PERJANJIAN kontroversi Britain untuk menghantar para pendatang haramnya yang ditangkap dan pencari suaka ke Rwanda, Afrika telah mencetuskan banyak kritikan di United Kingdom (UK) dengan ahli-ahli politik pembangkang, jurukempen dan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa perjanjian yang bernilai berjuta-juta dolar itu dibatalkan.
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson baru-baru ini mengumumkan bahawa sejumlah pendatang haram dan pencari suaka yang memasuki UK secara haram akan dihantar ke Rwanda dengan berpuluh-puluh ribu orang berpotensi untuk dihantar pada tahun-tahun yang akan datang.
Johnson pernah berkata, di bandar raya Dover bahawa sesiapa yang memasuki UK secara haram dan mereka yang tiba secara haram sejak 1 Januari lalu boleh dipindahkan ke Rwanda.
Menurut Perdana Menteri itu, Rwanda ialah salah sebuah negara yang paling selamat di dunia dan diiktiraf secara global dan beliau menggariskan rancangan bagi menghantar pencari suaka ke Rwanda supaya permohonan mereka untuk tinggal di negara lain diproses terlebih dahulu.
Justeru, satu persetujuan dicapai antara Britain dengan Rwanda berhubung perkara tersebut yang menyatakan setiap orang yang menyeberangi sempadan secara haram ke UK iaitu sekitar 28,000 orang setahun akan dihantar ke Rwanda yang mana permohonan suaka mereka akan diproses dari A hingga Z oleh pihak berkuasa.
Sebagai balasan, UK akan membayar Rwanda yang terletak di Afrika Timur dan mempunyai kira-kira 13 juta penduduk itu sebanyak £120 juta (RM671.64 juta) setahun.
PERNIAGAAN PENYELUDUPAN MANUSIA
Seorang Setiausaha Negara Untuk Wales yang juga Ahli Parlimen British, Simon Hart pernah menyatakan bahawa matlamat penghantaran itu adalah untuk memecahkan model perniagaan kumpulan penjenayah penyeludup manusia yang membawa masuk mereka ke UK secara haram.
Ini adalah kerana kerajaan UK telah berada di bawah tekanan untuk melakukan sesuatu ekoran ribuan orang tiba di selatan England terutamanya dari Perancis dan menyebarangi Selat Inggeris dengan menggunakan bot-bot kecil sehingga ada yang mengakibatkan kematian kerana bot yang dinaiki mereka karam di selat tersebut.
Ia merupakan penyelesaian terhadap masalah kemasukan secara haram para pendatang haram dan pencari suaka di UK buat masa ini.
Namun, kenapakah Rwanda mahu menerima pendatang haram dan pencari suaka dari UK?
Perjanjian itu bertujuan untuk mengukuhkan pandangan antarabangsa terhadap Rwanda dan mengetepikan kebimbangan terhadap pengendalian negara berkenaan mengenai isu hak-hak asasi manusia, kata peguam dan penganalisis yang berpangkalan di negara itu, Louis Gitinywa kepada AFP.
Menurutnya, Presiden Rwanda, Paul Kagame sedang mengintai untuk memanfaatkan perjanjian antara Kigali dengan London itu sebagai undi percaya terhadap rekod pengendalian hak asasi manusianya dan juga memastikan beliau mungkin mendapat sokongan diplomatik UK apabila resolusi terhadap negara tersebut dikemukakan dan dibincangkan di Majlis Keselamatan PBB, kata Gitinywa.
Pada September tahun lalu, wira Hotel Rwanda dan pengkritik Kagame, Paul Rusesabagina dijatuhi hukuman penjara 25 tahun atas tuduhan keganasan selepas didapati bersalah oles sebuah mahkamah di negara tersebut kerana menyokong kumpulan pemberontak di sebalik serangan maut yang berlaku pada tahun 2018 dan 2019.
Sebelum ditangkap pihak berkuasa dan dijatuhi hukuman, Rusesabagina telah dibawa ke Rwanda dan ditangkap pada Ogos 2020 apabila pesawat yang dipercayai membawanya dan mengikut jadual sepatutnya menuju ke Burundi tetapi ia sebenarnya mendarat di Kigali iaitu ibu negara Rwanda dalam apa yang disebut keluarganya sebagai satu penculikan.
Wira Hotel Rwanda itu ditangkap oleh pihak berkuasa negara tersebut selepas operasi canggih untuk menangkapnya dilakukan ketika beliau yang datang dari Amerika Syarikat (AS) iaitu tempat tinggalnya dalam buangannya, telah pergi ke Dubai, Emirah Arab Bersatu (UAE) dengan menaiki sebuah jet peribadi.
Rusesabagina yang pernah bekerja sebagai seorang pengurus di Hotel Rwanda percaya jet tersebut akan membawanya ke satu mesyuarat di Burundi tetapi sebaliknya ia mendarat di Kigali.
Beliau yang berusia 67 tahun dan diganbarkan dalam filem 'box-office', Hotel Rwanda keluaran tahun 2005 kerana berjaya menyelamatkan lebih 1,000 orang dalam pembunuhan orang awam yang berlaku pada tahun 1994 di negara berkenaan.
BANTAHAN
Rwanda juga berada pada kedudukan ke-156 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2021 yang disusun oleh Reporters Without Borders (RSF) dan ia merupakan penurunan satu kedudukan berbanding pada tahun 2020.
Namun, perjanjian antara UK dengan Rwanda itu didakwa melanggar undang-undang suaka dan Konvensyen Geneva kerana ia menjelaskan bahawa orang yang melintasi sempadan untuk mendapatkan suaka tidak seharusnya dikenakan sekatan walaupun mereka menggunakan penyeludup bagi memasuki sesebuah negara.
Bagaimanpun, ia juga mendapatkan bantahan daripada seorang wartawan tempatan, John Williams Ntwali yang berkata, perjanjian itu tidak bermoral kerana memaksa orang ramai pergi ke negara yang tidak mereka pilih.
Ketua pembangkang Rwanda, Victoire Ingabire iaitu pengkritik Kagame juga menekankan tekanan ekonomi yang dihadapi negaranya berikutan pandemik Covid-19.
"Kerajaan Rwanda (harus) memberi tumpuan kepada menyelesaikan isu dalaman politik dan sosial yang menjadikan rakyatnya pelarian di negara lain sebelum ia menawarkan untuk menjadi tuan rumah kepada pelarian dan pendatang," katanya seperti dilaporkan AFP. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca