PENGANGGURAN rendah adalah impian yang mahu dijadikan kenyataan oleh para pemimpin Amerika Syarikat (AS) tetapi Presiden AS, Joe Biden kini berdepan dengan masalah inflasi yang sangat tinggi sehingga menyebabkan penyokong-penyokong dan... Klik di sini untuk terus membaca

PENGANGGURAN rendah adalah impian yang mahu dijadikan kenyataan oleh para pemimpin Amerika Syarikat (AS) tetapi Presiden AS, Joe Biden kini berdepan dengan masalah inflasi yang sangat tinggi sehingga menyebabkan penyokong-penyokong dan penentang-penentangnya percaya ia boleh merugikan Parti Demokrat.

Ini kerana populariti Biden telah merosot sejak beberapa bulan kebelakangan ini walaupun kadar pengangguran telah menurun secara beransur-ansur di tengah-tengah penciptaan pekerjaan yang sedang berkembang pesat. Namun, Biden kini dihantui kenaikan harga barangan ketika era pemulihan pasca pandemik tersebut.

Pertumbuhan pekerjaan adalah pengukur kejayaan tradisional Presiden manakala Rumah Putih telah cuba menumpukan perhatian orang ramai terhadap kemajuan yang dicapai dalam pasaran buruh.

Bagaimanapun, baru-baru ini penarafan pengiktirafan pemerintahan Biden kini berlegar sekitar 42.2 peratus, menurut tinjauan pendapat daripada laman web FiveThirtyEight. Dan dengan pilihan raya pertengahan penggal akan berlangsung dalam tempoh beberapa bulan lagi menyebabkan sekutu-sekutu Biden bimbang bahawa parti Demokratnya akan kehilangan majoriti di Kongres AS.

Parti Demokrat yang dianggotai Biden mengawal Kongres AS tetapi hanya dengan majoriti paling tipis iaitu 12 kerusi di Dewan Perwakilan dan satu undi di Dewan Senat.

Biden memegang jawatan Presiden ketika pengangguran berada pada trajektori menurun selepas ia melonjak kepada 14.7 peratus pada tahun 2020 ketika sektor perniagaan memberhentikan pekerja secara beramai-ramai selepas Covid-19 melanda negaranya.

HARGA DAGING, IKAN NAIK PALING TINGGI

Sepanjang beliau memegang jawatan itu, kadar pengangguran telah jatuh secara berterusan sehingga mencecah kepada 3.6 peratus pada bulan lepas melebihi paras ketika prapandemik Covid-19 namun harga barangan pengguna telah meningkat sehingga melonjak kepada 8.5 peratus dalam tempoh 12 bulan sehingga Mac lalu.

Tinjauan-tinjauan pendapat pula menunjukkan rakyat AS menuding jari kepada Biden ekoran kenaikan harga barangan pengguna.

Sejak tahun lepas, harga daging dan ikan meningkat sebanyak 13.4 peratus, bijirin dan produk bakeri meningkat 9.4 peratus, tenusu naik tujuh peratus, buah-buahan dan sayur-sayuran naik 8.5 peratus, menurut data daripada Biro Statistik Buruh, Jabatan Buruh AS.

Berikutan harga yang tinggi itu, pembeli yang berpendapatan rendah berkemungkinan mengubah cara pembelian barangan seperti menukar daripada pembelian daging segar kepada daging beku.

Pada Februari lalu, harga untuk potongan daging lembu yang berkualiti boleh menelan kos sehingga AS$24.99 (RM106.32) untuk 453.59 gram dan ia sudah menjadi barangan mewah di negara tersebut.

Pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran naik sejak akhir-akhir ini. - Foto AFP

TUKAR DAGING KEPADA MI

Menurut majalah Fortune, apabila harga barangan terus meningkat, keluarga Tammy Ferrell mula makan mi dan bukannya daging dan berjalan kaki ke kedai dan bukannya memandu kenderaan bagi mengelak daripada membayar harga minyak yang melambung tinggi.

Tammy juga mendapati harga sebungkus kerepek daripada satu syarikat jenama makanan dijual sebanyak AS$17 (RM72.33) dan bukannya AS$12 (RM51.05) seperti kelazimannya.

Sebuah pertubuhan kebajikan iaitu Midwest Food Bank yang berkhidmat di lapan negeri AS menyatakan ia mengalami masalah penghantaran makanan menjadikannya lebih sukar untuk meningkatkan bantuan kepada pelanggan-pelanggan, kebanyakannya ialah wanita.

Ia adalah disebabkan oleh kos kontrak trak bagi menghantar makanan telah meningkat dua hingga tiga kali ganda pada tahun ini yang disebabkan kenaikan harga minyak.

Justeru, seorang penganalisis dan pengasas surat berita, Cook Political Report berkata kepada AFP, kenaikan harga pengguna ke paras yang tidak pernah dilihat sejak tahun 1981 telah mengurangkan hujah-hujah tentang berita baik mengenai kadar pengangguran yang rendah.

Ini kerana, katanya, walaupun sesetengah pengundi mungkin mendapat manfaat akibat daripada pasaran pekerjaan yang semakin kukuh, semua orang sebenarnya mengalami masalah kenaikan harga lebih tinggi untuk petrol, makanan dan barangan-barangan keperluan yang lain.

Hampir dua pertiga pengundi tidak bersetuju dengan cara pengendalian ekonomi Biden, menurut tinjauan pendapat oleh agensi berita Associated Press dan Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Awam NORC yang dikeluarkan pada akhir bulan lalu manakala firma data progresif Navigator Research mendapati lebih ramai rakyat AS percaya keadaan semasa ekonomi telah menyebabkan mereka kehilangan pekerjaan.

Rizab Persekutuan AS sedang dalam proses untuk menaikkan kadar faedah dan ramai ahli ekonomi percaya lonjakan inflasi akan mendatar pada tahun-tahun mendatang.

Adalah menjadi perkara biasa bagi mana-mana parti Presiden AS kehilangan tempat dalam pilihan raya Kongres separuh penggal manakala dua pendahulunya di Rumah Putih juga juga telah mengalami perkara yang sama.

Namun, bagi Presiden Institut Dasar Progresif, Will Marshall akhirnya menyatakan bahawa harga barangan pengguna yang tinggi telah menghalang rakyat AS daripada merasakan ledakan pemerintahan Biden. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca