SHAH ALAM - Pakar keselamatan dan undang-undang menyalahkan kerajaan yang tidak bertindak lebih awal, sehingga berlakunya insiden 528 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Depot Sementara Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang meloloskan diri.
Pakar Undang-undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Salawati Mat Basir berkata, amaran demi amaran telah diberikan tentang tatacara pengawalan orang asing, namun tiada tindakan sewajarnya diambil oleh kerajaan.
Lebih memburukkan keadaan, kesesakan di depot tahanan, layanan yang tidak betul dan tahap keselamatan yang lemah menyebabkan insiden memalukan itu terjadi.
"Insiden hari ini (Rabu) adalah salah kerajaan kerana tidak bertindak daripada awal.
"Masalah pendatang itu sudah berkurun tapi kerajaan tidak mampu menyelesaikannya. Saya nampak Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak efisien dan serius dalam menyelesaikannya.
"Bagaimana tatacara pengawalan orang asing yang masuk secara halal dan haram. Mana data itu?
"Saya juga tidak tahu apa KDN lakukan. Bila ditanya kenapa depot tahanan tidak diselenggara dengan baik dan terlalu sesak, alasan yang diberikan adalah tiada duit, itu sahaja,” katanya.
Seramai 528 orang tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang pada jam 4.30 pagi Rabu dengan memecahkan pintu blok dan grill penghadang.
Salawati turut melihat insiden itu berlaku kerana depot tahanan terlalu sesak dan tidak diselenggara dengan baik menyebabkan PATI di situ tidak berpuas hati dan marah.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan layanan yang tidak betul boleh menimbulkan kemarahan kalangan tahanan.
"Mungkin mereka (penguat kuasa) ada berkasar menyebabkan PATI merusuh, kita tak tahu apa yang berlaku dalam depot.
"Dari segi keselamatan, kerajaan perlu pertingkatkan. Saya lihat grill yang dipasang juga tidak berapa kukuh untuk depot.
"Kita sudah cakap hampir 20 tahun tapi dari satu menteri hingga ke menteri lain, tiada mekanisme mengawal pelarian.
"Yang ditangkap itu bukan lagi pemegang Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” jelasnya.
Sementara itu, penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, kesalahan tidak boleh diletakkan di atas Jabatan Imigresen semata-mata, sebaliknya melihat peranan Wisma Putra dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menangani isu PATI dan pelarian.
"Kebanyakan mereka ialah tahanan lama Rohingya.
"Mereka terlalu lama di depot, menyebabkan nekad untuk meloloskan diri.
"Wisma Putra kena bantu dan gerakkan untuk menempatkan pelarian ini ke negara ketiga dan tidak membiarkan mereka ini terlalu lama di sini,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca