SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia disarankan untuk mengadakan rundingan diplomatik bersama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebagai usaha membawa keluar segera pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia disarankan untuk mengadakan rundingan diplomatik bersama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebagai usaha membawa keluar segera pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh kerajaan.

Peguam, Norman Fernandez berkata, sekiranya setiap 57 negara Islam mengambil 1,000 pelarian Rohingya yang tinggal di Malaysia dan memberi penempatan negara ketiga, maka bilangan mereka di sini akan berkurang.

"Warga Rohingya yang tinggal di Malaysia ketika ini boleh dipindahkan dan diagihkan kepada 57 negara Islam lain berdasarkan rundingan dibuat.

"Ini kerana etnik tersebut juga beragama Islam, jadi mungkin negara-negara Islam ini boleh menjadi negara penempatan ketiga.

"Dalam masa sama, mereka (warga Rohingya) sendiri tidak boleh menolak sekiranya ditempatkan di mana-mana negara Islam berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sementara itu, Norman turut mencadangkan agar Malaysia membuat rundingan dengan kerajaan Bangladesh untuk mengambil sebilangan warga Rohingya di negara ini dan ditempatkan di Pulau Bhashan Char di Chittagong, iaitu pulau yang dibina khusus untuk pelarian etnik itu.

Katanya, sebagai pendekatan menang-menang, kerajaan pula perlu mengizinkan pengambilan pekerja dari Bangladesh untuk berkhidmat di Malaysia.

Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah ketika operasi mencari etnik Rohingya di dalam hutan sekitar Nibong Tebal yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap.

"Misalnya, jika kerajaan mengambil seramai 20,000 warga Bangladesh untuk bekerja di Malaysia, mereka pula mesti membalas dengan mengambil satu peratus etnik Rohingya di sini dan ditempatkan di pulau tersebut.

"Ini pendekatan menang-menang, Malaysia membantu meringankan beban Bangladesh dari segi pengambilan kerja, manakala Bangladesh membalasnya dengan mengambil dan menempatkan Rohingya di pulau khusus untuk pelarian Rohingya.

"Jadi, ini akan mengurangkan jumlah warga Rohingya di negara kita. Melihat pada status terkini, pertambahan warga Rohingya di Malaysia amat menggerunkan disebabkan mereka juga mempunyai bilangan anak yang begitu ramai.

"Bagaimanapun, tidak dinafikan rundingan secara diplomatik sukar dilaksanakan sekiranya tidak ada mana-mana negara yang berani untuk ke hadapan,” jelas beliau.

PERJANJIAN MULTILATERAL

Sementara itu, Ketua Kluster Governans dan Integriti Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, Malaysia perlu segera bertindak dan mendesak satu perjanjian multilateral di peringkat antarabangsa bagi menangani isu pelarian dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

Katanya, ia sekali gus membolehkan isu itu dibawa kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau OIC.

Dengan cara itu, negara asal PATI dan pelarian serta negara-negara maju yang lain perlu menerima PATI dan pendatang-pendatang politik daripada Myamar.

Negara-negara OIC mungkin boleh bersama-sama memikul tanggungjawab membantu saudara Rohingya.

"Saya melihat perlunya perjanjian multilateral, adakah Myanmar sanggup menerima kepulangan rakyat mereka. Jika sanggup, Myanmar tidak boleh hukum pelarian yang akan pulang nanti dengan apa-apa tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

"Kedua, PBB telahpun menyenaraikan pelarian Rohingya sebagai pelarian politik kerana mereka dibunuh oleh regim Myanmar. Jadi, penyelesaiannya juga mesti multilateral, dimana negara-negara lain perlu memainkan peranan.

"Negara-negara ASEAN kena berbincang dan negara-negara maju dan negara lain perlu dilibatkan sama. Kenapa pelarian Syria ada negara yang terima, ada yang tidak menerima tetapi mereka sepakat dalam membuat keputusan.

"Apabil PBB telah mengiktiraf pelarian politik, maka penyelesaiannya juga mesti melibatkan semua negara, tidak adil cuma kita sahaja yang menjadi mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Zaid Ahmad berkata, Wisma Putra perlu memainkan peranan dengan meyakinkan pihak berkaitan untuk menghormati Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan mempunyai undang-undang sendiri.

Menurutnya, tindakan segera perlu diambil memandangkan insiden tahanan PATI lolos adalah tidak baik untuk negara, daripada pandangan antarabangsa.

"Apa yang berlaku sebenarnya ujian besar kepada kita dan orang kini melihat sejauh mana kita berupaya menyelesaikan masalah ini dan meyakinkan pihak-pihak berkenaaan untuk menerima kembali rakyat mereka yang sudah lama menjadi PATI di sini," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca