SHAH ALAM - Gerak Independent menepis dakwaan yang mengatakan pihaknya telah menggangu-gugat kerusi yang dimiliki reformis pembangkang mahupun kerajaan susulan kumpulan itu bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Pengasasnya, Mohamed Tawfik Ismail berkata, apabila Parlimen dibubarkan, ia bermakna kerusi di sesuatu kawasan Parlimen itu tidak lagi bertuan.
"Kita tidak boleh katakan kerusi tersebut kepunyaan seseorang kerana selepas Parlimen dibubarkan, memang tidak ada tuan untuk kerusi itu. ‘Its open season’.
"Jadi bagi saya, kenyataan tersebut tidak tepat kerana Independent yang mengisytiharkan tempat bertanding itu telah memilih kerusi yang mereka rasa sesuai dan selesa untuk menang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bersama Johan Jaaffar yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar di Kumpulan Karangkraf di sini, pada Rabu.
Gerak Independent merupakan kumpulan inisiatif bersama yang membantu menilai dan mempromosikan calon-calon bebas yang akan bertanding pada pilihan raya.
Mengulas lanjut, anak sulung kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman itu berkata, beliau telah memilih enam kerusi Parlimen, namun masih belum menetapkan kerusi mana yang bakal ditandinginya pada PRU15 nanti.
"Yang pertama, di Mersing, Johor di mana tempat arwah bapa saya bertanding sebelum ini. Kemudian Simpang Renggam dan Pontian di mana tempat saya menjadi wakil rakyat.
"Pagoh di mana Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bertanding ataupun Langkawi di mana Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) bertanding. Ataupun Ampang di mana Zuraida (Datuk Zuraida Kamaruddin) bertanding.
"Semua ini adalah kerusi yang dipegang oleh orang Melayu. Orang UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Jadi bukan semua kerusi kita ganggu parti-parti tertentu,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca