APAKAH persamaan Trevor Chapman dengan kenalan saya Mat Lazim Suka Menanti (bukan nama sebenar)? Mereka sama-sama peniaga dalam talian. Sama-sama bermula kira-kira 15 tahun dahulu ketika masing-masing berusia awal 20-an.
Mereka juga mendapat inspirasi daripada sumber yang sama. Mat Lazim memberitahu saya, dia terbaca petikan kata-kata billionaire terkenal, Warren Buffet: ‘Jika anda tidak menemui cara untuk membuat duit ketika sedang tidur, maknanya anda akan terpaksa bekerja sehingga mati.” Apabila saya membaca artikel tentang Chapman, rupa-rupanya dia pun mendapat inspirasi daripada petikan itu juga.
Apakah pula yang membezakan mereka berdua? Trevor Chapman mencatat jualan RM4.25 juta (AS$1 juta) dalam masa 92 hari pertama perniagaannya bermula. Mat Lazim pula mencatat RM92 dalam masa 42 hari.
Ada lagi perbezaan lain? Ada. Chapman kini seorang jutawan yang terus membuat duit secara dalam talian, bergerak daripada menjual barangan yang diborong dari China kepada menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan berkaitan e-dagang.
Mat Lazim pula membiarkan laman sesawangnya bersawang sehingga akhirnya mati sendiri. Sekarang dia menjadi broker kereta sewa.
Begitulah. Ada banyak Chapman di luar sana termasuk di negara kita dan ada banyak juga Mat Lazim di sekeliling kita. Mereka bermula dengan impian yang sama, menuju ke arah yang sama tetapi akhirnya sampai di tempat yang berbeza. Yang satu dapat duduk di kerusi empuk, yang satu lagi jatuh terduduk!
Memang benar, teknologi memudahkan kita mencari rezeki. Perniagaan secara dalam talian misalnya bukan sekadar menjadi lubuk emas, tetapi lubuk intan berlian yang tidak pernah dibayangkan kewujudannya oleh nenek moyang kita. Tidak terfikir oleh mereka orang boleh berniaga tanpa ada barangan di depan mata, tanpa premis, tanpa gudang, tanpa stor, malah tanpa kehadiran wang fizikal.
Perniagaan dalam talian juga berkembang amat pesat. Sektor peruncitan sahaja memperlihatkan peningkatan yang boleh menyebabkan bulu kening kita terangkat-angkat kerana kekaguman.
Bayangkan pada tahun 2015 perniagaan runcit secara dalam talian di peringkat global mencatatkan angka AS$2.3 trilion (RM9.79 trilion), melonjak kepada AS$4.9 trilion (RM20.85 trilion) pada tahun 2021 dan dijangka mencecah AS$7.4 trilion (RM31.48 trilion) pada tahun 2025. Itu baru yang runcitnya, belum yang lain-lain.
Saya telah banyak kali menulis tentang betapa besarnya peluang yang menanti dalam perniagaan dalam talian. Dengan ruang pemasaran digital yang hampir tiada batasnya, tiada juga batasan waktu untuk menjalankannya, ia adalah jambatan terdekat untuk membawa seseorang – sesiapa sahaja – kepada kejayaan.
Ia juga mudah dijalankan. Tidak memerlukan modal yang banyak, malah dalam keadaan tertentu tidak memerlukan modal sama sekali. Asalkan ada talian, ada peranti yang dilengkapi aplikasi-aplikasi bersesuaian, anda telah boleh mula berniaga.
KENAPA GAGAL?
Kalau betul semudah itu, kenapa ramai orang yang gagal? Mungkin soalan itu terlintas di fikiran. Saya sendiri pernah bertanya begitu. Saya mengenali berpuluh-puluh kawan rakan yang berniaga secara dalam talian tetapi pada penghujungnya mereka menjadi seperti Mat Lazim. Bukan tidak ada yang berjaya tetapi bilangannya terlalu kecil jika dibandingkan dengan yang gagal.
Pada hemat saya, perkara ini terjadi kerana salah tanggapan kita terhadap konsep mudah. Kita menyangka semua yang mudah itu senang. Hakikatnya tidak begitu. Dalam hal perniagaan dalam talian, untuk memulakan perniagaan memang mudah.
Tetapi itu sama seperti perniagaan-perniagaan di dunia nyata, bukan senang hendak menjadikan ia berjaya.
Kebanyakan orang melangkah masuk ke dunia perniagaan dalam talian secara semberono. Mereka sangka cukup setakat ambil pesanan, semak duit masuk, bungkus barang (jika menggunakan barangan fizikal) kemudian berbaris di kaunter syarikat kurier.
Mereka lupa bahawa dalam apa juga yang dilakukan, aspek ilmu tidak boleh diabai. Hendak rebus telur pun kena ada ilmunya. Kalau buang kulit dulu baru rebus, jangan marah jika emak mentua sibuk cari menantu baharu.
Langkah pertama yang perlu ialah mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun media sosial. Tidak kisahlah Facebook, Twitter, Instagram, Telegram atau apa pun juga. Jika mampu boleh terus bina laman sesawang. Jika tidak memadai dengan akaun di media sosial sahaja.
Dengan menggunakan akaun, atau akaun-akaun itulah nanti anda akan membina kedai. Di situlah anda akan pamerkan barang jualan dan membuat promosi-promosi. Bagi yang memiliki laman sesawang, mereka sering menggunakan media sosial untuk menarik pengunjung atau trafik ke laman mereka.
Di dunia luar, untuk memanggil trafik tidak susah. Rajin-rajinlah langgar lampu merah, akan sampai harinya anggota trafik muncul di depan rumah.
Tetapi dalam perniagaan dalam talian, keadaannya berbeza. Walaupun lebih 4.6 bilion pengguna media sosial di seluruh dunia setiap hari, dengan 1.929 bilion daripadanya menggunakan Facebook, tidak mudah untuk anda tarik 10 orang dari mereka singgah di kedai anda.
Banyak kerja yang perlu dibuat untuk mengajak mereka ke kedai anda. Salah satu daripadanya agak mudah. Anda cuma perlu sediakan duit dan bayar iklan. FB ads, Google ads, Youtube ads, dan banyak lagi sedia membantu ‘menggamit’ pengunjung ke kedai anda. Jika duit berlebihan, gunakan khidmat mereka yang pakar dalam pemasaran digital.
Mereka arif tentang enjin carian dan SEOnya, tentang ranking, kata kunci dan sebagainya. Mereka tahu bagaimana hendak melonjakkan jualan produk anda. Tetapi kena hati-hati juga sebab ada yang mengaku pakar tetapi akaunnya sendiri hanya ada dua, tiga belas pengikut. Itu pun semuanya muka iras-iras.
Satu lagi cara menarik pengunjung ialah menggunakan kaedah organik, yakni kaedah semula jadi. Kerap mengemas kini status, rajin berinteraksi dengan rakan atau pengunjung, menggunakan bahasa dan kesan grafik yang sesuai bagi mempromosi produk, rajin menjelajah ke kedai orang lain dengan tujuan mengharap kunjungan balas, adalah antara cara yang boleh digunakan untuk menarik minat pengunjung secara organik.
Tidak kira yang mana satu strategi yang digunakan, jangan abaikan kepentingan bahasa; sama ada bahasa tulisan atau bahasa visual. Pastikan anda menggunakan kata-kata atau imej menarik bagi meruntun keinginan umum singgah di kedai anda.
Apabila telah ada pengunjung dan telah mula berjualan, jangan lupa uruskan pangkalan data. Maksudnya, rekod dan maklumat pelanggan. Simpan elok-elok. Ia akan memudahkan anda memasarkan produk seterusnya nanti.
Tetapi awas, jangan pula nanti tutup bisnes sedia ada sebab sibuk menjual data! #dush!!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 akan menulis mengenai pengurusan perubahan.