TINDAKAN seramai 528 pelarian etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang ternyata amat mengejutkan kerana secara jelas menunjukkan kelemahan kawalan keselamatan di pusat tahanan terbabit.
Lebih menyedihkan enam tahanan termasuk wanita dan kanak-kanak yang melarikan diri itu maut akibat dilanggar kenderaan semasa melintasi Kilometer 168 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran kawasan Jawi, Pulau Pinang.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan media empat perenggan memaklumkan, tahanan berkenaan melarikan diri dengan memecahkan pintu blok dan gril penghadang.
Beliau berkata, pegawai bertugas telah mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) dengan menghubungi polis dan agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan.
Bagaimanapun, tidak dijelaskan dengan lanjut bagaimana tahanan itu berjaya meloloskan diri daripada pusat tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sepatutnya dikawal ketat.
Situasi yang berlaku ketika ini jelas bertentangan dengan kenyataan yang dibuat Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad baru-baru ini bahawa pusat tahanan yang menempatkan PATI dan warga asing yang telah tamat tempoh sah kemasukan ke negara ini sentiasa berada dalam keadaan baik dan memuaskan.
Malah katanya, bukan sahaja keadaan pusat berkenaan selamat tetapi tahanan juga dijaga dengan baik, sekali gus menafikan dakwaan kononnya pusat tahanan PATI itu padat dan berada dalam keadaan yang menyedihkan.
Kini, timbul persoalan bagaimana aspek kawalan di pusat tersebut sehingga PATI berjaya keluar secara beramai-ramai tanpa disedari anggota atau pegawai yang bertugas.
Klik di sini untuk terus membaca