SHAH ALAM - Kurangnya perlindungan terhadap beberapa jawatan utama di dalam negara termasuk dalam isu proses pemecatan menjadi punca menyebabkan wujudnya elemen campur tangan politik dalam pelantikan jawatan berkenaan. Pakar Perlembagaan,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kurangnya perlindungan terhadap beberapa jawatan utama di dalam negara termasuk dalam isu proses pemecatan menjadi punca menyebabkan wujudnya elemen campur tangan politik dalam pelantikan jawatan berkenaan.

Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, kemudahan proses pemecatan terhadap sesuatu jawatan penting dilihat membolehkan adanya ruang untuk berlaku campur tangan politik.

"Sebagai contoh, Peguam Negara pada asal peruntukan (perlembagaan) semasa kita merdeka, pemecatan peguam negara ini atau ‘security of tenure’ itu sangat tinggi. Ini sebelum berlaku pindaan.

"...jadi apabila dipinda Perlembagaan (pindaan pada tahun 1963) untuk memudahkan pemecatan, maka di sini mungkin ada ruang untuk campur tangan politik.

"Jadi kita lihat kalau pemecatan atau pertukaran itu mudah dibuat, maka ia memudahkan dan menyebabkan adanya ruang-ruang di dalam Perlembagaan untuk campur tangan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam Program Wacana Sinar siri 339 bertajuk ‘Lantikan Jawatan Utama Benar-Benar Bebas?” yang disiarkan di platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Hadir sama dalam program yang diacarakan oleh Khairil Amri ialah Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Perkara 145 memperuntukkan bahawa penamatan dan pemecatan jawatan Peguam Negara perlu mengikut prosedur yang dilalui dalam pemecatan Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu menurut Perkara 125 hendaklah melalui saranan atau syor sebuah tribunal yang ditubuhkan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Bagaimanapun, peruntukan prosedur pemecatan dan penamatan khidmat sebagai Peguam Negara itu tidak terpakai selepas pindaan dilakukan pada 1963.

Shamrahayu

Shamrahayu berkata, jawatan utama yang mempunyai perlindungan atau ‘security of tenure’ ialah Ketua Audit Negara dan Ketua Hakim Negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi pelantikan berkaitan suruhanjaya, Perlembagaan hanya menetapkan peruntukan membabitkan pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), manakala tiada sebarang peruntukan bagi tujuan lantikan melibatkan jawatan dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Suruhanjaya Kehakiman.

Shamrahayu berkata, tiga institusi yang terlibat dalam pelantikan beberapa pelantikan jawatan utama antaranya hakim, Ketua Audit Negara dan Peguam Negara ialah Yang Di-Pertuan Agong, Perdana Menteri serta Majlis Raja-Raja (MRR).

Mengulas mengenai polemik berkaitan isu pelantikan berdasarkan atas nasihat Perdana Menteri, Shamrahayu berkata, penerokaan tafsiran harus dilakukan menerusi konteks Perlembagaan bagi memastikan kebebasan Yang Di-Pertuan Agong dan (MRR) dalam sesuatu pelantikan.

"Sebab ini juga dinyatakan sebagai hak Yang Di-Pertuan Agong itu ketika menilai nasihat diberikan Perdana Menteri termasuklah nasihat untuk pelantikan sesuatu jawatan.

Tambah beliau, dalam isu pelantikan jawatan utama, Yang Di-Pertuan Agong dan MRR selaku institusi yang seharusnya bersifat neutral dalam perbincangan dan rundingan juga boleh menjadi entiti yang dapat menangkis sebarang ketidakyakinan rakyat terhadap sesebuah pelantikan dilakukan.

Klik di sini untuk terus membaca