SEMPENA Ramadan yang mulia dan setahun menjelang genapnya penggal Parlimen ke-14, elok kiranya kita melakukan muhasabah tentang Malaysia yang diimpikan. Kita perlu memikir-semula dan mengatur-semula seluruh spektrum kehidupan. Perlu... Klik di sini untuk terus membaca

SEMPENA Ramadan yang mulia dan setahun menjelang genapnya penggal Parlimen ke-14, elok kiranya kita melakukan muhasabah tentang Malaysia yang diimpikan.

Kita perlu memikir-semula dan mengatur-semula seluruh spektrum kehidupan. Perlu bertanya soalan-soalan besar. Apakah makna menjadi rakyat Malaysia?

Apakah perkara-perkara yang telah dilaksanakan dengan baik? Apakah perkara-perkara yang tidak dilaksanakan dengan baik?

Bagaimanakah perkara-perkara tersebut boleh dilaksanakan dengan lebih baik?

Kita memerlukan garis-garis besar haluan masa depan yang baharu.

Kita perlu melakukan ‘pencarian roh’ dalam perjalanan dan perjuangan yang panjang serta berliku-liku, yang wasatiyyah (kesederhanaan), memiliki gambaran besar tentang kedudukan diri, tempat kita di pentas antarabangsa dan mempunyai pandangan sarwa yang tepat tentang peranan setiap daripada kita, dan manfaat-manfaat bermasyarakat serta bernegara iaitu dasar-dasar dan program-program pembangunannya yang dinikmati dengan adil serta saksama oleh setiap rakyat.

Kita perlu memenuhi hubungan kita dengan Tuhan dan hubungan kita sesama manusia, mengasah pemikiran tentang pelbagai perkara serta memperbaharui pendekatan-pendekatan yang diambil.

Dari segi polisi negara, induknya mesti diperkukuh. Ia merujuk penghayatan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Perjanjian Malaysia 1963 serta dasar-dasar utama, contohnya tentang bahasa Melayu, kedudukan Islam, masyarakat majmuk serta federalisme.

MUHASABAH

Banyak perlu ditambah baik atau reformasi, menyegarkan dan menjadikan demokrasi berkesan, hidup bersama dalam budaya damai, berbudaya tinggi serta kreatif, pendidikan bersepadu dan futuris, teknologi digital, industri masa depan, reformasi perkhidmatan awam, integriti, membasmi rasuah, menyelesaikan kereputan, sukan yang bebas politik dan kerangka baharu dasar luar.

Soal hidup (memerangi pandemik covid-19) sudah ada jawapannya iaitu vaksin, manakala soal kelangsungan hidup (kebajikan, pekerjaan, perniagaan, pertumbuhan dan pembangunan ekonomi serta pelaburan asing), pelbagai program telah dilaksanakan.

Ia perlu dilipatgandakan supaya lebih berimpak dan mampu memastikan agar negara serta rakyat boleh bergerak ke hadapan selepas pandemik ini selesai.

Muhasabah ini hendaklah dipandu nilai-nilai tinggi yang lahir daripada agama, kebudayaan dan sejarah. Contohnya, keimanan, kebenaran, keadilan, kebebasan, budaya ilmu, ketamadunan, pembangunan insan, pembaharuan, demokrasi, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang, perpaduan, kebahagiaan, peluang, meritokrasi, potensi individu dan keamanan dunia.

Dari segi bidang, ia harus meliputi demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, pembahagian kuasa, undang-undang, politik, ekonomi, sosial, pendidikan, keamanan, keselamatan serta hubungan antarabangsa.

Semua itu menuntut pemikiran dan kepimpinan yang lebih berorientasi polisi, dan bukannya orientasi personaliti.

Semoga muhasabah menerbitkan sinar yang lebih cerah.

* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd

Klik di sini untuk terus membaca