SHAH ALAM - Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd Samad menafikan wujudnya khemah baharu Pakatan Harapan (PH) seperti diperkatakan calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli. Khalid berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd Samad menafikan wujudnya khemah baharu Pakatan Harapan (PH) seperti diperkatakan calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Khalid berkata, pihaknya tidak mengetahui apa yang dimaksudkan oleh Rafizi tentang khemah baharu, sebaliknya percaya terhadap pendekatan khemah besar yang diamalkan sekarang.

"Pendekatan khemah besar ini ialah nak bekerjasama dengan semua parti pembangkang yang kita tidak buat selama ini.

"Semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kita sebut tapi tak diamalkan, (PRN) Johor sebut tapi tak diamalkan. Kita bekerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pun mereka kecoh,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Rafizi sebelum ini dilaporkan berkata, gabungan PH tidak seharusnya mencari khemah baharu pada saat keadaan politik menjadi semakin sukar.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, PH harus percaya kepada kebolehan mereka sendiri dan keupayaan sekutu mereka iaitu PKR, DAP dan Amanah.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, soal strategi adalah bukan disebabkan tentang adanya kepercayaan kepada rakan atau tidak.

"Strategi ini adalah berdasarkan kepada realiti. Kita sudah nampak semasa PRN Melaka dan Johor di mana kita mempunyai sikap kurang terbuka serta hasilnya pembangkang berpecah dan undi berterabur,” jelasnya.

Naib Presiden PKR, Tian Chua turut sependapat dengan Khalid bahawa isu khemah besar adalah tentang strategi dan PH seharusnya bebas mencari rakan daripada parti yang mempunyai hala tuju yang sama.

Tian Chua

"Kita perlukan kawan-kawan yang boleh bergabung tenaga menuju matlamat yang sama iaitu mengalahkan BN,” jelasnya.

Tambahnya, PH harus belajar daripada sejarah kemenangan pembangkang dalam pilihan raya sebelum ini.

"Dalam sejarah bila bersatu, pembangkang menang. (Contohnya) pada tahun 1990, Tengku Razaleigh Hamzah bangkitkan perpaduan antara DAP dan Pas dan tahun 1990 itu adalah satu kemenangan yang cemerlang untuk pembangkang.

"Pas dapat tawan Kelantan dan DAP hampir tawan Pulau Pinang. Kemudian pembangkang berpecah pada 1994 dan kita kalah,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca