SHAH ALAM - Pusat servis kenderaan kini mencatat peningkatan pelanggan yang mahu menyelenggara kenderaan bagi pulang berhari raya di kampung.
Tinjauan Sinar Harian pada Isnin mendapati bengkel kenderaan di sini mula menerima pertambahan pelanggan sejak Sabtu lalu.
Seorang pemilik bengkel, Rosli Mohd Yunus, 63, berkata, trend peningkatan pelanggan lebih 50 peratus berbanding waktu biasa itu sudah dijangka setiap kali tiba musim perayaan.
"Pelanggan biasanya mula ramai apabila memasuki dua minggu terakhir sebelum raya. Macam semalam (Ahad), tak menang tangan kami nak layan pelanggan,” katanya yang mempunyai empat pekerja.
Dia yang telah lebih 25 tahun membuka bengkel tersebut berkata, penyelenggaraan lazim menjelang hari raya adalah menukar minyak hitam dan penapis minyak enjin, serta menukar pad brek dan tayar.
Seorang lagi pemilik pusat servis kenderaan, Hamidon Kadari, 42, berkata, bengkelnya mengalami peningkatan pelanggan sejak awal bulan ini.
"Hari biasa pun orang dah ramai hantar kenderaan. Ini berbeza dengan bulan-bulan sebelum ini,” ujarnya.
Mengulas isu peningkatan harga alat ganti, Hamidon berkata, kenaikan barangan tersebut berlaku sejak dua bulan lepas, namun sekitar tiga peratus sahaja.
Ujarnya, peningkatan itu juga hanya membabitkan barangan tertentu antaranya minyak hitam dan beberapa alat ganti enjin.
Dia bagaimanapun berkata, pelanggan masih mempunyai pilihan untuk menggunakan alat ganti jenama lain yang lebih murah mengikut kemampuan mereka.
"Jadi kalau minyak hitam jenama ini mahal, pelanggan boleh pilihan jenama lain yang lebih sesuai dengan bajet mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Hamidon berkata, pelanggan sepatutnya tidak menunggu saat akhir untuk menyelenggara kenderaan kerana ia dikhuatiri akan memberi kesan terhadap kualiti servis yang diterima mereka.
"Kalau nak hantar servis ini sebenarnya buat awal-awal pun tak apa sebab tempoh untuk servis berikutnya adalah 5,000 kilometer atau 7,000 kilometer. Jadi cukup untuk bertahan sampai habis raya,” katanya.
Sementara itu, seorang mekanik di sebuah bengkel di sini, Jai Zaini, 49, memberitahu kenaikan harga alat ganti yang berlaku baru-baru ini tidak setinggi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.
"Biasanya kita dapat barangan tersebut daripada pemborong. Kalau pemborong naikkan harga, kita pun terpaksa naikkan juga.
"Memang kita kalau boleh kita tidak mahu bebankan pelanggan. Sebab itu kita akan maklumkan kepada pelanggan mengenai peningkatan harga tersebut,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca