PENYEBARAN dokumen minit mesyuarat Perikatan Nasional (PN) yang dipercayai mengandungi beberapa pelan atau gerak kerja untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dikatakan bertujuan meningkatkan tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

PENYEBARAN dokumen minit mesyuarat Perikatan Nasional (PN) yang dipercayai mengandungi beberapa pelan atau gerak kerja untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dikatakan bertujuan meningkatkan tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, supaya segera membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secepat mungkin.

Pendedahan itu juga dikatakan mahu memberikan gambaran bahawa kerajaan pimpinan Ismail Sabri yang terdiri daripada gabungan Parti Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini tidak stabil umpama 'tidur satu bantal tapi mimpi lain-lain'.

Tindakan itu bertujuan mencipta naratif bahawa UMNO/BN memerlukan mandat baharu menerusi PRU15 untuk kembali berkuasa dan mentadbir Putrajaya dengan kuasa mutlak tanpa perlu bergantung dengan pihak lain terutama Pas dan Bersatu.

Itu pandangan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Dr Azmi Hassan kepada Sinar Premium pada Khamis berkenaan penyebaran dokumen minit mesyuarat yang turut digelar PasLeak.

Malah beliau turut berpandangan, tujuan utama penyebaran minit mesyuarat berkenaan adalah untuk memecah belah pimpinan dalam kerajaan dan memburukkan imej individu terbabit dengan menggunakan sistem kehakiman Malaysia.

Azmi berkata, perkara berkenaan memberikan justifikasi dan punca utama kenapa UMNO/BN menolak kerjasama dengan PN yang dianggotai oleh Pas dan Bersatu, dalam PRU15 akan datang.

"Apa yang menghairankan saya ialah bagaimana minit mesyuarat berkenaan boleh dibocorkan kerana mereka bermesyuarat sesama sendiri. Jadi mungkin ada pihak tertentu sengaja membocorkan minit mesyuarat terbabit bagi menjatuhkan mereka bermesyuarat sendiri.

"Tujuan utama pihak terbabit menyebarkan minit mesyuarat berkenaan adalah sebagai strategi memburukkan PN terutamanya pemimpin Pas dan Bersatu. Apabila minit mesyuarat berkenaan dibocorkan maka UMNO/BN menganggap ia memberikan bola tanggung dan justifikasi kepada mereka untuk mempercepatkan PRU15.

"Justeru UMNO/BN berpandangan tiada guna mereka berada dalam kerajaan sekarang kerana wujud usaha untuk menjatuhkan antara satu sama lain dan memberikan," katanya kepada Sinar Premium.

Gambar dari kiri: Mahfodz, Azmi

PECAH BELAHKAN KERAJAAN

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, juga mempunyai pandang bahawa penyebaran minit mesyuarat PN palsu berkenaan adalah untuk memecahbelahkan pimpinan dalam kerajaan sekarang.

Beliau berkata, perkara ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat AJK Pas Pusat dan mungkin ia sengaja disebarkan pihak tertentu yang kurang senang melihat hubungan baik terjalin antara Perdana Menteri dengan pemimpin Bersatu dan Pas sekarang.

"Mereka mahu melihat kerajaan sekarang sudah tidak stabil dan mendesak Perdana Menteri supaya segera mengadakan PRU15 demi kepentingan tertentu dalam UMNO.

"Perkara sama dilakukan di Johor sebelum ini. Biarpun kerajaan campuran di Johor mempunyai majoriti satu kerusi ketika itu namun tidak pernah timbul isu ketidakstabilan politik, namun tiba-tiba UMNO memutuskan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa berbincang dengan rakan lain atas alasan mahu mewujudkan kestabilan politik," katanya.

Berikutan itu, Mahfodz melihat tujuan utama penyebaran minit mesyuarat berkenaan adalah kerana mahu mempercepatkan PRU15, sekali gus menyelamatkan pemimpin UMNO tertentu daripada dipenjarakan susulan kes mahkamah dihadapi mereka sekarang.

Desas-desus PRU15 mungkin diadakan tahun ini semakin kuat diperkatakan.

Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mendedahkan dokumen dipercayai minit mesyuarat PN yang mana tercatat beberapa pelan atau gerak kerja untuk menjatuhkan UMNO dan BN termasuk memenjarakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beberapa pemimpin UMNO memberikan reaksi terhadap pendedahan dokumen itu namun Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan dokumen tersebar yang didakwa sebagai ‘strategi PAS’ adalah tidak benar dan palsu.

Malah Menteri Besar Terengganu yang mana namanya turut berada dalam dokumen berkenaan menegaskan helaian tidak diketahui asal usul itu hanya bertujuan memburukkan, menjejaskan fokus serta memporak-perandakan parti itu.

Klik di sini untuk terus membaca