BANDAR BAHARU - Rusuhan di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang dipercayai berlaku selepas sekumpulan warga asing gagal mendapatkan bekalan ubat untuk rakan mereka yang sedang sakit di pusat tahanan berkenaan.
Tahanan yang sakit itu didakwa telah meninggal dunia menyebabkan etnik Rohingya terbabit melakukan kekecohan dengan merosakkan harta benda di dalam pusat tahanan termasuk memecah pintu pagar sebelum mereka keluar beramai-ramai melalui pintu hadapan.
Difahamkan ketika itu hanya 23 orang pegawai imigresen yang bertugas di pusat tahanan itu dan tidak mampu mengawal jumlah warga asing yang merusuh sehingga menyebabkan 528 tahanan melarikan diri kira-kira jam 4.30 pagi Rabu.
Berdasarkan pemerhatian Sinar Harian di sekitar pusat tahanan mendapati ada kesan pagar yang rosak dipercayai dipijak kumpulan warga asing terbabit.
Malah penduduk sekitar kawasan tersebut memberitahu, kumpulan warga asing berkenaan dilihat berjalan kaki sambil melaungkan perkataan bebas dan meluru ke jalan utama sehingga ke kawasan lebuh raya.
"Kami memang terkejut dengan apa yang berlaku dan sangat bimbang dengan keselamatan kami sekarang. Sepatutnya tahap keselamatan di depot ini berada dalam keadaan yang terbaik,” kata seorang penduduk yang enggan dinamakan.
Tahanan itu kemudian didapati berjalan sejauh lapan kilometer hingga ke kawasan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Jawi sebelum enam tahanan terdiri daripada dua lelaki, dua wanita dewasa dan masing-masing seorang kanak-kanak lelaki serta perempuan dirempuh beberapa kenderaan.
Kesemua mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dalam pada itu, Sinar Harian difahamkan depot itu sebelum ini merupakan bekas tapak Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sri Impan, Sungai Bakap.
Kem terbabit mula dibuka pada 2004 dan menjadi antara pusat latihan terawal dibuka ketika program PLKN mula diperkenalkan di negara ini.
Menurut sumber, kem PLKN terbabit ditutup sepenuhnya pada 2018 dan terbiar beberapa tahun sebelum ia diubah suai untuk dijadikan depot imigresen bermula pada tahun 2020.
Semua pelarian terbabit di bawah seliaan Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang, namun ditempatkan di depot tahanan sementara berkenaan sebelum urusan penghantaran pulang dilakukan.
Ekoran daripada kejadian tersebut, pihak polis juga kini sedang giat melakukan sekatan jalan raya bagi mengesan tahan yang masih bebas.
Klik di sini untuk terus membaca