RAMAI mangsa banjir besar di Lembah Klang, Disember lalu terpaksa menggunakan khidmat kereta sewa untuk pulang ke kampung bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri apabila kenderaan mereka yang terjejas teruk ditenggelami air sebelum ini masih... Klik di sini untuk terus membaca

RAMAI mangsa banjir besar di Lembah Klang, Disember lalu terpaksa menggunakan khidmat kereta sewa untuk pulang ke kampung bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri apabila kenderaan mereka yang terjejas teruk ditenggelami air sebelum ini masih belum dibaiki.

Penjawat awam, Muhammad Shafik Zikifli, 25, berkata, dia dan tiga rakan serumah mengambil keputusan menyewa kenderaan untuk pulang ke kampung halaman di Kelantan memandangkan keretanya masih lagi dalam penyelenggaraan.

Menurutnya, menyewa kereta adalah lebih mudah dan dalam masa sama dapat mengurangkan kos sewa kenderaan dengan berkongsi bersama rakan.

Muhammad Shafik

"Saya menempah kereta Perodua Myvi pada awal Ramadan lalu kerana bimbang kereta sewa akan cepat habis lebih-lebih lagi rakyat kini sudah dibenarkan merentas negeri bagi menyambut Aidilfitri.

"Saya pula tidak pasti bila kereta saya akan siap dibaiki,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Muhammad Asraf Ahmad Zahidi, 26, pula mengakui dirinya lebih selesa memandu kereta sewa untuk pulang ke kampung di Raub, Pahang bersama adiknya yang juga bekerja di Selangor.

Muhammad Asraf

"Kereta saya masih di bengkel akibat banjir yang melanda tanpa diduga hujung tahun lalu.

"Oleh sebab pekerja bengkel beritahu kereta saya tidak akan sempat siap dibaiki sebelum raya nanti, jadi saya ambil keputusan untuk menyewa kereta sahaja.

"Saya telah membuat tempahan kereta sewa terlebih dahulu supaya saya dapat membuat persiapan awal. Risau juga kalau kereta sewa akan habis jika lambat ditempah,” kata juruteknik makmal itu.

Seorang lagi mangsa banjir, Mohd Azlan Rosmazlan, 37, berkata dia masih kurang yakin untuk memandu kenderaannya ke rumah keluarga mertuanya di Segamat, Johor.

Ini kerana katanya, kereta Perodua Alza miliknya baru sahaja siap dibaiki selepas mengalami kerosakan akibat banjir.

Mohd Azlan

"Kereta saya baru sahaja siap dibaiki, tapi saya kurang yakin untuk terus memandu ke destinasi yang jauh, lebih-lebih lagi bersama isteri dan dua orang anak yang masih kecil.

"Jadi, cara lain adalah dengan menyewa kereta untuk menjamin keselamatan dan keselesaan kami sekeluarga,” jelas kerani di sebuah syarikat swasta itu.

Sementara itu, seorang pekerja swasta yang ingin dikenali sebagai Malik, 29, memberitahu dia akan pulang ke kampungnya di Rembau, Negeri Sembilan dengan menaiki kereta api dari KL Sentral ke Rembau pada hari raya kedua.

Malik

"Kereta saya rosak agak teruk akibat banjir tempoh hari. Saya sudah pun menghantarnya ke bengkel namun ia masih belum siap dibaiki sehingga hari ini.

"Memandangkan kereta saya masih di bengkel dan kemungkinan besar selepas raya baru siap, jadi saya buat keputusan untuk naik pengangkutan awam sahaja bagi menyambut hari raya tahun ini, ia lebih mudah,” ujarnya. Kira-kira 60,000 penduduk Lembah Klang terjejas akibat banjir besar pada hujung tahun lalu terutama di Taman Sri Muda di sini dan beberapa kawasan di Hulu Langat.

Sinar Harian baru-baru ini turut melaporkan kebimbangan mangsa banjir di negeri ini yang menghadapi masalah untuk pulang berhari raya di kampung ekoran kereta yang rosak tidak dapat dibaiki disebabkan kekurangan stok cip semikonduktor.

Klik di sini untuk terus membaca