SUBANG - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sedia memberi keterangan jika dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes penjualan tanah tapak lapangan terbang Seri Iskandar, Perak... Klik di sini untuk terus membaca

SUBANG - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sedia memberi keterangan jika dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes penjualan tanah tapak lapangan terbang Seri Iskandar, Perak yang didedahkan kepada umum, beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan mendedahkan sehingga kini beliau masih belum dipanggil SPRM bagi membantu siasatan kes terbabit.

"SPRM tengah siasat. Jadi biarkan mereka siasat sedalam-dalamnya. Kalau SPRM memerlukan bantuan atau keterangan saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya," katanya ketika ditemui wartawan Sinar Premium selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Kementerian Belia dan Sukan pada Rabu.

Sinar Harian melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi antara individu yang telah dipanggil SPRM untuk dirakam percakapan berhubung isu penjualan tanah tapak lapangan terbang Seri Iskandar.

Mengesahkan perkara tersebut kepada media, Asmuni memaklumkan kehadirannya ke Pejabat SPRM Perak 15 April lalu bertujuan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Saya sudah dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan mereka pada hari Jumaat, 15 April yang lalu," katanya yang juga bekas Exco Kerajaan Perak dan bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Asmuni sebelum ini tampil mengemukakan laporan kepada SPRM meminta siasatan dibuat terhadap penjualan tanah bagi tapak lapangan terbang di Seri Iskandar susulan pendedahan bahawa transaksi dibuat ketika zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah Perak.

Pada 18 April lalu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad menjelaskan, seramai 10 lagi individu termasuk bekas Exco kerajaan negeri dipanggil membantu siasatan SPRM berhubung isu berkenaan.

Selain bekas Exco kerajaan negeri, turut akan dipanggil ialah pegawai PKNP, pegawai kerajaan negeri dan pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

SPRM sebelum ini telah merakam kenyataan tiga saksi membabitkan pegawai PKNP dan kerajaan negeri Perak.

Isu penjualan tanah lapangan terbang berkenaan timbul selepas ADUN Aulong, Nga Kor Ming pada Persidangan Dewan Negeri Perak mendakwa tanah itu sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Dalam perkembangan lain, ditanya berhubung pendedahan dan penularan dokumen dipercayai minit mesyuarat Perikatan Nasional (PN) yang mana tercatit beberapa pelan atau gerak kerja untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Ahmad Faizal enggan mengulas kerana belum melihat dokumen berkenaan.

"Saya belum tengok lagi dokumen itu jadi saya tidak tahu sama ada dakwaan berkenaan betul atau tidak. Saya memang banyak mesyuarat dengan Pas tetapi saya belum tengok dokumen yang tular itu. Jadi saya tidak boleh mengulas lanjut," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca