SUSULAN sidang khas Dewan Rakyat minggu lalu, landskap politik negara turut dihangatkan dengan siri perkembangan mencuit perhatian yang berkaitan usaha mengekang anti lompat parti. Minggu ini, Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) yang dibentuk... Klik di sini untuk terus membaca

SUSULAN sidang khas Dewan Rakyat minggu lalu, landskap politik negara turut dihangatkan dengan siri perkembangan mencuit perhatian yang berkaitan usaha mengekang anti lompat parti.

Minggu ini, Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) yang dibentuk Dewan Rakyat dijadualkan bersidang kali kedua untuk melaksanakan tanggungjawabnya.

PSC kini memikul tugas berat bagi merealisasikan harapan pelbagai pemegang taruh dalam soal menggubal peruntukan khusus. Sudah tentu, salah satu daripada mereka ialah pengundi itu sendiri, terutama rakyat yang ingin melihat kewujudan barisan wakil rakyat dipilih kekal bersama mandat diberikan.

Menjelang sidang khas Dewan Rakyat minggu lalu yang berkesudahan tanpa pengundian untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, pertemuan Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah membawa kepada persetujuan tiga perkara iaitu pindaan Perlembagaan Persekutuan diperhalusi berhubung tafsiran bagi larangan anggota Dewan Rakyat bertukar parti, cadangan memansuhkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan termasuk mana-mana pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan yang dianggap perlu dan menggubal rang undang khusus berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, perkara itu dikemukakan untuk dipertimbangkan dalam PSC.

Malah, pertemuan Dewan Rakyat dan pandangan Wan Junaidi yang juga Pengerusi PSC itu dalam satu wawancara awal minggu ini juga telah mengetengahkan beberapa perkara mengejutkan.

Ia diharap akan dihindari bagi memelihara imej institusi Parlimen dan wakil rakyat, dan pada masa sama memastikan satu sistem dan proses pentadbiran yang efisien kepada rakyat serta negara.

Berdasarkan rentetan perkembangan, PH mahu pindaan dibuat menjelang hujung bulan depan. Persoalan sekarang, sama ada PSC mempunyai masa cukup untuk mengadakan sesi libat urus bersama kesemua pemegang taruh. Ia penting kerana perkara diperhalusi merangkumi skop yang meluas dan komprehensif.

Malah, wujud juga pandangan Perdana Menteri perlu menetapkan satu tempoh bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sehingga segala peruntukan berkaitan dikuatkuasakan.

KEBEBASAN YANG TERSALAH GUNA

Pada hari ini kita berdepan satu isu yang besar. Ini isu rakyat dan pengundi. Ia juga isu melibatkan wakil rakyat dan parti politik menerima mandat rakyat. Kata Wan Junaidi, kebebasan yang ada telah tersalah digunakan oleh beberapa wakil rakyat menjadi isu pokok yang amat penting untuk diselesaikan.

Oleh itu, PSC mempunyai tanggungjawab besar dalam menentukan bahawa amanah dan kepercayaan pengundi dihormati serta dijaga dengan baik sepanjang tempoh mandat. Perkara yang telah menjadi polemik sejak empat dekad lalu kini berubah menjadi komponen yang perlu dilihat secara mendalam, sekali gus mencari penyelesaian muktamad.

PSC juga mempunyai peranan teramat penting dalam memutuskan ciri-ciri kesegeraan, yakni menentukan sama ada mereka boleh mengemukakan rumusan kepada Parlimen menjelang akhir bulan depan dan dibahaskan bulan berikutnya.

Kita tiada pilihan kecuali meletakkan titik dalam mencari formula penyelesaian ke atas usaha menamatkan isu anti lompat parti dan mengembalikan keyakinan pengundi ke atas demokrasi. Wakil rakyat tidak wajar mengabaikan peranan dan amanah dibekalkan dalam apa juga keadaan. Malah, wakil rakyat tidak boleh menganggap peranan pengundi sudah tidak penting sama sekali selepas berakhirnya pilihan raya.

Wakil rakyat perlu memberi nafas kepada status dan tanggungjawab ‘wakil rakyat’. Sebagaimana telah disebutkan Wan Junaidi dalam ucapan penggulungan tempoh hari, sistem pentadbiran negara yang teratur, efisien dan efektif sentiasa menjadi fokus utama kerajaan.

Kekecewaan pelbagai pihak apabila tiada formula penyelesaian yang diharapkan semasa sidang khas Dewan Rakyat minggu lalu diharap tidak berulang.

Oleh itu, PSC dan Parlimen mempunyai tanggungjawab amat penting, sekali gus meletakkan segala peruntukan diperlukan di tempat sewajarnya. Begitu juga peranan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak.

* DR G MANIMARAN IALAH PENULIS BUKU PILIHAN RAYA DEMOKRASI MALAYSIA: TANDING, PILIH, MEANG DAN TADBIR

Klik di sini untuk terus membaca