SHAH ALAM - Muafakat atau persepakatan di antara semua blok pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu dicapai bagi memastikan pola pengundian tidak berpecah seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Penganalisis politik dan media sosial, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, presiden setiap parti tersebut perlu mengetepikan ideologi politik masing-masing terlebih dahulu dan bergabung dalam menghadapi PRU15.
"Kadang-kadang muafakat ini harus dicapai. Presiden parti harus ketepikan ideologi politik masing-masing dan perlu bersiap sedia untuk hadapi PRU akan datang.
"Walaupun sebenarnya pertembungan banyak parti merupakan satu dinamik, tetapi untuk PRU akan datang sekiranya tiada penyatuan, pola pengundian akan berpecah. Ini akan merugikan semua pihak kerana tiada majoriti dapat dibentuk.
"Jadi persepakatan harus dibentuk sebagai blok pembangkang utama. Kemungkinan besar akan menjadi kerajaan campuran seperti di negara-negara barat,” katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Harian pada Selasa.
Pada Isnin, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui namanya masih lagi calon tunggal Perdana Menteri sekiranya parti gabungan itu berjaya merampas pentadbiran negara pada PRU15.
Dalam pada itu, UMNO memutuskan untuk mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dinamakan sebagai calon Perdana Menteri bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurut Sara, dengan pengumuman tersebut akan menyebabkan banyak pertembungan penjuru dan BN masih mempunyai peluang untuk memenangi PRU akan datang meskipun dengan majoriti kecil.
Jelas beliau, pihak pembangkang juga perlu mempunyai satu formula jajaran baharu dalam menarik undi rakyat semasa PRU akan datang.
"Apa yang perlu dilakukan adalah penyusunan semula kekuatan dan strategi perlu kemas. Seterusnya, mengemukakan naratif lebih baik serta berwibawa sebagai blok pembangkang utama.
"Kedua, terlalu banyak tokoh dan pemimpin yang tidak mahu mengalah dalam pembangkang. Perkara ini perlu reset semula,” ujarnya.
Berunding
Sementara itu, penganalisis politik, Profesor Dr Wong Chin Huat pula berpendapat, PH dan Perikatan Nasional (PN) harus bersedia untuk berunding dan membentuk kerajaan sekiranya Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak mempunyai majoriti mudah.
"Untuk memudahkan rundingan pada masa depan, mereka boleh dan perlu mengurangkan serangan sesama lain,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar parti tersebut bertanding di kawasan yang dijangka berpeluang untuk menang sahaja bagi menarik undi daripada BN.
"Di kawasan Melayu tegar, tidak perlulah PH bertanding. Sebaliknya, di kawasan yang kurang Melayu, tidak perlulah PN bertanding.
"Dengan menamakan kurang calon, kedua-dua boleh menggunakan sumber dengan lebih baik untuk mempertingkatkan peluang kemenangan calon,” ujarnya.
Jelas beliau, bagi meningkatkan lagi peluang kemenangan, PH dan PN harus mencuri undi bukan daripada BN, malah daripada pengundi yang malas untuk keluar mengundi.
"Kumpulan ini sudah naik daripada 18 peratus dalam PRU14 kepada 34 peratus di Melaka, 39 peratus di Sarawak dan 45 peratus di Johor. Peratusan ini tinggi bermakna kebanyakan parti cuma tinggal penyokong tegar sahaja.
"Maka, serang sehebat mana pun ke atas parti lain, tidak banyak undi yang akan diperoleh dan sudah tentu pengundi yang jemu dengan politik akan lari lebih jauh lagi,” katanya.
Tambah Chin Huat, sekiranya PH dan PN dapat memikat pengundi tersebut dengan mencadangkan penyelesaian untuk krisis kesihatan, ekonomi dan alam sekitar, kemungkinan untuk menarik sebilangan kecil pengundi akan berjaya.
Klik di sini untuk terus membaca