SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengakui berlaku kesesakan di depot-depot tahanan sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga mengundang tekanan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI). Bagaimanapun Pesuruhjaya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengakui berlaku kesesakan di depot-depot tahanan sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga mengundang tekanan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).

Bagaimanapun Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph berkata, keadaan tersebut hanya berlaku di depot tahanan tertentu.

"Ada 13 kawasan depot tahanan di negara ini di bawah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan kesemuanya sudah kami lawati.

"Kalau depot tahanan yang besar selalunya semua fasiliti yang disediakan mencukupi. Tetapi terpulang kepada jumlah yang ditahan. Jika terlalu ramai maka akan berlaku kesesakan.

"Ada tempat mengalami masalah kekurangan air, tak cukup untuk tampung tahanan sehingga ada antara mereka yang mengalami penyakit kulit seperti scabies,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Jerald berkata, kumpulan etnik Rohingya merupakan pelarian yang tidak diiktiraf kewarganegaraan dan tiada keperluan menahan mereka di depot imigresen terlalu lama.

"Ini satu penganiayaan terhadap hak dan kebebasan mereka sebagai manusia biasa. Mereka harus diperiksa oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) untuk mengesahkan sama ada mereka warga Rohingya ataupun tidak.

"Kalau betul mereka warga Rohingya sepatutnya dibebaskan dengan menggunakan kad UNHCR. Bukan ditahan selama-lamanya,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya memberikan akses serta-merta kepada warga Rohingya di depot imigresen dan membenarkan tinggal dalam kalangan masyarakat mereka di Malaysia sebagai kelompok pelarian.

Klik di sini untuk terus membaca