MENURUT Food and Agriculture Organization (FAO), sejumlah AS$1.3 bilion ataupun satu pertiga daripada jumlah makanan akan dibazirkan setiap tahun. Pembaziran makanan juga adalah antara isu utama di Malaysia kerana sisa makanan merupakan... Klik di sini untuk terus membaca

MENURUT Food and Agriculture Organization (FAO), sejumlah AS$1.3 bilion ataupun satu pertiga daripada jumlah makanan akan dibazirkan setiap tahun.

Pembaziran makanan juga adalah antara isu utama di Malaysia kerana sisa makanan merupakan jumlah terbesar daripada keseluruhan sisa pepejal isi rumah, iaitu sebanyak 40 peratus.

Menerusi Tinjauan Kesedaran dan Tingkah Laku Masyarakat Terhadap Amalan Menghargai Makanan Elak Pembaziran 2021 oleh SWCorp yang melibatkan 2,248 orang responden, hanya 49.7 peratus responden mengakui tidak pernah melakukan pembaziran makanan dalam kehidupan seharian mereka.

Malah, hanya 65 peratus responden merancang pembelian dengan menyediakan senarai barangan sebelum memasuki premis peruncitan.

Lebih menyedihkan, tinjauan agensi itu mendapati cuma 48.4 peratus responden ada membuat perancangan awal sebelum pembelian manakala selebihnya membeli mengikut perasaan.

Berdasarkan statistik Food Aid Foundation, rakyat Malaysia membuang 15,000 tan makanan setiap hari.

Daripada jumlah tersebut, 3,000 tan makanan masih boleh dimakan yang mana jumlah tersebut mencukupi untuk memberi makan dua juta orang kelaparan.

Selanjutnya dapatan tahun 2019 mendapati, isi rumah atau keluarga adalah penyumbang terbesar iaitu 30 peratus kepada keseluruhan 16,650 tan pembuangan sisa makanan di Malaysia setiap hari.

Secara purata, sebuah keluarga yang terdiri daripada empat orang membazirkan hampir satu kilogram makanan setiap hari.

Lebih mengejutkan lagi pada Ramadan 2019 sahaja, SWCorp melaporkan rakyat Malaysia membuang 4,005 tan makanan yang masih boleh dimakan.

Setiap kali Ramadan tiba, pembaziran makanan berlaku mendadak. Antara punca utama penghasilan sisa makanan yang tinggi adalah membeli berlebihan, penyimpanan makanan tidak sempurna dan faktor gaya hidup mewah.

Kuantiti sisa makanan turut didapati meningkat sebanyak 15 hingga 20 peratus pada musim-musim perayaan.

Hal ini kerana, semasa perayaan orang ramai cenderung memasak atau menempah banyak makanan untuk tetamu mereka. Akhirnya, satu pertiga atau satu perempat daripada makanan itu terbazir begitu sahaja.

TANGANI PENGURUSAN SISA

Masalah pembuangan makanan ini amat membimbangkan kerana pelupusan makanan ini seharusnya dilakukan dengan cara betul supaya ekosistem tidak terjejas.

Natijahnya, makanan yang dibuang perlu diproses untuk dilupuskan sehingga mengakibatkan kerajaan terpaksa membelanjakan berbilion ringgit untuk tujuan pengurusan sisa.

Dari segi alam sekitar, pembuangan yang kemudiannya diikuti dengan pereputan sisa makanan menyumbang kepada penghasilan gas rumah hijau (GHG) yang menyumbang kepada pemanasan global, iaitu sebanyak 12 peratus daripada jumlah keseluruhan penghasilan GHG di Malaysia.

Tapak pelupusan sisa juga adalah punca utama pelepasan gas metana di Malaysia iaitu gas utama yang merosakkan lapisan ozon.

Pembaziran makanan di Malaysia adalah serius dan perlu ditangani segera. Kebanyakan orang cenderung membeli lebih banyak makanan daripada yang mereka perlukan.

Maka, dalam usaha mengurangkan sisa makanan, isi rumah perlu memastikan untuk hanya membeli sekadar memenuhi keperluan mereka selain hanya masak makanan secukupnya setiap hari.

Buat senarai barangan yang perlu dibeli dan ikuti senarai tersebut bagi membantu mengurangkan nafsu membeli barangan yang tidak diperlukan.

Makanan yang tidak habis dimakan turut boleh dikitar semula dengan cara yang kreatif, misalnya nasi putih boleh dikitar semula menjadi nasi goreng. Sisa makanan dan makanan basi pula boleh digunakan untuk membuat baja kompos.

Berhemah dalam berbelanja untuk makanan bukan sahaja boleh menyumbang kepada penjimatan belanja harian isi rumah, malah ia juga boleh membantu negara dalam usaha untuk mengurangkan perbelanjaan untuk memproses sisa pepejal.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca