SHAH ALAM - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi salah satu lokasi sasaran sindiket untuk ‘menggerakkan’ keldai dadah ke lokasi tujuan yang ditetapkan. Ini disebabkan KLIA adalah antara lapangan terbang bertaraf... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi salah satu lokasi sasaran sindiket untuk ‘menggerakkan’ keldai dadah ke lokasi tujuan yang ditetapkan.

Ini disebabkan KLIA adalah antara lapangan terbang bertaraf antarabangsa yang mempunyai laluan penerbangan domestik mahu pun luar negara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, mengikut rekod statistik tangkapan yang dibuat sejak tahun 2020 hingga Mac tahun ini, seramai 12 individu terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita termasuk seorang warga asing berjaya ditahan di KLIA berserta rampasan dadah seberat kira-kira 27 kilogram (kg).

"Mengikut pecahan, 11 keldai dadah ini ditahan pada tahun 2020 manakala seorang lagi pada Mac lalu.

"Sepanjang tahun 2021 tiada sebarang tangkapan melibatkan keldai dadah disebabkan ketika itu negara dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tetapi ini tidak semestinya tiada pergerakan keldai dadah, cuma ia tidak terkesan ketika itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas berkenaan punca individu terlibat sebagai keldai dadah, beliau berkata, mereka ini diupah oleh sindiket dengan jumlah bayaran RM2,000 hingga RM3,000 untuk sekali penghantaran bergantung kepada jarak atau kuantiti dadah yang dibawa.

Jelasnya, polis mendapati lokasi penghantaran dadah ini bagaimanapun kerap berubah-ubah dan banyak transit ke destinasi tertentu bagi mengaburi pihak berkuasa.

Antara taktik keldai dadah yang menggunakan body pack berjaya dikesan polis.

"Antara kaedah digunakan keldai dadah adalah menyembunyikan dadah dalam bagasi atau body pack iaitu dadah yang diikat pada anggota badan. Polis percaya modus operandi ini akan berubah-ubah dan keldai dadah ini terdiri daripada sesiapa sahaja,” ujarnya.

Menurut Arjunaidi, sindiket akan merekrut mangsa dengan pelbagai kaedah termasuk menggunakan platform media sosial yang awalnya ditawarkan untuk bekerja dengan gaji yang tinggi.

"Berdasarkan soal siasat yang dibuat, kebanyakan keldai dadah ini mendakwa mereka tidak tahu membawa dadah, tetapi adalah mustahil mereka tidak tahu benda yang diikat di badan (body pack). Bagi bagasi pula, adakah mereka tidak periksa bagasi yang dibawa apatah lagi diberikan sejumlah bayaran. Mereka ini bukannya tidak tahu, tapi terpedaya dengan jumlah bayaran yang diberi,” ujarnya.

Katanya, siasatan dijalankan untuk polis mengenal pasti sindiket dan dalang terlibat termasuk rangkaian di dalam dan luar negara.

"Kita percaya sindiket menyasarkan mana-mana individu yang dirasakan boleh membantu dan akan cuba dipengaruhi supaya membuat kerja ini (keldai dadah).

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memperkukuh risikan di KLIA khususnya dengan kerjasama pihak keselamatan lapangan terbang selain anggota yang bertugas untuk membuat pemerhatian dan sebagainya. Tidak dinafikan KLIA adalah lokasi sasaran sindiket untuk rekrut keldai dadah selain lapangan antarabangsa lain di dalam negara,” katanya.

Tegas Arjunaidi, sekiranya terlibat dan tertangkap, undang-undang tegas sudah menanti mereka.

"Tindakan akan diambil di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca