BERBALIK kepada Februari 2017, mungkin ramai mengecam jika ibu bapa kepada lapan mat lajak yang mati dilanggar kira-kira jam 3 pagi di Johor Bahru didakwa atas pengabaian di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan dijatuhkan hukuman sama ada penjara atau denda. Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga.
Hari ini, ramai yang menuntut pendakwaan mereka apabila pemandu kereta yang melanggarnya, Sam Ke Ting dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi selepas dibebaskan tidak bersalah sebanyak dua kali oleh Mahkamah Majistret. Bagi mereka, tak adil kalau Ke Ting saja yang terhukum.
Saya mendokong kedaulatan undang-undang tetapi tertanya-tanya sama ada pendekatan undang-undang mencukupi.
Kebanyakan mat lajak - bila besar dipanggil mat rempit - ialah anak-anak B40. Mengapa mereka tidak menghiburkan diri dengan telefon pintar paling canggih, berlumba sesama lain dalam permainan komputer atau membangunkan bakat mereka dalam sukan atau muzik? Mengapa mereka tidak memilih aktiviti-aktiviti riadah yang lebih selamat macam anak-anak M40 dan T20?
Nyata sekali, mereka tidak mampu. Kampung mereka mungkin tiada kemudahan sukan atau muzik untuk remaja. Malah ibu bapa mereka juga mungkin tiada masa untuk mendampingi anak kalau mereka terpaksa bekerja sepanjang masa untuk menanggung keluarga.
Selain tidak mendakwa ibu bapa mat lajak atas pengabaian, bukankah kerajaan dan pemimpin politik yang benar-benar prihatin dan bertimbang rasa harus menambah kemudahan riadah di kampung atau PPR dan aktiviti kurikulum menarik di sekolah, serta meningkatkan kualiti hidup B40 sekali gus? Mengapa tidak diusahakan?
Kesemua ini susah dan tidak membawa manfaat politik serta-merta seperti menuding jari ke atas pemandu. Kalau pemandu saja dapat dipersalahkan, maka pengabaian rakyat B40 oleh kerajaan dan pemimpin akan dilupakan.
Sekarang, bayangkan jika Ke Ting juga cedera apabila melanggar kumpulan remaja itu, mungkinkah beliau juga terlepas daripada pendakwaan sepertimana ibu bapa mat lajak? Adakah pendakwaan ini berlaku kerana Ke Ting tidak tercedera?
Saya sama sekali tidak mencadangkan bahawa Ke Ting pasti tidak bersalah. Itu seharusnya ditentukan oleh mahkamah. Saya cuma bertanya, apabila kita mengimbangi antara keadilan dan perikemanusiaan, adakah kita terjerat untuk sebenarnya mencari pembalasan – "Takkan dia terlepas begitu saja selepas melanggar mati lapan orang anak kita” sehingga kita terus menolak kemungkinan Ke Ting tidak bersalah?
Tidak hairanlah, pembebasan Ke Ting kali pertama berlaku menjadi modal politik murahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRN) Tanjung Piai tiga minggu kemudian. Tiada bukti ditawarkan. Niatnya ialah menimbulkan kemarahan orang Melayu terhadap orang Cina, mahkamah dan Jabatan Peguam Negara supaya dilupakan pengabaian anak B40 selama ini.
Mujur arus sudah berubah sekarang. Yang menyokong Ke Ting merentasi kaum. Dua petisyen dalam talian yang telah mencecah 850,000 tandatangan dimulakan oleh Wan Junaida dan Mohamad Ariff, bukan orang Cina.
Saya berharap keadilan ditegakkan dalam kes Ke Ting tanpa sentimen kaum. Saya juga berharap agar pengabaian B40 tidak dilupakan apabila sentimen kaum dimainkan lagi.
Akhirnya, saya berharap agar pendakwa raya dipisahkan daripada Jabatan Peguam Negara supaya kewibawaannya tidak dipersoalkan kerana pertimbangan politik.
*Prof Wong Chin Huat seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen
Klik di sini untuk terus membaca