SHAH ALAM - Sistem lantikan jawatan tertinggi seperti Ketua Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dilihat dan dikaji semula oleh kerajaan. Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sistem lantikan jawatan tertinggi seperti Ketua Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dilihat dan dikaji semula oleh kerajaan.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, ini kerana, melalui sudut perundangan terkini, terdapat beberapa pelantikan jawatan utama dalam kerajaan mempunyai pengaruh politik tersendiri.

Menurut beliau, bagi kedua-dua jawatan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong itu, seharusnya perlu mendapat nasihat Majlis Raja-Raja terlebih dahulu berbanding Perdana Menteri.

"Saya bercadang tentang pelantikan ini, sudah sampai masanya bahawa pelantikan jawatan tertinggi dalam kerajaan ini bukan setakat atas rundingan Majlis Raja-Raja. bagi saya, Baginda perlu melantik mana-mana jawatan ini apabila dinasihatkan oleh Majlis Raja-Raja.

"Jika kita serahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk memutuskan siapa yang layak untuk berada di jawatan tertinggi ini, ia akan membebaskan mereka yang dilantik daripada pengaruh politik kerana Majlis Raja-Raja merupakan satu majlis yang dipercayai lebih memikirkan kepentingan rakyat.

"Ini adalah satu cadangan yang bagus untuk kita lakukan perubahan. Sudah sampai masanya untuk kita memberikan mandat dan peranan yang lebih besar kepada Majlis Raja-Raja untuk memutuskan jawatan tinggi kerajaan ini.

Dari kiri: Khairil, Dzulkifli dan Shamrahayu ketika Program Wacana Sinar siri 339 bertajuk ‘Lantikan Jawatan Utama Benar-Benar Bebas?” yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Selasa.

"Kita perlu meletakkan mereka (Majlis Raja-Raja) pada tahap yang sebenarnya dalam perlembagaan dan seterusnya menasihati YDPA untuk lantik sesiapa yang layak menerajui institusi penting dalam negara,” katanya pada Isnin dalam Wacana Sinar edisi ke-339 yang bertajuk Lantikan Jawatan Utama Benar-Benar Bebas?

Turut menjadi panelis, Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz manakala Khairil Amri sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata, dengan kaedah pelantikan tersebut, ia membuatkan seseorang individu tersebut berasa lebih yakin untuk bertindak tanpa merisaukan implikasi yang akan diterima.

Tambah beliau, antara punca terdapat banyak perubahan Ketua Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM berbanding Ketua Audit Negara dan Ketua Hakim Negara adalah kerana perundangan yang berbeza.

Jelasnya, bagi Ketua Audit Negara dan Ketua Hakim Negara, Yang di-Pertuan Agong perlu menerima representasi terlebih dahulu daripada Perdana Menteri dan seterusnya menubuhkan tribunal.

"Mereka berdua ini mempunyai proses yang agak sukar, panjang dan rumit untuk dipecat. Tetapi peruntukan ini tidak terpakai kepada Ketua Peguam Negara apatah lagi Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"Dalam sudut pemecatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Perdana Menteri main peranan yang penting. Jadi, bila berlaku perubahan kepada kerajaan, maka peruntukan ini membenarkan perubahan berlaku dengan mudah.

Klik di sini untuk terus membaca