[WAWANCARA] Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tumpuan rakyat pastinya terarah sejauh mana keupayaan parti dalam Pakatan Harapan (PH) terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bangkit daripada siri kekecewaan. Sudahlah kerajaan PH... Klik di sini untuk terus membaca

[WAWANCARA] Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tumpuan rakyat pastinya terarah sejauh mana keupayaan parti dalam Pakatan Harapan (PH) terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bangkit daripada siri kekecewaan.

Sudahlah kerajaan PH tumbang pada tahun 2020, malah PKR berdepan masalah perpecahan parti terburuk dalam sejarah apabila kem bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar parti bersama 10 bekas ahli Parlimen lain bagi menjayakan ‘Langkah Sheraton’.

Ditambah kekalahan teruk PH dan PKR dalam empat siri Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula di Sabah sehingga Johor pada tahun lalu, peluang blok pembangkang kembali merampas Putrajaya daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) semakin samar.

Pandangan itu turut diperakui calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar apabila menegaskan parti itu dan PH memerlukan sekurang-kurangnya dua pusingan pilihan raya untuk kembali berpeluang menjadi kerajaan.

Bagi Pengerusi PH, DATUK SERI ANWAR IBRAHIM, tiada apa yang mustahil untuk dicapai sekiranya parti mendukung hasrat dan cita-cita rakyat.

Ikuti wawancara wartawan, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN dan NURUL HUDA HUSAIN bersama Anwar berkenaan peluang PH pada PRU15, hala tuju PKR, masa hadapan perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) Kestabilan dan Transformasi Politik serta nasib orang Melayu pasca pandemik Covid-19.

SINAR PREMIUM: Bagaimana Datuk Seri melihat pendekatan dua calon Timbalan Presiden parti sepanjang pemilihan PKR kali ini?

ANWAR
: Setakat ini, saya lihat perbincangan itu lebih terkawal. Saya berulang kali memberi nasihat umum supaya (pertembungan) ini jangan meretakkan parti sebagaimana berlaku pada pemilihan 2018. Di mana yang dikatakan kartel menggunakan ruang itu untuk menyerang parti dan isu-isu dalaman.

Kita harus jaga itu dan terus menerangkan hujah-hujah mereka untuk memperkukuhkan parti. Kemudian juga dalam Pakatan Harapan (PH) kerana perkembangan dalam parti juga akan diikuti dari dekat oleh DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Justeru, sebagai rakan sekutu yang teruji, kita nasihatkan supaya jangan menyinggung mereka supaya perbincangan boleh dibuat secara dalaman dalam kalangan kepimpinan parti.

Memandangkan banyak kajian menunjukkan tiada satu parti pembangkang dijangka mampu menewaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) secara bersendirian pada PRU15, adakah PH bersedia berunding dengan Bersatu atau Perikatan Nasional (PN)?

Peringkat awal sebelum PRU14, hal yang sama diutarakan. Saya di penjara (ketika itu) dan semua orang tahu saya mengemukakan banyak surat menyuarakan keprihatinan dan kecurigaan dengan kesepakatan yang tidak mengekalkan prinsip (PH) dan tidak jelas kepimpinannya.

Tetapi saya harus hormat kehendak kepimpinan. Akhirnya semua terima keputusan itu walaupun ada pihak berunding di London dan Kuala Lumpur. Itu pun dengan peringatan keras oleh saya seperti jangan sampai (PKR) dipatuk ular kali kedua. Itu semua disampaikan agar kepimpinan kita berwaspada.Tetapi saya juga seorang Muslim. Saya tahu bahawa sekiranya seseorang itu ada keikhlasan untuk berdamai, itu tuntutan untuk berdamai. Tetapi yang saya tekankan adalah prinsip, agenda kepimpinan kerana kepimpinan itu mencorakkan (pentadbiran). Kalau dahulu, seolah-olah diterima prinsip dan agenda, kepimpinan bertukar rupanya letak prinsip bagaimanapun akhirnya terbungkam.

Jadi, kalau kita lihat (Pilihan Raya Negeri) Melaka dan Johor, diuar-uarkan seolah-olah habis, kecundang rosak PH. Tidak benar semua itu. Orang lihat kelemahan dahulu dan orang tidak terpanggil untuk menyertai (PRN), bukan sahaja orang muda. Tidak. Kalau lihat di Johor, ada (tidak mengundi) alasan Covid-19 dan tidak minat. Benar dengan pandangan kita mesti tarik semula minat mereka.

Semua kajian menunjukkan (kajian ini saya bimbang sebab saya anggap seperti quick dirty survey itu banyak) tetapi umumnya adalah peratusan keluar mengundi hanya capai lebih 50 peratus. Sebahagiannya kurang daripada 50 peratus. Ini bermakna kekuatan induk kita tidak terpanggil, tertekan dan terdesak untuk memberi dukungan.

Jadi kita haruskan jalan keluar, apa langkah munasabah yang perlu dibuat. Jangan terlalu gopoh untuk anggap pendapat Anwar sahaja yang betul. Kita kena bincang dan dengar semua kelompok.

Soal Bersatu adalah soal merekalah. Ini tidak mempengaruhi atau menekan kita. Tetapi kalau hendak menjadi pimpinan politik tertinggi dan mengatakan jangan bincang dengan sesiapa. Itu tidak betul. Saya sendiri kalau Perdana Menteri minta jumpa esok, saya ubahsuai dan saya jumpa.

Walaupun dari segi politik, permusuhan politik masih ada dan bukan bermakna (pertemuan itu) untuk berdamai. Ini lebih untuk menjalankan beberapa kerja atau mencari jalan penyelesaian isu negara, rakyat dan sebagainya.

Kalau jumpa Perdana Menteri untuk minta komisen projek Digital Nasional Berhad (DNB), itu haram namanya.

Saya fikir untuk menjadi pemimpin diketengahkan di arus perdana, perlu ada kesediaan untuk tidak dilihat sebagai pemimpin parti sempit. Harus keras, tegas pada prinsipnya tetapi ada kesediaan untuk berbincang.

MERAIKAN PANDANGAN IZZAH

Adakah Datuk Seri bersetuju dengan pandangan PH memerlukan sekurang-kurangnya dua pusingan PRU iaitu sehingga PRU16 untuk kembali meraih kekuatan bagi menawan Putrajaya?

Dalam jemaah, semua orang boleh bagi pandangan, ini parti demokratik. Tetapi keputusan dibuat oleh jemaah, bukan individu tertentu termasuk Nurul Izzah (Ahli Parlimen Permatang Pauh). Beliau boleh beri pandangan dan kalau kita lihat dari satu sudut, ia boleh dianggap kejutan, amaran sekiranya kita tidak berubah dan angkat semula semangat perjuangan (PH), maka kita hadapi kekalahan.

Tentu perkiraan beliau itu atas kajian keputusan PRN Melaka dan Johor. Saya tidak setujulah, kalau kita tengok Melaka dan Johor yang kita tidak pernah menang pilihan raya berbanding negeri Selangor.

Untuk Selangor, sudah tentu saya lebih dekat dengan negeri ini. Lihat bukan sahaja peranan kepimpinan di atas, tetapi juga ketua kampung, ahli majlis, itu saya tidak boleh remehkan usaha mereka.

Di Selangor saya sebut, jangan kita pakai arahan di atas, pakai teori akal dan kemudian nafikan sumbangan dan pengorbanan orang di bawah dalam menyantuni rakyat.

Kalau prestasi pemimpin akar umbi menyantuni rakyat Selangor dijadikan ukuran, saya yakin dengan prestasi kerajaan PH di Selangor. Tetapi kalau diberi lonjakan tambahan, itu akan tentunya mengukuhkan kekuatan mereka. Saya anggap pandangan Rafizi dan Nurul Izzah yang agak spesifik dalam bab ini, sekadar bagi kejutan kepada akar umbi.

Mungkin bacaan Nurul Izzah dari segi kajian di Parlimen Permatang Pauh, tetapi kita tengok secara menyeluruh. Saya lebih tengok pandangan itu secara positifnya untuk menggesa ahli parti bekerja lebih kuat.

Pandangan itu kita raikan. Ada yang kata anak Anwar cakap sebegini, bagaimana? Beliau ahli Parlimen dan pemimpin parti. Beliau layak beri pandangan sendiri dan tidak semesti saya kena setuju semua. Yang penting, kita harus dengar, teliti, bantah kalau tidak setuju atau kita ubah suai keadaannya. Tetapi yang memutuskan ialah jemaah (akar umbi). Semua pandangan ini mesti didengar dan tidak boleh sekadar menurut ketetapan Anwar, Nurul Izzah, Rafizi dan (Datuk Seri) Saifuddin (Nasution Ismail). Tidak harus berlaku begitu. Jadi ahli-ahli harus ingat pandangan itu bukan kata pemutus.

PIKAT UNDI MELAYU LUAR BANDAR

Adakah PKR dan PH akan mengkaji semula strategi penggunaan lambang pilihan raya baharu menjelang PRU15?

Sebab itu saya kata, keputusan kajian quick dirty survey ini bahaya. Di PRN Melaka, kita guna satu simbol kalah, di Johor kita guna berbeza simbol pun kalah. Pada PRU 2013, kita guna berbeza simbol dan kita menang majoriti undi (popular) lebih daripada PRU14. Jadi kita uar-uar yang PRU14 kita dapat undi terbanyak kerana adanya Bersatu, tetapi dari segi jumlah undi kita dapat lebih pada PRU13 berbanding PRU14.

Undi Melayu juga tidak banyak berbeza. Malah pada PRU14, undi Melayu kurang sedikit berbanding PRU13 kerana pada ketika itu Pas bersama (Pakatan Rakyat). Sebab itu, saya kata dalam kajian-kajian sebegini, kita kena teliti. Jangan pakai random survey dan terus beri pandangan muktamad.

Pilihan raya tidak menang bersandarkan kajian dan data, sebaliknya faktor kemenangan adalah berlandaskan sentuhan rakyat dan dukungan langsung. Data dan kajian penting tetapi bukan faktor penentu.

Mengapa saya akhirnya setuju guna lambang PKR pada PRN Johor? Kerana akar umbi menuntut begitu.

Pendapat peribadi, saya lebih lunak dalam mencari kesepakatan. Tetapi akar umbi keseluruhannya mahu simbol PKR. Alasan mereka juga kuat walaupun alasan penggunaan satu lambang dalam kalangan elit kota, dilihat sangat menjadi keperluan. Kalau elit kota ini suruh pakai satu simbol dan turut bantu kempen PRN, itu lainlah. Selain itu, saya tengok orang kampung terutama orang Melayu umumnya, kita hendak pertahankan seluruh kekuatan PH tidak mudah.

Bukan masalah Tun Mahathir, tetapi beberapa keputusan yang tidak sempat kita lakukan (sewaktu kerajaan PH) dan tidak tepat. Kurang keupayaan jentera kita memberi penerangan.

Jadi, pandangan ini kadangkala tidak disenangi sebahagian rakan dalam PH. Tetapi itu kenyataannya. Sukar kita memberikan gambaran positif tentang pengalaman PH. Bagi saya, PH sewaktu menjadi kerajaan ada kekuatan yang besar dalam melaksanakan tatakelola tadbir urus baik. Ia menyebabkan kita berupaya mengheret orang-orang rasuah besar ke mahkamah. Kalau tidak, mungkin perkara itu tidak berlaku.

Mungkin kita harus terima kenyataan itu. Tetapi adakah kita berjaya mengikis budaya rasuah dalam kalangan golongan atasan? Tidak juga. Kerana yang di atas masih menggunakan kroni untuk melepaskan diri. Justeru, kelemahan itu ada.

Namun, usaha memikat hati orang Melayu, itu memang cabaran kita. Jadi saya tengok rebutan sokongan hanya tertumpu kalangan kelompok pengundi kota dan pinggir bandar. Parti-parti baharu yang muncul juga hanya merebut sokongan segmen itu, termasuk pengundi Melayu bandar terdidik dan bukan miskin bandar.

Bagi saya, antara cabaran utama PH termasuk PKR untuk kekal kukuh adalah untuk menyantuni Melayu di desa. Kadangkala isu mereka berlainan. Ia melibatkan dukungan isu bahasa, budaya, kemiskinan luar bandar dan hala tuju masa hadapan pendidikan mereka.

Yang dilakukan dalam media sosial adalah untuk ikut trend dalam kalangan media sosial yang banyak dikuasai kelompok penduduk bandar, terdidik dan bukan Melayu. Kita kena jaga sensitiviti mereka. Umpamanya kita tidak setuju dengan dasar yang terlalu kemelayuan, namun kelompok Melayu luar bandar akan menganggap kritikan itu ditujukan kepada mereka secara keseluruhan.

Mereka lihat kritikan itu tidak setimpal dengan kelompok Melayu yang lain. Saya tahu ini sangat sukar untuk memikat semula hati kelompok Melayu luar bandar.

Kalau dilihat pandangan golongan sarjana dan elit politik, daripada 10 rencana, sembilan daripadanya mengganyang orang Melayu. Mereka mungkin bermaksud mengganyang pimpinan Melayu. Tetapi kadang-kadang digeneralisasikan sehingga orang Melayu berasa terpukul.

Bagi saya, itu harus kita fikirkan. Selepas selesai pemilihan parti, saya akan anjurkan rakan-rakan untuk fokus semula usaha memikat pengundi Melayu luar bandar. Jangan terlalu terpengaruh dan terheret dengan perbicaraan elit bandar.

Saya tidak setuju serangan terhadap Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) yang berusaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di persada dunia. Kita kena terima bahawa keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan lingua franca, mesti dipertingkatkan.Cuma bezanya dengan mereka ialah saya masih menekankan keperluan negara mengangkat kedudukan bahasa Inggeris untuk kepentingan masa hadapan anak-anak kita.

Wawancara bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR),Bukit Gasing pada Isnin. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

DENYUT NADI B40

Ada pihak berpandangan naratif PH meletakkan kepentingan mendengar denyut nadi rakyat terutama B40 dilihat tidak sampai dan menyebabkan rakyat memilih alternatif parti lain. Apakah strategi Datuk Seri untuk memastikan suara nadi rakyat itu dirasai?


Tentu kita harus lakukan lebih daripada itu tapi saya hendak sebut juga bahawa rakyat umumnya yang tidak mendukung kita setakat ini. Itu juga kerana rakyat di luar bandar dan kalangan masyarakat Melayu dan itu tidak berubah.

Kalau orang kata dalam PRU14 atau PRU13 itu (rakyat luar bandar sokong), telahan itu tidak benar. Maknanya belum sampai ke situ. Bagi saya, kalau kita merendah diri, tawaduk sikit, mengatakan ya, betul. Kita harus mengakui semua pendapat, gembleng seluruh kekuatan dan tumpu segala perkara ini. Apa yang harus kita lakukan, lebih daripada apa yang kita lakukan sekarang tapi kita kena jaga.

Janganlah pula hanya kerana untuk mendapatkan dukungan orang lain, kita remehkan kedudukan bukan Melayu terutama yang menaruh keyakinan terhadap kita. Sebab itu, pendekatan saya daripada dulu tidak guna isu kaum tapi isu rakyat. Umpamanya kalau yang miskin, miskinlah, kalau kita mahu mutu pendidikan, fokus mutu pendidikan dan kemudahan kesihatan juga harus fokus ke arah itu.

Walaupun kita tahu dasar-dasar ini majoritinya yang akan mendapat manfaat ialah orang Melayu tapi kita tidak boleh (fokus itu sahaja).

Kita tahu isu kemiskinan dalam kalangan orang Cina pun ada, umpamanya baru-baru ini semasa Covid-19, orang Cina yang beratur minta (bantuan) makanan di Port Dickson, contohnya sudah ramai berbeza dengan sebelum ini. Kaum India dan Melayu (jumlahnya) sudah tentu lebih besar. Tentulah kaum Melayu paling ramai kerana jumlah orang Melayu lebih ramai dan yang miskin masih tinggi.

Jadi, kita kena yakinkan juga kepada orang Melayu sebenarnya sudah 60 tahun lebih merdeka dengan segala rancangan gegak gempita, Dasar Ekonomi Baru (DEB) semua, orang Melayu masih di tahap yang rendah.

Sebab itulah saya kata, kita harus terima bahawa ada sesuatu yang rosak dan kecundang daripada dasar ini, maka kita patut cari jalan, keupayaan untuk berubah. Jadi, belum sepenuhnya berhasil, betul tapi kita kena lakukan bersama.

Kita pernah meraih dukungan orang Melayu pada tahun 1999. Bukan isu makan, bukan isu lain tetapi isu mata lebam (Anwar dipukul di penjara) masa itu. Jadi, kalau orang yang tahu sejarah, tahun 1999 dukungan orang Melayu kepada kita meningkat mengatasi 50 peratus. Itu mungkin dalam keadaan UMNO masih kukuh ketika itu. Kita harus cari, tapi tentulah janganlah sampai buat mata lebam sekali lagi. Orang Melayu kampung pun, mereka tahu apa hak, yang batil. Apa itu kemiskinan, penindasan, rasuah. Jangan pula ada pandangan yang tidak membantu sebagai contoh orang Melayu, dia tidak boleh, rasuah pun okey. Itu tidak betul.

Adakah Datuk Seri boleh bekerjasama kembali dengan Rafizi?

Saudara Rafizi sosoknya agak keras tetapi boleh berunding segala masalah. Saya tidak lihat semua kritikan itu kritikan terhadap presiden. Tidak ada. Tapi beliau mahu melihat untuk menarik satu kaedah yang boleh membantu.

Walaupun tanya saya bagi nasihat, beliau tidak payah terlampau keras dalam semua hal terutama terhadap parti kerana ada benda yang dianggap tidak tepat. Umpamanya khemah besar, itu tidak tepat sama sekali.

Kalau pun pada masa itu sebagai contoh orang tanya Anwar, 'kamu dapat mandat dan tidak boleh usahakan mandat dikembalikan? Kamu pemimpin, dasar tegas, maka siapa hendak dukung boleh, di bawah’. Itu bukan pengkhianatan.

TRAUMA MANIFESTO BUKAN KITAB SUCI

Adakah manifesto masih lagi satu elemen penting ditawarkan kepada rakyat?


Manifesto ini kalau pendapat peribadi saya daripada awal pendek, ringkas, jelas dan yang kita pasti akan laksanakan. Tapi jawatankuasa manifesto fikir berbeza. Kena terangkan segala institusi pemerintahan, tatakelola secara terperinci, kemudian sebahagiannya kecundanglah tapi sebahagian besarnya dilaksanakan juga ada termasuk soal penurunan tol dan sebagainya. Itu harus kita terangkan dan mungkin kita belum berhasil kita terangkan.

Jadi, kalau pendapat saya akan sampaikan baik daripada PKR atau untuk PH, saya kata kita harus sederhanakan janji manifesto, permudahkan, pendekkan dalam hal yang kita lakukan tetapi saya ini kan orang jemaah. Jadi maknanya itu pendapat saya yang harus diteliti oleh rakan-rakan termasuk pakar-pakar dalam bidang mereka.

Kru wartawan dan penyiaran Sinar Harian bergambar bersama Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas sesi wawancara bersama Sinar Harian, The Vibes dan Malaysiakini di pejabat Presiden PKR di Petaling Jaya.

PARLIMEN MANA UNTUK PRU15

Berapa jumlah kerusi Parlimen yang perlu ditandingi PKR secara keseluruhannya pada PRU15 nanti?


Soal kerusi itu harus kita teliti kekuatan kita. Kta bincang lagi dengan rakan-rakan kita dahulu. Terlalu awal untuk kita umumkan sendiri. Tidak boleh. Ini kita dalam semangat kalau kita dalam gabungan, walaupun saya sebagai Presiden parti. Kita terus umum bertanding sekian kerusi, itu tidak boleh.

Difahamkan PRU15 ini Datuk Seri tidak bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson lagi, jadi mungkin kerusi mana yang sedang diintai untuk bertanding. Adakah Permatang Pauh?

Belum putus lagi. (Parlimen) Permatang Pauh, Nurul Izzah kata dia cadang hendak kekal tapi keputusan akan dibuat parti. Pengundi Port Dickson minta saya kekal tapi kita akan bincang dahulu.

Menyentuh mengenai Debat Perdana Najib-Anwar, bagaimana dengan persiapan untuk hadapi 12 Mei hadapan?

Pandangan saya, harus terbuka, semua media harus dilibatkan. Saya tidak pilih media mana tapi harus terbuka dan komunikasi terakhir saya dengan (Pengarah Komunikasi PKR) Fahmi Fadzil, harus maklum kepada semua stesen televisyen.

Datuk Seri, kenapa tidak libatkan saudara Rafizi dalam debat ini memandangkan cabaran itu dilontarkan lebih awal oleh beliau?

Beliau (Rafizi) cabar (Datuk Seri) Najib Tun Razak tapi Najib cabar saya suruh masuk. Jadi, bila kita bincang saya dengan dialah. Kalau dia ambil seorang lagi, saya juga kena ambil seorang lagi. Tapi beliau kata hendak seorang, maka seorang lawan seorang lah.

Klik di sini untuk terus membaca