SHAH ALAM - Kebanyakan pengusaha kereta sewa di sini mengakui menerima permintaan tinggi daripada orang ramai bagi menyewa kenderaan untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Bagi Mohd Hafizan Halib, 41, meskipun terdapat sedikit peningkatan kadar sewa kerana permintaan tinggi daripada pengguna, namun pihaknya masih menawarkan pakej raya pada harga berpatutan iaitu antara RM120 hingga RM650 sehari bermula dari 25 April hingga 15 Mei depan.
"Kita sediakan 20 buah kereta dan setakat ini semua tempahan sudah penuh. Paling ramai yang sewa, kereta jenis Perodua Alza. Tetapi kalau sewa tujuh hari dan ke atas kita ada bagi diskaun RM10 sehari,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Turut senada, Noor Haniza Hassan, 46, yang mengakui kadar sewa kereta sempena Aidilfitri meningkat disebabkan perkhidmatan menyelenggara kenderaan ketika ini agak mahal, selain permintaan yang tinggi daripada penyewa.
"Peningkatan kadar sewa tetap ada sebab kos servis kereta sekarang sudah meningkat. Tetapi kita tak letak harga terlalu mahal. Pengusaha pun banyak, jadi persaingan tinggi. Ada yang tawar terlalu murah, ada yang tawar ikut harga standard.
"Contohnya kalau Axia seminggu RM500. Itu kira kadar sewaan normal hari biasa. Kalau Vellfire sehari RM900. Bezza, Myvi dan Saga pula RM150 sehari.
"Tetapi untuk raya kali ini ramai yang sewa Vellfire 2.4 cc. Sehari kita kenakan kadar sebanyak RM450. Seminggu kita bagi diskaun RM380 sehari,” katanya yang sudah mengusahakan khidmat kereta sewa selama lima tahun.
Sementara itu, seorang lagi pengusaha kereta sewa, Mujahid Nurdin, 25, berkata, seminggu sebelum Ramadan dianggarkan hampir 90 peratus kereta sewa di Lembah Klang sudah penuh ditempah.
Katanya, ramai golongan perantau membuat tempahan awal disebabkan teruja untuk balik kampung, khususnya mereka yang berasal dari pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu memandangkan hampir dua tahun mereka tidak dapat pulang beraya "Permintaan kereta sewa meningkat dengan begitu ketara terutama kenderaan pelbagai guna (MPV) seperti Vellfire dan Starex, walaupun ada sedikit peningkatan dari segi harga.
"Untuk Alza sekurang-kurangnya RM1,300 seminggu, tetapi untuk kadar normal iaitu bukan musim raya biasanya dalam RM900. Kali ini harga sedikit ‘tegang',” katanya.
Tambah Mujahid, antara punca orang ramai memilih untuk menyewa kereta adalah disebabkan kos penyelenggaraan yang tinggi.
"Bagi Starex, kos servis sangat tinggi. Tukar minyak hitam dan penapis minyak pun dah berapa.
"Jadi, mereka ambil keputusan untuk sewa sahaja daripada tanggung kos yang tinggi. Pada masa sama lebih menjimatkan,” katanya.
Menurut Razman Shah Abdullah pula, kebanyakan penyewa adalah mereka yang sudah berkeluarga, malah ada antara mereka yang menyewa kereta lebih besar dan selesa untuk perjalanan jauh.
"Dari segi harga, kita ada buat promosi raya. Sekitar RM80 hingga RM750 sehari, ikut jenis kereta. Paling mahal Vellfire, RM750 sehari. Kebanyakan mereka juga akan sewa selama seminggu dan ke atas. Paling singkat lima hari.
"Namun, untuk raya semua sudah penuh kerana kereta terhad. Kita sediakan 17 buah sahaja,” katanya.
90 PERATUS KERETA SUDAH DISEWA
Dalam pada itu, Ahli Lembaga Koperasi Pengusaha Kereta Sewa Malaysia Berhad (Kopkes) yang ingin dikenali sebagai Chai Dee berkata, sudah lebih 90 peratus atau 1,500 kenderaan pelbagai jenis milik koperasi itu ditempah orang ramai untuk tujuan balik kampung.
"Selepas dua tahun kita tidak dibenarkan merentas negeri sewaktu musim perayaan, kini permintaan kereta sewa semakin meningkat berikutan kerajaan sudah benarkan rentas negeri.
"Sebanyak 60 peratus perjalanan menuju ke pantai timur, selebihnya ke utara dan selatan di mana tarikh sekitar 29 April hingga 8 Mei menjadi antara pilihan orang ramai.
"Bermula awal Ramadan lagi orang ramai sudah mula membuat tempahan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, di sekitar Lembah Klang sahaja sebanyak 500 kereta milik Kopkes telah disewa.
Katanya, antara faktor perkhidmatan kereta sewa semakin laris ketika ini disebabkan banyak kereta yang terjejas akibat banjir masih belum dibaiki sepenuhnya.
Sementara itu, Pengasas Kumpulan Motionz, Muhammad Zahir Azhar berkata, sebanyak 90 peratus penyewa terdiri daripada golongan berkeluarga, manakala 10 peratus lagi golongan bujang.
Tambahnya, kebanyakan penyewa di sekitar Lembah Klang memilih untuk menyewa kereta jenis sedan dan kenderaan pelbagai guna (MPV).
"Permintaan meningkat kerana rata-rata yang tempah menyatakan kereta mereka masih di bengkel dan kebanyakan mereka mempunyai kereta jenis kompak,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca