ADA pepatah pujangga, cintailah perempuan yang suka membaca. Perempuan yang berhabis duit untuk buku, bukan baju. Dia ada masalah dengan ruang almari pakaian kerana mempunyai terlalu banyak bahan bacaan. Ini bukanlah bermakna wanita atau... Klik di sini untuk terus membaca

ADA pepatah pujangga, cintailah perempuan yang suka membaca. Perempuan yang berhabis duit untuk buku, bukan baju. Dia ada masalah dengan ruang almari pakaian kerana mempunyai terlalu banyak bahan bacaan.

Ini bukanlah bermakna wanita atau lelaki yang tak suka membaca tidak layak untuk dicintai. Cuma kajian menunjukkan seseorang yang membaca, misalnya buku fiksyen akan bersikap lebih empati terhadap orang lain. Dia belajar banyak perkara daripada karakter dalam buku yang dibacanya.

Ulat buku juga senang diajak berbicara hal serius. Dia mempunyai kemahiran berfikir secara analitik, maka dia mampu memberi solusi terbaik untuk sesuatu situasi. Dia pendengar yang baik. Jika dia boleh menghabiskan masa berjam-jam membaca kisah hidup orang lain, apalah sangat mendengar cerita anda.

Para saintis turut mendedahkan banyak faedah kesihatan kalau kita selalu membaca. Ia termasuk mengurangkan stres sehingga 68 peratus, menambah baik memori dan kebolehan memberi tumpuan serta mengurangkan risiko penyakit Alzheimer dan demensia.

Namun, realitinya tidak ramai yang peduli hal membaca sekarang. Dalam suasana keterujaan untuk menyambut Syawal, orang lebih sibukkan baju raya daripada buku.

Saya pernah membaca kisah seorang pramugari yang terpaksa menjual semula baju rayanya yang baru dipakai sekali. Selalunya dia membeli tiga pasang, kadang-kadang berharga RM500 sepasang. Dia membeli tiga pasang – RM1,500 kerana dapat cuti sampai hari raya ketiga. Bayangkan kalau dia cuti raya seminggu!

HAMBA FESYEN

Oleh sebab dia suka bertukar-tukar baju setiap kali Syawal, baju raya tahun sebelumnya hanya terbiar di dalam almari dan tidak tahu bila akan dipakai lagi. Itu belum ambil kira baju dibeli sudah tidak muat selang beberapa tahun.

Moral ceritanya, seseorang harus menjadi pengguna bijak. Jangan jadi hamba fesyen sehingga merugikan diri sendiri. Sebaliknya, jika bajet tiga pasang baju raya tadi dikurangkan separuh sahaja untuk membeli buku – RM750, sebanyak 15 buah buku berharga RM50 senaskhah boleh dibeli.

Sayangnya membaca apatah lagi membeli buku, bukanlah keutamaan rakyat Malaysia. Keadaan itu berlawanan dengan sambutan Nuzul Quran baru-baru ini yang turut membawa mesej mengenai kepentingan membaca.

Rakyat Malaysia meluangkan masa membaca tidak lebih tiga jam seminggu. Sebagai perbandingan, negara yang rakyatnya paling gemar membaca ialah India yang mencatat 10 jam 42 minit seminggu, Thailand (9:24), China (8:00), Filipina (7:36), Mesir (7:30), Republik Chezch (7:24), Sweden (7:06), Perancis (6:54), Hungary (6:48) dan Arab Saudi (6:48).

Kajian profil membaca oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada 2005 pula mendapati rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku setahun. Angka itu meningkat kepada 15 naskhah pada 2014, namun masih lagi rendah berbanding 40 judul buku setahun di negara maju. Bukanlah mengejutkan apabila jualan buku fizikal di seluruh dunia merudum disebabkan pembaca beralih kepada bahan bacaan digital.

Begitu pun menurut Global English Editing, buku bercetak terus memacu pendapatan berbanding e-book. Buku genre romantik pula merupakan pilihan terbesar pembaca, yang menyaksikan satu pertiga pasaran buku fiksyen dunia adalah novel-novel cinta.

Surah al-Alaq khususnya ayat 1-5 merupakan wahyu pertama yang diterima Nabi Muhammad SAW di Gua Hira. Surah ini menjadi tonggak perubahan peradaban dunia dengan ilmu pengetahuan menjadi syarat terpenting.

Perubahan itu diawali dengan Iqra' iaitu ‘bacalah’. Malah, dalam al-Quran, kata ‘alim’ diulang 224 kali manakala ‘ilmu’ 375 kali. Dalam konteks individu, perubahan kepada kehidupan yang lebih baik mestilah juga berasaskan ilmu.Namun sekali lagi, lebih ramai orang sukakan baju raya walaupun harganya lebih mahal daripada buku. Bolehkah frasa ini diubah menjadi sebaliknya? Tepuk dada, tanyalah hati.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca