KERAJAAN Sri Lanka telah mengisytiharkan penggantungan sementara terhadap semua pembayaran balik hutang luar negaranya dengan mendakwa ia tidak lagi dapat memenuhi obligasinya berikutan keadaan kewangan yang semakin teruk akibat kejutan... Klik di sini untuk terus membaca

KERAJAAN Sri Lanka telah mengisytiharkan penggantungan sementara terhadap semua pembayaran balik hutang luar negaranya dengan mendakwa ia tidak lagi dapat memenuhi obligasinya berikutan keadaan kewangan yang semakin teruk akibat kejutan faktor-faktor luaran dan domestik.

Penggantungan sementara itu dibuat selepas krisis ekonomi melanda negara berkenaan sejak beberapa tahun lalu sehingga mengakibatkan jadual pembayaran hutang luar negara berjumlah AS$51 bilion (RM216.98 bilion) tidak dapat dibuat selepas mengalami kehabisan pertukaran asing untuk mengimport barangan yang sangat diperlukan.

Sejak kemerdekaannya pada tahun 1948 daripada British, Sri Lanka telah mengekalkan rekod pembayaran hutang luar negaranya yang bersih.

Namun berikutan perkembangan politik dan masalah kesihatan global seperti pandemik Covid-19 dan Perang Ukraine ia telah melemahkan kedudukan belanjawan negara berkenaan.

MASALAH PENTADBIRAN

Ramai ahli ekonomi Sri Lanka juga menyatakan bahawa krisis ekonomi di negara itu telah diburukkan lagi dengan salah urus pentadbiran kerajaan dan pinjaman wang yang terkumpul sejak bertahun-tahun.

Baru-baru ini, Presiden negara itu, Gotabaya Rajapaksa pernah berkata, krisis pertukaran asing adalah punca kepada isu semasa sambil menambah beliau sedar tentang kesukaran yang dihadapi oleh orang ramai yang beratur panjang untuk membeli barangan keperluan.

Rizab asing Sri Lanka yang berjumlah AS$7.5 bilion (RM31.91 bilion) semasa Mahinda Rajapaksa iaitu abang kepada Gotabaya mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada November 2019 berikutan peletakan jawatan Ranil Wickramasinghe turun kepada AS$2.3 bilion (RM9.79 bilion) pada akhir Februari lalu.

Krisis ekonomi yang melanda negara itu mula dirasai selepas pandemik Covid-19 menjejaskan pendapatan penting daripada sektor pelancongan dan kiriman wang.

Kerajaan pula terpaksa mengenakan larangan import untuk memulihara rizab mata wang asing yang semakin berkurangan dan kini digunakan untuk membayar hutang-hutangnya.

Bagaimanapun, ia gagal untuk melunaskan jadual pembayaran hutang buat sementara waktu.

Sebelum ini, Sri Lanka terpaksa melaksanakan larangan meluas ke atas pembelian barangan import pada Mac 2020 dalam usaha untuk menyelamatkan mata wang asing yang diperlukan bagi membayar balik pembayaran hutangnya hampir AS$7 bilion (RM bilion) tahun ini mengikut jadual.

Krisis ekonomi di negara itu diburukkan lagi dengan kesan Perang Ukraine.

Ini adalah kerana sektor pelancongan negara tersebut telah dibelenggu oleh kemerosotan pelancong asing sebelum ini.

Ia bermula dengan perang saudara melibatkan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan Covid-19, namun pasca pemulihan selepas pandemik itu bermula lewat pada tahun lalu dengan hampir 100,000 pelancong datang pada Februari lepas.

Bagaimanapun, pada lewat bulan Februari, Rusia menyerang Ukraine sekali gus mengganggu industri pelancongan dan menyukarkan Sri Lanka keluar daripada pembayaran balik pinjamannya yang semakin meningkat.

HARGA MAKANAN NAIK 30 PERATUS

Krisis ekonomi itu turut menjejaskan penduduk di negara berkenaan apabila data rasmi terkini yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan inflasi mencecah sebanyak 18.7 peratus pada Mac lalu dengan harga makanan melonjak naik kepada 30.1 peratus.

Barisan panjang orang ramai yang beratur untuk membeli petrol dan minyak tanah manakala sekurang-kurangnya lapan orang maut ketika menunggu dalam barisan untuk mendapatkan bahan api.

Perdana Menteri Sri Lanka itu sebelum ini pernah menggesa penduduk supaya memainkan peranan mereka dengan menjimatkan penggunaan tenaga import untuk membantu pihak berkuasa menguruskan rizab pertukaran asing yang terhad kerana dengan mengehadkan penggunaan bahan api dan elektrik sebanyak mungkin.

Kekurangan diesel amat ketara sehingga mencetuskan kemarahan di seluruh negara, manakala pihak pembekal elektrik pula terpaksa menguatkuasakan pemotongan elektrik sebanyak 13 jam setiap hari baru-baru ini kerana ia tidak mempunyai bekalan bahan bakar tersebut.

Masalah kekurangan bekalan bahan api dialami oleh penduduk Sri Lanka. - Foto AFP

Beberapa hospital kerajaan pula menghadapi kekurangan ubat yang digunakan untuk menyelamatkan nyawa telah bertindak menghentikan pembedahan rutin.

Seorang penduduk, KW Shiromi yang juga pemilik restoran makanan laut di tepi pantai negara itu berkata kepada AFP bahawa buat masa kini semua barangan mahal dan sangat sukar untuk menjalankan perniagaan.

Bagaimanapun, kerajaan telah menyatakan bahawa ia sedang mencari wang bagi menyelamatkan keadaan di negara itu termasuk memohon pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sambil meminta lebih banyak hutang daripada India dan China.

Agensi rating kredit Amerika Syarikat (AS), S&P Global Ratings pula menyatakan baru-baru ini bahawa Sri Langka mungkin mengambil masa berbulan-bulan untuk menyusun semula hutang asingnya sehari selepas negara tersebut mengumumkan ia tidak akan mampu membayar hutang asing mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Berikutan krisis ekonomi itu yang masih belum menemui jalan penyelesian, ramai penduduk termasuk ativis-aktivis parti pembangkang melakukan protes bagi menuntut Presiden dan Perdana Menteri meletakkan jawatan kerana gagal menangani masalah ekonomi negara. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca