SHAH ALAM - Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditempatkan di depot tahanan imigresen di negara ini didakwa tidak mendapat layanan sebaiknya, malah pusat tersebut dikatakan terlalu padat.
Aktivis hak asasi pelarian, Mahi Ramakrishnan mendakwa, pihaknya ada mendapat maklumat mengenai keadaan ‘tidak selesa’ dalam depot tahanan berkenaan.
"Justeru saya berharap kerajaan perlu benarkan bukan hanya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk adakan lawatan ke depot tahanan bagi melihat sendiri keadaan di sana,” katanya pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mahi yang juga pengasas Beyond Borders Malaysia berkata, kerajaan tidak sepatutnya menggunakan alasan ancaman keselamatan dan kesihatan untuk tidak membenarkan NGO hak asasi pelarian melawat tahanan kerana mereka telah ditempatkan di dalam bilik khas.
"Kita selalu dengar cerita mengenai torture terhadap tahanan polis atau imigresen, namun tidak dapat dibuktikan. Jika berlaku, perkara ini harus disiasat dan tahanan ini mesti dilayan secara hormat sebagai manusia dan berperikemanusiaan.
"Pelarian juga tidak boleh ditahan lebih dari setahun. Saya percaya oleh sebab tekanan yang dihadapi selain keadaan yang sesak serta layanan buruk yang diberikan ketika dalam tahanan, mereka nekad melarikan diri,” ujarnya.
Pengarah Eksekutif North South Initiative, Adrian Pereira pula berkata, keadaan di dalam pusat tahanan diakui terlalu padat, kotor dan amat ‘menyeksakan’.
Perkara ini, katanya, dibuktikan dengan jumlah kes kematian dalam tahanan imigresen yang dilaporkan sejak tahun 2018 hingga 15 Februari tahun ini mencecah angka 208 orang.
Tambahnya, laporan itu menyebut punca kes kematian di pusat tahanan imigresen di seluruh negara, antaranya disebabkan pelbagai komplikasi kesihatan selain akibat Covid-19.
"Mengikut cerita pelarian yang pernah ditahan, mereka mengakui situasi di dalam pusat tahanan kurang elok, mungkin sebab terlalu padat, kotor selain makanan yang diberikan kurang bernutrisi. Perkara ini perlu siasat dan diperbaiki,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca