GERAK Independent merupakan satu kumpulan yang ditubuhkan atas inisiatif bersama bagi membantu menilai dan mempromosikan calon-calon Bebas bertanding dalam pilihan raya. Seramai 15 calon daripada pertubuhan tersebut bakal bertanding pada... Klik di sini untuk terus membaca

GERAK Independent merupakan satu kumpulan yang ditubuhkan atas inisiatif bersama bagi membantu menilai dan mempromosikan calon-calon Bebas bertanding dalam pilihan raya.

Seramai 15 calon daripada pertubuhan tersebut bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan salah seorang daripadanya ialah peguam dan aktivis, Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali Siti Kasim.

Justeru, Pengasas Gerak Independent, Mohamed Tawfik Ismail berkata, pihaknya berikrar mengembalikan semula kompas moral negara selain mengembalikan prinsip-prinsip politik dalam pentadbiran jika dipilih sebagai wakil rakyat.

Ikuti kupasan lanjut Mohamed Tawfik ketika menjadi tetamu program Bersama Johan Jaaffar yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.

JOHAN: Apa pandangan tentang politik semasa di Malaysia sekarang ini?

Johan

MOHAMED TAWFIK: Keadaan politik dalam negara sekarang ini amat mengelirukan kerana dalam sejarah tidak pernah mengalami dua kali tukar Perdana Menteri dan dua kali tukar kerajaan dalam masa singkat. Jadi ini menimbulkan pelbagai persoalan atas kestabilan politik dalam negara kita.

Tidakkah saudara merasakan ini adalah sebahagian daripada proses kematangan politik? Kalau kita tengok apa yang berlaku di Indonesia setelah jatuhnya Presiden Suharto, negara itu memerlukan sekurang-kurangnya empat Presiden dalam masa 10 hingga 12 tahun untuk melihat kestabilan itu.

Kita boleh pandang keadaan begitu dan juga kita boleh menimbangkan sejauh mana Melayu berfikir secara mendalam berkaitan politik mereka sendiri. Oleh kerana Indonesia memang menjadi satu contoh, tapi beza kita (Malaysia) dengan Indonesia ini adalah kita pegang lebih kepada agama Islam daripada agama-agama lain.

Tidakkah itu juga menunjukkan bahawa perkataan kestabilan politik selalunya ditafsirkan sebagai alasan untuk seorang pemimpin yang menjalankan cara pemerintahan kuku besi misalnya. Asalkan ada kestabilan politik, maka orang akan menganggap bahawa itu adalah cara yang sebaiknya bagi negara. Tidakkah dalam proses demokrasi perlu ada keseimbangan?

Memang ini adalah satu daripada ciri-ciri demokrasi, mesti ada keseimbangan kerana kita tidak mahu beri kuasa yang terlampau kepada seseorang ataupun semua parti atau sebuah institusi. Semak dan imbang kita adalah Perlembagaan yang menunjukkan sejauh mana seseorang boleh menggunakan kuasanya.

Katalah selama 60 tahun sewaktu Barisan Nasional (BN) memerintah, oleh kerana BN mempunyai kekuatan melebihi dua pertiga, ertinya pada pandangan saudara dua pertiga itu tidak cukup semak dan imbang?

Ini kita lihat pada keputusan daripada pemerintahan BN walaupun dah dapat dua pertiga, sejauh mana kemajuan untuk orang-orang negara kita ini? Itu menjadi satu daripada bukti kejayaan yang kita perlu teliti. Dua pertiga tidak bermakna kita ada kerajaan yang bagus.

Bukankah pada waktu yang sama kita melihat perubahan dari segi skyline, melihat kemajuan proses perindustrian yang hebat dan juga pertumbuhan ekonomi yang luar biasa?

Perempuan kalau bersolek pun lagi lawa daripada apa yang kita lihat buat kali pertama. Jadi negara pun seperti itu juga. Bila kita buat perubahan kosmetik, kita nampak seperti kita progresif tetapi dalam struktur masyarakat kita boleh nampak ada banyak yang tertinggal.

Saya mahu bawa perhatian saudara soal yang membabitkan kepelbagaian dalam kalangan rakyat. Ada yang mengatakan bahawa kepelbagaian itu adalah kekuatan bagi negara kosmopolitan seperti kita. Tetapi apakah saudara merasakan bahawa kepelbagaian dalam negara khususnya pada masa sekarang ini diterima atau diiktiraf ataupun kita ada masalah besar dari segi hubungan kaum?

Kita sepatutnya menggalakkan kepelbagaian ini sejauh mana yang kita mampu oleh kerana dalam masyarakat Melayu sendiri kita nampak ada pelbagai Melayu. Melayu di utara tidak sama dengan Melayu di selatan. Misalnya istilah, kalau saya kata ‘awak’ di Johor dikira bahasa halus tapi kalau saya cakap ‘awak’ kepada orang utara ini bahasa kasar. Sama dengan bila kita cakap ‘engkau’, pada orang Johor ia kasar. Tapi bila kita cakap pada Tuhan, ia menjadi satu bahasa halus. Jadi bila Melayu menggunakan bahasa sendiri, Melayu pun tidak begitu pelbagai. Jadi kepelbagaian itulah yang kita kena terima.

Kalau kita perhatikan dalam kenyataan saudara sendiri menunjukkan bahawa perpaduan Melayu ini lebih mitos daripada realitinya. Boleh saudara huraikan?

Kita tengok kepada sejarah Melayu sejak merdeka. Berapa banyak pemimpin menyatakan Melayu mesti bersatu padu. Tapi bila mereka minta Melayu bersatu padu, mereka tubuh pula parti-parti lain untuk memecahkan balik Melayu.

Jadi, apakah maknanya perpaduan dalam pemikiran pemimpin?

Maksud saya juga, seperti yang saudara bangkitkan, banyak parti bumiputera dan Melayu yang sekarang ini tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Apakah itu menjadi satu DNA bagi politik Melayu ataupun memang ini merupakan petanda yang saudara sebutkan sebagai perpaduan Melayu itu lebih daripada sekadar mitos sahaja? Seperti juga cendawan, ada yang boleh dimakan, ada yang racun. Jadi kita kena memilih yang mana sesuai untuk keadaan kita sekarang.

Kita tahu saudara sebagai pengasas Gerak Independent. Apa sebenarnya Gerak Independent ini?

Dalam sistem demokrasi kita sejak tahun 1955, tahun di mana kita mengadakan pilihan raya yang pertama dalam sejarah kita sebagai negara moden. Kita telah mengalami macam-macam perjanjian daripada parti-parti yang cuba memerintah kita. Tetapi perjanjian ini semua hilang. Bila sampai lepas pilihan raya di Parlimen atau di majlis negeri, suara wakil rakyat ini semua terlalu senyap.

Mohamed Tawfik

Bila masalah ditimbulkan atas perkara-perkara yang berprinsip. Misalnya apabila Pas mengutarakan Rang Undang-Undang (RUU) 355 di mana saya menentang Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Tan Sri Hadi Awang. Tidak banyak wakil rakyat yang bangun untuk menegakkan Perlembagaan. Asalkan bila mereka membentangkan RUU itu, mereka menentang peraturan mesyuarat Parlimen berkenaan dengan tugas-tugas Majlis Raja-Raja dan juga Perlembagaan di mana perkara berkenaan dengan agama mesti terlebih dahulu dibincang oleh Majlis Raja-Raja. Ini semua diketepikan. Saya juga rasa ini adalah sebab parti politik semua memegang mereka yang jadi wakil rakyat dan tidak memberi mereka peluang untuk menyuarakan apa yang sepatutnya dalam hati.

Bukankah itu sebahagian daripada sistem yang memang sedia ada? Maksudnya kalau saya adalah ahli Parlimen dari sesuatu parti, jadi saya harus patuh dan akur kepada keputusan yang dibuat oleh parti itu?

Bila kita dipilih sebagai wakil rakyat, tugas kita yang pertama ialah masuk ke Parlimen untuk berikrar kesetiaan kepada Perlembagaan, kesetiaan kepada negara dan kesetiaan kepada Raja-Raja. Ini tanggungjawab kita yang pertama. Bukan pada parti, bukan pada individu dalam parti. Ini yang mereka lupakan.

Apakah yang boleh dilakukan Gerak Independent dalam konteks ini? Katalah 15 orang daripada saudara terpilih sebagai mewakili kelompok yang tidak tertakluk atau tidak perlu akur pada mana-mana parti politik. Apa yang boleh dilakukan?

Yang pertama, kami adalah golongan yang boleh dianggap sebagai senior. Semua berumur lebih daripada 50 dan 60 tahun. Kita boleh dikatakan sebagai anak merdeka. Semua dilahirkan pada tahun 1950-an. Kita dah merasai dipimpin oleh pelbagai pemimpin sejak Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehingga sekarang. Kita tahu apa yang telah dijanjikan dan apa yang tidak ditunaikan. Jadi tugas kami sebagai Gerak Independent adalah untuk mengembalikan apa yang dikatakan kompas moral negara. Kita hendak beri peringatan kepada orang ramai apa yang telah dijanji dan apa yang telah dicapai. Orang-orang yang baru masuk politik dalam negara sekarang ini lupa atau tidak tahu sejarah. Tapi sebagai senior, kita boleh masuk, boleh ingatkan orang inilah tujuan yang patutnya kita ikut dan kenapa kita tidak sampai ke matlamat yang telah ditetapkan oleh pengasas-pengasas kita.

Apakah saudara merasakan bahawa rakyat Malaysia sudah bersedia untuk menerima wakil Parlimen atau ahli-ahli Parlimen independent ini?

Sebab pada awal tadi Tan Sri cakap tentang kematangan. Jadi saya rasa pengundi-pengundi sekarang dah matang. Boleh menerima pelbagai jenis pemimpin Melayu seperti saya, peguam dan aktivis, Siti Zabedah Kasim (Siti Kasim). Selain daripada pemimpin seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan yang ada di Parti Amanah Negara (Amanah) serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Jadi apa salahnya kami mengutarakan diri kami untuk memberi pilihan yang lain.

Apakah yang boleh ditawarkan oleh saudara dan Siti Kasim?

Bagi saya sendiri, sebagai orang yang pegang kepada sejarah keluarga, saya berjanji untuk mengembalikan balik prinsip-prinsip politik dalam pentadbiran sekiranya saya diberikan peluang untuk memimpin. Yang pertamanya kita perlu ada perancangan untuk masa depan. Kita mesti ada satu jawatankuasa khas yang boleh menimbangkan semua akta-akta yang akan dibentangkan di Parlimen supaya akta-akta ini tidak menjejas masa depan orang yang akan datang selepas kita. Kemudian ekonomi negara juga mesti dikembalikan dengan seberapa jujur dan ikhlas supaya kita tidak mengalami seperti apa yang kita alami sekarang.

Saudara meletakkan angka yang munasabah untuk memulakan gerak kerja ini. Daripada 222 ahli Parlimen, apakah itu boleh membuat perubahan atau make it different?

Di dalam politik sekarang ini saya rasa selepas tiap-tiap pilihan raya mesti ada gabungan politik. Kalau kita tengok kepada sikap pengundi sejak tahun 2018, semua 50-50. Tidak ada satu parti yang boleh katakan kuat, boleh pegang kerajaan dengan parti dia sendiri. Jadi kita sebagai Gerak Independent boleh menjadi balancing power di antara dua pihak. Oleh kerana di dalam sejarah dua tahun yang lepas, kita nampak sebuah parti yang kecil macam yang dipegang oleh Dr Mahathir dengan berapa orang saja boleh memegang kerajaan, memberi balance (keseimbangan) kepada parti-parti yang ada. Bila Yang di-Pertuan Agong memanggil seseorang ahli Parlimen untuk menjadi pemimpin sebagai Perdana Menteri, dia boleh pilih antara 222 orang ini. Seorang yang di dalam pemikiran Tuanku yang boleh pegang the confident of the house. Jadi kita menawarkan diri sebagai alternatif kepada pemimpin yang lain.

Ada tidak model yang boleh digunakan? Misalnya di luar negara dalam konteks yang digerakan independent ini yang berjaya di mana-mana?

Ada. Saya ingat di Eropah, di Belgium ada golongan independent yang memegang kuasa di negara itu dan menentukan arah politik di negara berkenaan.

Bila saudara mengumumkan beberapa nama yang akan mewakili Gerak Independent untuk pilihan raya akan datang, salah seorang menarik diri. Bukankah itu merupakan satu tamparan kepada Gerak Independent itu sendiri?

Tidak, kerana di dalam politik ada orang yang lebih matang sebagai pemimpin politik ataupun sebagai influencer mengikut istilah yang ada sekarang ini. Jadi kalau kawan yang menarik diri itu rasa dia tidak boleh menangkis kritikan-kritikan terhadap diri dia, lebih baik dia undurkan diri.

Ada juga pandangan yang mengatakan bahawa Gerak Independent nampaknya akan bertanding di kawasan yang dimiliki kelompok reformis pembangkang dan sebagainya. Gerakan akan masuk dan mengganggu kedudukan mereka. Apa komen saudara mengenai hal itu?

Itu tidak tepat. Oleh kerana tiap-tiap independent yang mengisytiharkan tempat bertanding itu telah memilih kerusi yang mereka rasa sesuai dan selesa untuk menang. Kita tidak boleh katakan kerusi itu kepunyaan seseorang oleh kerana selepas Parlimen dibubarkan, memang tidak ada tuan untuk kerusi itu. Ia terbuka. Jadi tiap-tiap independent telah memilih kerusi yang mereka rasa selesa. Dalam hal itu juga, saya nak katakan saya belum tetapkan kerusi yang akan ditandingi. Saya sudah beri enam kerusi yang saya mungkin pilih.

Yang pertama, di Mersing di mana arwah bapa saya dulu bertanding. Simpang Renggam dan Pontian di mana saya menjadi wakil rakyat. Pagoh di mana Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding ataupun Langkawi di mana Dr Mahathir bertanding ataupun Ampang di mana Datuk Zuraida Kamaruddin bertanding. Semua ini adalah kerusi dipegang oleh orang Melayu. Orang UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Jadi bukan semua kerusi kita ganggu parti-parti tertentu.

Siapa yang membiayai Gerak Independent?

Ini semua kita bayar sendiri. Kita cari dengan cara kita sendiri.

Saya juga terbaca macam ada crowdfunding dalam konteks membiayai Gerak Independent?

Ya, crowdfunding ini satu daripada caranya dan mungkin cara yang lebih sesuai oleh kerana kita hendak rakyat memilih wakil rakyat yang mereka suka, dengan cara yang mereka mampu.

Apa kriteria yang diletakkan bagi calon-calon Gerak Independent ini?

Setiap calon diberikan satu borang untuk diisi. Kebanyakan soalan yang kita tanya lebih kurang apa yang bank tanya kepada peminjam-peminjam supaya ahli itu menjadi seorang yang memang tidak boleh dikatakan victims money politic.

Dalam tubuh saudara mengalir darah UMNO. Ayah saudara, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman adalah Timbalan Perdana Menteri. Orang yang sangat dihormati dan dikagumi sehingga ke hari ini. Adakah tidak ada lagi darah UMNO yang mengalir dalam badan saudara?

UMNO dah dibunuh pada tahun 1987 dan apa yang kita panggil ‘UMNO ini bukan UMNO’. Jadi saya tidak letak apa-apa taat setia kepada mana-mana parti yang panggil diri dia sebagai UMNO sebab itu bukan UMNO. Perjuangan dia dah lama lari daripada UMNO yang asal.

Saudara merupakan anak sulung kepada Allahyarham. Apakah satu perkara yang saudara paling ingat walau saya difahamkan saudara berusia 22 tahun apabila Allahyarham meninggal. Apa agaknya satu perkara ataupun amanat yang penting disampaikan kepada anak-anaknya khususnya saudara?

Sebelum Allahyarham meninggal dunia, dia melawat saya di Australia di University New England pada Mac 1973. Nasihat Allahyarham yang terakhir pada saya ialah sekiranya saya nak masuk dalam bidang politik, mestilah selepas saya menjadi seorang yang dah kaya dan berpegang pada satu profesion yang saya boleh kembali kalau politik itu tidak berjalan sepertimana dirancang.

Saudara ikut nasihat?

Saya cuba. Jadi, bila saya masuk politik itu saya tidak ikut emosi. Saya kena ikut kemampuan dan juga prinsip.

Jadi apa pandangan saudara yang penting perlu ada bagi seseorang pemimpin politik pada hari ini? Mengambil kira bahawa dari segi teras defisit orang politik ini berada pada kedudukan yang sangat bawah.

Pertamanya, bila kita masuk dalam politik dan kita hendak menjadi pemimpin, jangan mengharapkan pulangan yang tinggi sangat selepas kita bersara. Bapa saya masuk politik walaupun dia seorang doktor kerana kehendak negara, bukan kehendak diri sendiri. Dia memang senang dengan masa persaraan dia. Dia dipanggil balik kerana Tunku (Abdul Rahman) dan Tun Abdul Razak mengalami masalah negara. Jadi dia korbankan masa dan tenaga dia untuk kawan-kawan rapat seperti Tunku dan Tun Razak. Ini adalah semangat perjuangan yang harus orang-orang ingat dan bila dia masuk dia tidak memikir nak pegang jawatan yang tinggi, tetapi ALLAH SWT telah tentukan yang dia meninggal sebagai pemangku Perdana Menteri. Ini adalah satu penghormatan yang terbesar bagi dia.

Mohamed Tawfik (kanan) ketika menjadi tetamu program Bersama Johan Jaafar di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.

Ada tidak mana-mana pemimpin baik di dalam ataupun di luar negara selain daripada Allahyarham yang menjadi ikon bagi saudara?

Selain daripada Allahyarham, saya rasa yang pegang kuat kepada semangat kenegaraan adalah datuk saya, Datuk Rahman dan Datuk Sheikh. Dua-dua telah ada rekod menentang raja dia sendiri bila mana raja itu melanggar Perlembagaan. Datuk Sheikh khasnya masa Tunku membawa rombongan berunding untuk kemerdekaan, Datuk Sheikh telah diarahkan oleh Sultan Johor jangan setuju kepada kemerdekaan. Tetapi bila ditanya oleh British di London, dia kata Johor setuju. Jadi Johor menjadi sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Tetapi bila dia balik kerana langgar arahan Tuanku, dia dibuang kerja. Dia pegang kepada prinsip dan perjuangan dia sendiri sebagai orang Melayu yang pegang kepada apa yang bagus untuk bangsa.

Apa harapan saudara untuk masa depan negara kita?

Saya harap kita sebagai satu negara yang berpegang kepada pelbagai bangsa walaupun datang dari negara yang berlainan. Kita orang Melayu jangan sombong sangat menerima mereka sebagai rakyat Malaysia. Kita kena bersatu padu kerana bila kecemasan mereka yang menjadi kawan kita. Bangsa lain inilah yang akan mempertahan dan mengorbankan diri mereka untuk kita.

PROFIL:

Nama sebenar: Mohamed Tawfik Ismail

Tarikh lahir: 23 September 1951

Asal: Johor Bahru

Pendidikan: St Johns KL RMC 1967 - 1968

Bachelor of Arts University New England

Bachelor of Arts University of Oxford

Jawatan:Pengasas Gerak Independent

Bekas Ahli Parlimen Sungai Benut

Klik di sini untuk terus membaca