada 1 hingga 5 Mei depan.
Bagaimanapun katanya, sejak pandemik Covid-19, orang ramai cenderung membuat tempahan hotel di saat terakhir.
"Ini dijangka berterusan dengan tempahan hotel seawal tiga ke empat minggu sehingga 24 hingga 48 jam sebelum tarikh penginapan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Hotel The Light Pulau Pinang, K Raj Kumar berkata, tempahan hotelnya meningkat sebanyak 30 peratus menjelang cuti panjang pada awal Mei depan.
"Awal Mei ini tempoh cuti panjang, jadi ramai ambil nak bercuti bersama keluarga,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca