SEKUMPULAN pejuang Palestin sedang bersiap sedia bagi menghadapi ancaman daripada pasukan keselamatan Israel di bawah tanah berpasir di selatan Gaza ketika ketegangan semakin memuncak di Baitulmaqdis. Bagaimanapun, di sebuah kawasan hutan... Klik di sini untuk terus membaca

SEKUMPULAN pejuang Palestin sedang bersiap sedia bagi menghadapi ancaman daripada pasukan keselamatan Israel di bawah tanah berpasir di selatan Gaza ketika ketegangan semakin memuncak di Baitulmaqdis.

Bagaimanapun, di sebuah kawasan hutan berhampiran Khan Yunis, selatan Gaza, tujuh lelaki yang memakai topeng berada dalam kepenatan apabila membawa peralatan mesingan dan pelancar bom tangan ke pintu masuk terowong dan tersembunyi di kaki bukit kecil.

Para pejuang Palestin itu turut memakai pengikat kepala Briged Al-Quds yang merupakan sebuah cabang bersenjata pertubuhan Jihad Islam.

Jihad Islam merupakan kumpulan bersenjata yang kedua terbesar di Gaza selepas pergerakan Islam, Hamas yang memerintah wilayah itu.

Cabang-cabang pokok didapati menutupi sebuah lubang yang merupakan terowong sempit berdinding dan di atas permukaannya terdapat pula blok konkrit.

Seorang pegawai Jihad Islam memberitahu AFP semasa lawatan media yang diadakan baru-baru ini bahawa pergerakan itu mempunyai sistem pertahanan dan serangan di dalam terowong tersebut.

Ia digunakan untuk menawan askar-askar Israel, menangkis serangan darat tentera rejim Zionis dan digunakan bagi melaksanakan pelbagai operasi.

Semasa pegawai tersebut bercakap, dia menerima amaran radio tentang insiden keselamatan di timur bandar Gaza namun ia sebenarnya hanyalah amaran kecemasan palsu.

Pada Mei tahun lalu semasa perang selama 11 hari berlangsung, Israel melancarkan pelbagai jenis serangan terhadap satu rangkaian terowong.

Terowong tersebut membolehkan pejuang-pejuang Palestin bergerak tanpa dapat dikesan oleh dron Israel.

Ia juga digunakan bagi membolehkan serangan mengejut dilancarkan ke atas rejim Zionis.

Terowong di Gaza digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk membawa masuk barangan. - Foto AFP

Terowong telah lama digunakan di Gaza iaitu sebuah wilayah di tepi pantai yang sempit dan terkepung dan menempatkan kira-kira 2.3 juta orang sejak tahun 2007 lagi.

Ketika itu, Israel melaksanakan sekatan ke atas wilayah berkenaan sebagai tindak balas terhadap pentadbiran Hamas.

Satu rangkaian terowong pula dibina di sempadan antara Gaza dengan Mesir bagi membolehkan para pejuang Palestin mengimport segala-galanya daripada barangan rumah yang sangat diperlukan dan juga makanan serta senjata.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Mesir telah memusnahkan kebanyakan terowong tersebut.

Rejim Zionis telah meningkatkan keupayaan keselamatannya di sekitar Gaza dengan membina dinding keluli bawah tanah dan berharap ia akan dapat menghalang terowong tersebut daripada sampai ke Israel.

Komander Israel berasa takut jika para pejuang Palestin itu menggunakan terowong sedemikian bagi menawan askar-askar rejim Zionis atau penduduk awam Yahudi.

Askar-askar Israel dan penduduk awam Yahudi yang ditawan itu digunakan dalam proses tawar-menawar untuk ditukarkan dengan banduan Palestin.

Namun, walaupun terowong milik Jihad Islam itu tidak dapat sampai ke Mesir atau Israel, ia masih merupakan senjata yang strategik, kata seorang jurucakap Briged Al-Quds, Abu Hamza.

Terowong itu telah dibaiki dan stok roket telah diisi semula sejak perang dengan Israel berlaku pada tahun lalu, menurut Abu Hamza sambil memuji Iran berikutan sokongan yang diberikan kepada brigednya.

Bagaimanapun, jurucakap tersebut tidak mendedahkan tentang saiz rangkaian terowong organisasi berkenaan atau bilangan pejuang yang dimilikinya.

Sungguhpun begitu, satu lagi sumber Briged Al-Quds yang enggan namanya didedahkan berkata, ia mempunyai sebilangan besar terowong yang menjangkau jauh ke dalam Israel.

Beliau berkata, kumpulan itu juga mempunyai roket-roket yang jika dilancarkan akan mampu tiba ke seluruh Israel.

Tidak jauh dari salah satu pintu masuk terowong tersebut, sekumpulan pejuang Palestin duduk berbual di bawah pokok.

"Kami telah menerima arahan untuk menggerakkan dan mempertahankan Masjid al-Aqsa dan Baitulmaqdis," kata seorang daripada mereka seperti yang dilaporkan AFP. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca