MINGGU ini penulis ingin mengupas ‘teknologi ghaib’ dibangunkan China baru-baru ini. Khabarnya, saintis tentera China telah berjaya mencipta bahan halusinasi digelar invisibility cloak (jubah ghaib). Teknologi itu boleh menyembunyikan... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU ini penulis ingin mengupas ‘teknologi ghaib’ dibangunkan China baru-baru ini.

Khabarnya, saintis tentera China telah berjaya mencipta bahan halusinasi digelar invisibility cloak (jubah ghaib). Teknologi itu boleh menyembunyikan atau menutupi peralatan tentera daripada dikesan satelit radar pengintip.

Pembangunan teknologi jubah ghaib sudah lama diperkatakan dan cuba direalitikan. Bagaimanapun, hanya saintis tentera China berjaya merealitikan sesuatu yang dianggap mustahil dalam dunia ketenteraan.

Selama ini advanced military radar atau teknologi radar ketenteraan lanjutan (AMR) mampu mengesan senjata atau mengecam peralatan sebesar kotak mancis daripada satelit angkasa pada siang dan malam.

Penyelidik China menjelaskan jubah ghaib berjaya menghilangkan gambaran sebenar kereta kebal dan artileri dengan menukar corak isyarat radar supaya kelihatan sama seperti permukaan sekeliling bahan yang diintip. Dengan erti kata lain, tidak wujud peralatan ketenteraan pada sesuatu lokasi yang disyaki menjadi medan musuh.

South China Morning Post (SCMP) minggu lalu mendedahkan Parti Komunis China (PKC) telah menguji jubah ghaib secara sembunyi pada jet pejuang ketenteraan.

Peranti baharu dibangunkan pasukan penyelidik diketuai Dr Xu Hexiu daripada Universiti Kejuruteraan Tentera Udara Xian di wilayah Shaanxi hanyalah bahan nipis seperti sehelai kain lebar yang boleh diregangkan untuk muat menutupi pelbagai barangan termasuk kereta kebal, artileri dan stesen radar. Ia hampir 100 peratus tidak dapat dikesan satelit radar musuh.

Apa pun, China percaya teknologi ghaib itu belum mencapai tahap ‘halimunan’ sepenuhnya. Penulis mendapati bahan nipis seperti sehelai kain dibuat daripada bahan metamaterial itu memiliki permukaan bergelombang dan melentur.

Ia memisahkan imej cahaya objek yang ditutup. Dipercayai hanya sebahagian kecil imej cahaya dapat dirakam radar menjadikan objek tentera itu kelihatan ‘ghaib’. Namun, sebenarnya objek tersebut ada di tempat tersebut.

Bahan metamaterial daripada teknologi halusinasi berkenaan sukar dihasilkan besar-besaran kerana ia tidak konsisten untuk menghasilkan pemecahan cahaya pantulan dan terhad kepada rangkaian kecil jalur lebar radar pada sesuatu masa. Ia dikatakan hanya mampu menghilangkan objek pada satu jalur lebar sahaja. Ia juga perlu digabungkan dengan teknologi peranti internet of things (IOT) untuk lebih berkesan.

HALUSINASI

Penulis percaya gelombang radar menyerang penyalutan membenarkan sistem komputer kecerdasan buatan atau artificial intelligence computer system (AICS) menghitung saiz dan bentuknya dengan mengukur perbezaan isyarat, sekali gus membolehkan imej objek tidak dapat dighaibkan lagi.

ALLAH SWT telah menjelaskan hakikat itu dalam surah al-Hadiid ayat [57:21] bermaksud: "Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada ALLAH dan Rasul-rasul-Nya. Itulah kurniaan ALLAH, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan ALLAH mempunyai kurniaan yang (amat) besar.

”Hakikatnya China bukan satu-satunya negara yang membangunkan teknologi jubah ghaib. Sebuah syarikat berpangkalan di Kanada, Hyperstealth Biotechnology sebelum ini telah mempatenkan bahan quantum stealth atau ‘penyembunyian kuantum’ yang boleh ‘menghilangkan’ anggota tentera bersama kereta kebal, kapal dan pesawat dengan membengkokkan cahaya pantulan ke sekeliling sasaran.

Syarikat Israel, Polaris Solutions juga telah melancarkan teknologi halusinasi yang didakwa boleh menjadikan anggota tentera ‘hampir tidak dapat dikesan’ atau virtually undetectable (VuD).

Peralatan ‘helaian penyamaran’ atau Camouflage Sheet (CS), dibuat daripada bahan penyembunyian visual terma atau thermal visual concealment (TVC) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Amerika merangkumi logam, polimer dan gentian mikro dilaporkan dibuat pengesanan oleh peralatan pengimejan terma atau thermal imaging equipment (TIE).

Meskipun teknologi ghaib berada pada peringkat ujian tetapi tidak mustahil ia boleh direalitikan. Apa yang meresahkan penulis ialah di manakah tahap kehebatan penyelidik atau saintis Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Dengan apa yang berlaku di Ukraine, penulis cukup bimbang dengan tahap keselamatan di negara ini.

Kesimpulannya, penulis merayu agar saintis ATM mampu mencontohi kehebatan rakan sejawatan di China yang sentiasa mahu berada beribu langkah di hadapan kuasa besar lain.

* Profesor Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Selangor Technical Skills Development Centre

Klik di sini untuk terus membaca