KENYATAAN bahawa peperangan membawa kemakmuran dan keamanan membawa kehancuran adalah sesuatu yang mungkin dianggap sebagai tidak masuk akal.
Ia bercanggah dengan segala-galanya mengikut sejarah pemikiran kemanusiaan.
Kenyataan ini juga kedengaran sumbang, namun sekiranya diteliti secara subjektif ia mempunyai kebenaran tersendiri yang agak sukar disingkap menggunakan pemikiran yang tidak pernah berani melangkah keluar dari kotak keselesaan minda dan budaya.
Baru-baru ini, negara Sri Lanka telah membuktikan bahawa kenyataan yang unik ini telahpun menjadi satu kenyataan.
Negara pulau suatu masa dahulu saban hari menghiasi kaca TV global dengan imej pertempuran berdarah antara pemberontak dan tentera kerajaan. Ianya berlarutan dari tahun 1983 sehinggalah 2009.
Dianggarkan antara 80,000 hingga 100,000 individu terkorban sepanjang tempoh konflik tersebut.
Ini termasuklah 27,639 pemberontak Tamil Eelam, 21,066 tentera Sri Lanka, 1,000 anggota polis dan 1,500 tentera India yang bertindak sebagai pasukan pengaman dan berpuluh-puluh ribu penduduk awam.
Setelah pemberontakan berjaya ditamatkan, rakyat mengharapkan bahawa keamanan yang dicapai bakal membawa sinar kejayaan.
Untuk beberapa waktu, ia dilihat sebagai satu perkara yang tidak mustahil untuk dicapai.
Malah, kepercayaan rakyat kepada pihak yang dilihat bertanggungjawab membawa Sri Lanka mencapai kemenangan terhadap pemberontak iaitu Kementerian Pertahanannya memuncak pada 2011.
PINJAMAN CHINA
Pada tahun tersebut, kementerian ini telah ditukarkan nama kepada Kementerian Pertahanan dan Pembangunan Bandar.
Keamanan negara telah membolehkan kementerian baharu ini melaksana pelbagai projek mega.
Malah pada 2015, ibu negaranya Colombo telah dinobatkan sebagai salah satu bandar paling pesat membangun di dunia oleh pihak Mastercard.
Apa yang kurang diketahui rakyat marhaen Sri Lanka pada ketika itu ialah bagaimana keamanan yang dikecapi telah melahirkan golongan kayangan dalam strata politik dan ekonomi negara.
Kemahuan untuk memperlihatkan kepesatan pembangunan dan keindahan hidup kepada rakyat telah menyebabkan bank negara Sri Lanka membuat pinjaman yang bukan sedikit dari negara luar.
Pinjaman paling utama sejak tahun 2005 adalah dari China untuk melaksana pelbagai projek infrastruktur mega yang kebanyakannya menjadi gajah putih.
Pada 2019, rakyat melantik kerajaan baharu melalui proses demokrasi. Parti menang majoriti telah menggunakan platform idealisme yang menonjolkan keamanan negara dan kesejahteraan kaum.
Sebaik mencapai kemenangan besar, golongan politik kayangan parti pemerintah telah bertindak seakan menguruskan dana negara sebagai milik pihak tertentu.
Perkara ini dipermudahkan lagi apabila Presiden, Perdana Menteri dan Menteri Kewangannya adalah adik-beradik!
Adik bongsu yang mempunyai kawalan terhadap dana negara dengan berjawatan Menteri Kewangan telah mendapat jolokan nama ‘tuan 10 peratus’.
Gelaran yang dikaitkan dengan tuduhan bahawa beliau akan mengenakan sejumlah komisen pada projek-projek mega kerajaan.
Apabila ekonomi Sri Lanka mula menunjukkan situasi parah pada 2021, beliau mula gagal menghadirkan diri dalam sidang Parlimen menyebabkan isu-isu berkaitan kewangan negara tidak dapat dibahaskan.
Malah, beliau pernah tidak menghadirkan diri ke Parlimen selama empat bulan berterusan!
Untuk mengekalkan populariti, kerajaan Sri Lanka telah memperkenalkan pelbagai potongan cukai kepada rakyat, membenarkan pembalakan di kawasan yang sebelum ini merupakan hutan terlindung, selain memperkenalkan satu revolusi konsep pertanian negara.
Menjelang 2020 hingga tahun 2022 menyaksikan keadaan ekonomi Sri Lanka semakin parah.
Kadar Inflasi terhadap produk makanan melonjak sehingga 30 peratus, catuan elektrik dikenakan antara 10 ke 13 jam sehari. Keadaan ini bertambah buruk akibat pandemik Covid-19.
Baru-baru ini, negara tersebut telah diisytiharkan muflis dan mengumumkan bahawa ia bakal gagal membayar hutang negara yang bernilai AS$51 bilion bagi tahun ini.
Peliknya sepanjang tahun-tahun konflik dan perang saudara, negara pulau tersebut tidak pernah sekali pun terlepas jadual pembayaran hutang luarnya!
Dari sudut pertahanan negara, ia memberi implikasi besar kepada kemampuan negara untuk mempertahankan kedaulatan persempadanan negara, memperoleh aset untuk terus memperkasa kekuatan fizikal angkatan tentera, malah untuk membayar gaji pegawai dan anggota serta menjaga kebajikan keluarga mereka.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007
Klik di sini untuk terus membaca