SHAH ALAM - Suatu kepelikan apabila penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar, Perak berlaku tanpa pengetahuan pihak pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).
Pakar undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, mustahil sekiranya pihak PKNP tidak mengetahui isu penjualan tanah yang mahu dibangunkan sebagai lapangan terbang antarabangsa itu, sedangkan pemilikannya di bawah perbadanan tersebut.
Katanya, tanah di Seri Iskandar itu sebelum ini milik kerajaan negeri, namun dipindah hak milik kepada PKNP sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Februari 2018.
Menurutnya, sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerajaan negeri Perak, PKNP berdiri di atas kaki sendiri dan mempunyai hak untuk membuat sebarang keputusan berhubung hak miliknya.
"Setelah tanah lapangan terbang di Seri Iskandar itu ditukar hak milik kepada PKNP, ia bukan lagi perkara melibatkan Exco Kerajaan Negeri.
"Jadi siapa sebenarnya gerangan yang berada di dalam PKNP yang membuat keputusan membenarkan tanah tersebut dijual? "Malah sekiranya dijual, kenapa bahagian kewangan PKNP tidak tahu dan tidak mempersoalkan berhubung sebarang jumlah pembayaran dibuat, seterusnya membangkitkan perkara tersebut kepada ahli lembaga pengarah,” katanya kepada Sinar Harian.
Tegasnya, perkara itu menjadi sangat pelik sekiranya pihak pengurusan PKNP tidak mengetahui penjualan tanah tersebut.
Menurutnya, banyak pihak perlu menjawab persoalan berhubung isu penjualan tanah tersebut yang dirangka untuk dibangunkan sebagai projek pembangunan bercampur.
"Kemungkinan besar ada berlakunya salah guna kuasa atau ada unsur penipuan di dalam isu yang besar ini.
"Sekiranya tidak berlaku salah guna kuasa, pastinya Pengerusi PKNP pada ketika itu tidak diberitahu mengenai jual beli itu atau beliau sekadar memegang jawatan tersebut tanpa mengambil tahu apa yang berlaku dalam GLC tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamed Haniff berkata, isu penjualan tanah adalah perkara utama yang harus diselesaikan oleh PKNP.
Menurutnya, isu tersebut seharusnya diambil tindakan sivil terhadap pihak ketiga yang menguruskan penjualan tanah tersebut.
Jelasnya, PKNP perlu melantik segera pihak peguam bagi menyelesaikan isu tersebut, bukannya hanya melengah-lengahkan masa.
"Tindakan ini penting untuk memulangkan balik nilai hartanah tersebut dan menyaman pihak ketiga yang menjadi dalang penjualan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, pemegang saham PKNP pada kebiasaannya adalah didaftarkan di bawah Menteri Besar Incorporated (MBI) dan Menteri Besar akan mempengerusikan Lembaga Pengarah PKNP.
Jelasnya, sekiranya fakta menyatakan pihak pengurusan PKNP di bawah MBI, maka Pengerusi ketika itu ialah Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kerana beliau merupakan Menteri Besar pada zaman pemerintahan Perikatan Harapan (PH) di Perak pada ketika itu.
"Ahmad Faizal juga masih menjadi Menteri Besar semasa di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga tahun lalu iaitu sebelum kerajaan PN dijatuhkan.
"Maka atas sebab itu, Ahmad Faizal harus menjawab segala persoalan berkaitan penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar tersebut,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca