SEMALAM, 17 Ramadan, bersamaan 19 April adalah hari Nuzul Quran. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat 17 Ramadan sewaktu Baginda sedang berkhalwah di Gua Hira.
Malaikat Jibril muncul dan mengajar Baginda membaca surah al-Alaq iaitu lima ayat yang pertama disampaikan.
"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.”
Surah pertama mengajar manusia mengenai asal usul kejadian mereka. Ayat akhir al-Quran yang turun pula ialah ayat 281, surah al-Baqarah pula mengingatkan manusia bahawa mereka akan kembali menemui Pencipta.
"Dan takutlah pada hari (ketika) kamu semua dikembalikan kepada ALLAH. Kemudian setiap orang diberi balasan yang sempurna sesuai dengan apa yang telah dilakukannya, dan mereka tidak dizalimi (dirugikan).”
Saya menulis bersumberkan maklumat melalui carian di Google. Pasti, saya melayari laman-laman yang diyakini seperti laman Bayan Linnas yang dikendalikan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. Dalam pada itu, saya mengulang kaji pengetahuan mengenai al-Quran.
Untungnya saya dan lain-lain insan yang segenerasi dengan saya. Kami telah lalui zaman di tahun 60-an bilamana naskhah al-Quran adalah sesuatu yang rare! Kini kami berasa bertuah mendapat ilmu daripada al-Quran dengan begitu banyak sekali.
Al-Quran pertama saya sebenarnya adalah kitab Muqaddam yang kini lebih dikenali sebagai Juz Amma. Tidak ada kitab Iqra seperti yang digunakan para pelajar hari ini. Sebagai anak Johor, saya bersekolah agama yang dikenali sebagai ‘sekolah petang.’ Pakaian sekolah ialah baju dan seluar putih serta bersongkok dan bersamping hitam.
Bila saya ‘naik al-Quran’ dari Muqaddam, bacaan saya mula lancar. Saya tidak berguru dengan Pak Imam. Cuma sekadar ustaz di sekolah sahaja. Ketika itu masing-masing diminta membaca seorang demi seorang. Alat penunjuk al-Quran ketika itu ialah lidi kelapa. Patah sahaja lidi penyapu emak di rumah, tajamkan hujungnya dan saya sudah ada penunjuk al-Quran. Kawan-kawan saya pula ada yang melipat surat khabar yang ditiruskan di hujung sebagai penunjuk.
Al-QURAN BURUK
Pada tahun 60-an, banyak rumah yang menyimpan al-Quran di atas almari atau di atas alang. Kalau tiada anak di rumah itu yang bersekolah agama, maka al-Quran akan terbiar hingga mereput sendiri. Walaupun ia menjadi buruk dan berhabuk kerana tersepuk, orang kita amat menghormati dan menyimpannya.
Maka timbullah simpulan bahasa ‘al-Quran buruk’ diumpamakan kepada orang tua yang terlantar sakit tetapi tidak boleh dinyahkan dari rumah.
Al-Quran yang ada ketika itu adalah jenis saiz B5, saiz kecil sedikit dari kertas fotostat. Harganya RM5 yang saya beli di kedai runcit India Muslim. Itulah jenis al-Quran yang ada.
Kini, terdapat berpuluh reka bentuk terbitan al-Quran dari saiz poket hinggalah sebesar poster yang digunakan oleh Pak Imam sebagai bacaan ketika memimpin tarawih.
Dahulu, al-Quran yang dianggap istimewa hanyalah yang mempunyai terjemahan. Kini terdapat al-Quran siap dengan terjemahan serta rujukan hadis. Ada bereka bentuk Wakaf Ibtida’, per kata iaitu disertakan makna pada setiap perkataan, per juzuk iaitu al-Quran yang dijilid mengikut juzuk, serta al-Quran tagging untuk memudahkan kita mencari bab-bab yang diingini.
Tidak cukup dengan itu, kita boleh membaca al-Quran melalui aplikasi, melayari laman-laman web dan video dan belajar secara bertalaqi di aplikasi Zoom. Al-Quran kini sudah ada di sekeliling kita.
Soalnya, apakah hati kita digerakkan untuk mencapai dan melafaz satu-satunya mukjizat yang Baginda kongsikan dengan kita?
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca