SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui namanya masih lagi calon tunggal Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum ke-15. Pengerusi PH itu bagaimanapun... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui namanya masih lagi calon tunggal Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Pengerusi PH itu bagaimanapun menegaskan, bukan menjadi keutamaan PH ketika ini untuk menamakan calon PM bagi PRU15 atau 'poster boy' mewakili gabungan parti itu.

Beliau sebaliknya berkata, menyantuni dan membantu rakyat merupakan perkara penting yang perlu diberi perhatian.

"Setakat ini saya tidak lihat ada apa-apa perubahan (nama calon PM untuk PH).

"Kita boleh bincang (siapa calon PM) bagi saya tiada masalah, cuma pada pendapat saya bukan keutamaan (buat masa ini).

"Walaupun pada umumnya PKR sudah tahu calonnya, DAP juga sudah umumkan dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam perbualannya dengan saya setakat ini tidak ada perubahan (calon PM),” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian, portal Malaysiakini dan The Vibes di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, UMNO sebelum ini sebulat suara memutuskan untuk mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon PM pada PRU15.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini turut mencadangkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diangkat sebagai calon PM dalam PRU15.

Sementara itu, Anwar tidak melihat polemik perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai di antara PH dan kerajaan, adalah terlalu penting untuk dibincangkan ketika ini.

Anwar ketika wawancar khas di pejabatnya pada Isnin. - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID

BELUM PASTI PRU15

Ujarnya, hal ini kerana penamatan tempoh perjanjian MoU yang bakal berakhir selepas Julai tahun ini, belum pasti akan mencetuskan pelaksanaan PRU15.

Jelas Presiden PKR itu, perkara tersebut terpulang kepada pendirian parti-parti kerajaan dan pembangkang untuk menentukan bentuk keutamaan bersama yang perlu dicapai selepas perjanjian MoU berakhir.

Ujarnya lagi, ini kerana MoU itu sendiri hanya sekadar wahana mencari jalan menyelamatkan keadaan sewaktu pandemik Covid-19 masih berlangsung.

"Saya tidak fikir ini (polemik MoU) terlalu penting untuk PH kerana dahulu PH setuju bagi menghormati penekanan kuat Yang di-Pertuan Agong terhadap keperluan kerjasama di antara parti kerajaan dan pembangkang tanpa mengira siapa pun PM.

"Daripada titik tolak itu, kita cerakinkan beberapa isu mengikut keutamaan kita termasuk usaha menangani Covid-19, masalah kemiskinan dan mereformasikan Parlimen. Saya tidak katakan rakyat puas hati sepenuhnya, tetapi kita tidak boleh nafikan kejayaannya atas desakan Yang di-Pertuan Agong.

"Jadi belum pasti tiada MoU kelak, maka PRU15 akan terus dilaksanakan. Itu terpulang kepada pendirian parti kerajaan dan pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan MKT UMNO yang tidak menyambung MoU selepas 31 Julai.

Mengulas lanjut, Anwar mengakui tuntutan penamatan MoU dan pelaksanaan PRU15 segera sememangnya dilaung-laungkan UMNO yang mula naik angkuh dan merasakan mereka mampu menang semua pilihan raya selepas kejayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Namun begitu, beliau yakin UMNO belum tentu akan menang pada PRU15 memandangkan pola dan corak sokongan rakyat pada ketika itu berbeza dengan mereka akan lebih berminat untuk keluar mengundi.

"UMNO hanya boleh beri pendapat mereka sahaja dengan mereka tidak boleh anggap diri sebagai pemerintah dan boleh menentukan segala-galanya, sedangkan parti itu hanya mempunyai 42 kerusi Parlimen.

"Saya hendak nasihatkan mereka bahawa dalam mana-mana kerajaan, kita harus lihat kekuatan kita dan kena terima kenyataan bahawa rundingan MoU adalah di antara PH dan PM serta pasukan dalam kerajaannya.

"Berbalik kepada isu MoU, saya hendak jelaskan kita (PH) akan pastikan perjanjian itu (dipenuhi) sehingga akhir Julai ini dan bersedia berunding sekiranya mahu diteruskan,” tegasnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca