SHAH ALAM - Pendedahan kandungan minit mesyuarat bocor melibatkan sebilangan pemimpin Perikatan Nasional (PN) merancang strategi menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang tular sejak semalam atau lebih dikenali PasLeak, mungkin sekadar khabar angin yang diusahakan musuh politik untuk melaga-lagakan pemimpin kerajaan.
Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menegaskan, sekiranya dokumen sulit itu sahih sekali pun, ia hanya dianggap pandangan peribadi pemimpin tertentu dalam Pas dan bukan mewakili parti itu.
Jelas beliau, hal ini kerana Pas sebagai sebuah parti berteraskan perjuangan Islam sentiasa mengikut lunas undang-undang dalam membuat sesuatu perubahan dalam politik negara serta tidak kompromi terhadap kaedah 'matlamat menghalalkan cara'.
"Saya lebih merasai bahawasanya ia (dokumen minit mesyuarat bocor) itu adalah sekadar khabar angin yang diusahakan pihak musuh untuk melaga-lagakan pemimpin kerajaan.
"Ini kerana selama ini, Pas sentiasa mengikut lunas undang-undang untuk membuat sesuatu perubahan dalam politik negara.
"Kalau sahih sekali pun, itu mungkin sekadar pandangan peribadi (pemimpin Pas tertentu), tetapi tidak mewakili parti," katanya sewaktu dihubungi Sinar Premium pada Rabu.
Bekas Pesuruhjaya Pas Perlis itu berkata demikian bagi mengulas pendedahan dokumen sulit digelar Pasleak, susulan isi kandungannya menarik perhatian beberapa pemimpin kanan UMNO termasuk Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Lebih menarik, inti pati sebahagian dokumen sulit PasLeak itu turut dikongsikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam media sosialnya dengan beliau turut menggesa individu dinamakan di dalamnya, tampil membuat penafian sekiranya tidak benar.
Ahmad Shabery berkata, isu tersebut adalah seakan-akan ‘skandal Watergate’ pengintipan di Amerika Syarikat tahun 1972.
Dalam dokumen tersebut beberapa nama disebutkan. Selain Ahmad Zahid, ia juga memetik nama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Bendahari Kehormat BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan beberapa pemimpin UMNO lain.
Berdasarkan pendedahan gerakan politik oleh dokumen berkenaan, terdapat sekelompok pemimpin PN seolah-olah merancang mempercepatkan hukuman penjara ke atas Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selain cubaan mengaitkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan kes mahkamah.
Mengulas lanjut, Hashim menegaskan beliau sendiri tidak tahu-menahu mengenai perkara itu dan masih beranggapan ia tidak sahih.
"Namun, kalau sampai peringkat perkara itu perlu dibincangkan di peringkat parti, kita akan adakan. Cuma setakat ini, saya masih menganggap ia sekadar perkara di angin lalu sebab kesahihannya diragui," ujarnya.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin enggan mengulas lanjut mengenai kesahihan butiran perkara yang didedahkan dalam dokumen PasLeak yang tular itu susulan tidak pasti terhadap ketulenannya.
Atas sebab itu, bekas Menteri Besar Johor itu bersetuju dengan pandangan Ahmad Shabery bahawa setiap individu yang terlibat dalam dokumen tular berhubung gerakan menjatuhkan UMNO termasuk pemimpin parti itu, perlu tampil mengemukakan penafian sekiranya tidak benar.
"Yang pertama, kita tidak tahu dokumen itu tulen atau tidak. Atas sebab itu, kenyataan Ahmad Shabery supaya pemimpin-pemimpin terlibat tampil memberikan penjelasan, saya persetujui," tegasnya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Datuk Razali Idris menganggap pendedahan dokumen PasLeak berkenaan sebagai 'berita palsu' kerana menyakini ia bukan kandungan minit mesyuarat rasmi PN atau Bersatu sendiri.
Tidak menolak kemungkinan kandungan maklumat dokumen tular itu mungkin atas konteks pertemuan biasa pemimpin-pemimpin tertentu, Ketua Pimpinan Bersatu Terengganu itu percaya tindakan penularannya adalah berasaskan agenda tersendiri pihak musuh.
"Kalau sampai pendedahan cerita buruk untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan UMNO, itu tidak betul. Dalam Bersatu, kita sentiasa konsisten dalam mempertahankan usaha mengekalkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sejak dari awal lagi.
"Bahkan, apabila ada keputusan UMNO mahu memorandum persefahaman (MoU) gencatan politik di antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) tidak akan disambung, kepimpinan Bersatu dan PN masih merujuk kepada Ismail Sabri untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
"Jika ada kalangan pemimpin Bersatu hendak khianati Ismail Sabri, itu tidak mungkin. Bersatu tidak pernah fikir bagaimana untuk menjatuhkan Perdana Menteri, malah saya lebih percaya UMNO lebih berminat ke arah itu susulan dokumen berkenaan didedahkan mereka sendiri," tegas Razali lagi.
Klik di sini untuk terus membaca