PERKATAAN governans atau tadbir urus sering disalah anggap oleh ramai pihak. Ada yang sering menganggap governans sama dengan government atau kerajaan. Mungkin kerana bunyinya yang hampir sama.
Sekitar tahun 1995 ketika saya masih bekerja dengan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), saya ada mencuba untuk mencadangkan agar Malaysia terlibat dalam satu program peringkat rantau Asia Pasifik yang mengunjurkan kepada good governance.
Pegawai kanan kerajaan yang saya temui dengan cadangan tersebut pada ketika itu memberi syarahan panjang lebar kepada saya tentang kenapa saya mencadangkan perkara itu, seolah-olah saya membuat andaian bahawa government Malaysia pada masa itu tidak baik dan memerlukan good governance.
Agak lama juga saya perlu mengambil masa untuk meyakinkan beliau bahawa governans dan government adalah dua perkara yang jauh bezanya. Pun begitu beliau masih bersikap skeptikal dengan apa yang saya jelaskan.
Untuk kolum kali ini, saya ingin menulis mengenai keperluan kepada governans yang memberi fokus kepada insan atau manusia yang ingin kita bentuk keperibadian mereka dengan nilai-nilai baik agar tingkah laku dan sikap mereka bertindak dengan penuh integriti dan dapat membantu rakyat terbanyak.
Semasa saya bekerja di UNDP, saya dididik untuk sentiasa memberi keutamaan kepada masyarakat yang ingin kita bantu. Pada masa itu mantranya ialah sustainable human development (SHD). Ia selalu menjurus kepada bagaimana governans yang baik itu akan dapat membantu untuk membangunkan masyarakat sekelilingnya.
Mungkin ramai keliru, apabila berlaku pelanggaran kepada tadbir urus baik, yang sering kita lihat sebagai tindakan diambil adalah untuk memperbetulkan sistem kawalan, meningkatkan proses kerja, menambah baik prosedur dan sebagainya, sedangkan manusia yang membuat kesilapan itu terlepas daripada sebarang tindakan.
Pada waktu ini mungkin elok saya ingatkan kita semua kembali kepada lapan prinsip yang terkandung dalam konsep tadbir urus atau governans yang baik. Yang pertama disebut adalah participation atau penglibatan semua. Maknanya dalam proses kerja yang dilakukan dengan berpandukan kepada governans yang baik, ia perlu melibatkan semua pihak.
Yang kedua ialah rule of law, maknanya apa juga kerja yang dibuat harus menghormati undang-undang sedia ada. Yang ketiga adalah transparency atau ketelusan. Prinsip telus ini sangat penting agar seseorang itu tidak dilihat membuat sesuatu keputusan sewenang-wenangnya tanpa penjelasan dan sebab yang munasabah.
Yang keempat ialah responsiveness. Seseorang penjawat awam itu perlu mempunyai sikap responsif di mana mereka dilihat mudah memberikan kerjasama atau reaksi yang bersifat membantu terhadap sesuatu usaha dengan kadar segera bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Yang kelima ialah consesus oriented. Maknanya dalam setiap keputusan itu ia dilakukan dengan persetujuan ramai.
Dua prinsip yang terakhir berkait dengan equity and inclusiveness dan effectiveness and efficiency. Prinsip yang terakhir berkait dengan sikap responsif yang disebut awal, tetapi memberi penekanan agar bukan sahaja memberi respons yang segera tetapi ia harus efektif dan efisien.
Semua ini jika dilakukan oleh setiap penjawat awam dan pekerja tidak kira di sektor mana mereka berada, saya pasti semua rakyat dalam negara ini akan merasai mereka diwakili dengan adil secara ekuiti dan terangkum sama secara inklusif.
Bukankah ini konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita? Syaratnya untuk kita capai adalah meletak konsep governas baik ini yang sememangnya bersifat human centric ini sebagai teras dalam setiap tindak-tanduk perlakuan kita yang menjunjung nilai-nilai murni dan sentiasa bertindak dengan jujur, amanah dan berintegriti.
Semoga Malaysia kita terus cemerlang.
* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM
Klik di sini untuk terus membaca