SHAH ALAM - Pakar menyarankan orang ramai melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan terlebih dahulu terutama pada bahagian tayar jika ingin pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Pakar Keselamatan Jalan Raya, Profesor Dr Law Teik Hua berkata, tayar merupakan komponen keselamatan paling penting bagi sesebuah kenderaan.
"Saya faham dalam fasa pemulihan daripada Covid-19 ini ada orang yang tiada duit untuk selenggara keseluruhan kereta. Jadi, saya harap golongan ini dapat utamakan selenggara tayar dahulu.
"Tayar ini berisiko tinggi untuk kemalangan berlaku jika kita tidak memandu dengan berhati-hati, terutama semasa hujan.
"Contohnya, jika anda bawa dengan laju dan tayar dalam keadaan yang baik, mungkin selamat. Namun, jika tayar anda tidak dalam keadaan baik, anda mungkin akan ditimpa kemalangan,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Teik Hua berkata, setiap individu juga perlu merancang perjalanan dan memandu dengan berhemah tanpa tergesa-gesa ke destinasi yang ingin dituju.
Jelasnya, ia bagi memastikan tiada sebarang masalah berlaku seperti kemalangan yang akan menyebabkan kelancaran perjalanan pengguna lain tersekat akibat jalan raya yang terlalu sesak.
"Untuk raya kali ini terdapat dua keadaan. Pertama, mereka yang sempat balik awal dan kedua, bagi mereka yang pulang sehari sebelum raya.
"Bagi yang balik awal, keadaan jalan raya masih belum sesak, dan kemungkinan mereka bawa kenderaan dengan laju adalah agak tinggi. Ini akan mendatangkan masalah. Kelajuan adalah musuh utama sebab masing-masing mahu cepat sampai.
"Semasa sehari sebelum raya pula, memang banyak kenderaan di jalan raya. Jadi kelajuan bukan jadi masalah lagi. Tetapi masih perlu juga memandu dengan berhemah untuk mengelakkan sebarang kejadian,” ujarnya.
Menurut beliau, sekiranya perkara tersebut diabaikan, ia berisiko menyebabkan kemalangan dan kemungkinan kematian.
"Ikutlah undang-undang. Bagi motosikal, pakai topi keledar yang mempunyai kualiti ditetapkan. Jangan pakai yang ala kadar sahaja.
"Bagi kereta, penumpang perlu pakai tali pinggang keselamatan. Ini supaya bila ada perlanggaran, mereka tidak tercampak keluar dari kereta dan akan kurangkan risiko kematian,” jelasnya.
Tambah Teik Hua, bagi mereka yang menaiki pengangkutan awam pula, dinasihatkan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika kenderaan tersebut didapati dipandu melebihi had laju ditetapkan.
Klik di sini untuk terus membaca