SHAH ALAM - Pengeluaran Khas dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan pelaburan tidak menjadi satu kesalahan. Pengarah Perhubungan Luar, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Malaysia, Dr Zokhri Idris berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengeluaran Khas dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan pelaburan tidak menjadi satu kesalahan.

Pengarah Perhubungan Luar, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Malaysia, Dr Zokhri Idris berkata, bagaimanapun mereka perlu mengambil sikap berhati-hati dalam memahami skim pelaburan yang ada dalam negara.

Tambahnya, ia kerana kes penipuan pada masa sekarang lebih tinggi sekiranya mereka yang melabur tidak peka dengan skim tersebut.

"Hanya tiga keadaan yang bersesuaian membolehkan pencarum mengeluarkan wang KWSP iaitu pertama mereka yang terdesak dalam hal kecemasan.

"Kedua untuk menyelesaikan hutang atau tunggakan pinjaman kerana ia melibatkan peningkatan tunggakan faedah jika tidak diselesaikan dan ketiganya, untuk menjanakan perniagaan (modal perniagaan) atau pelaburan.

"Jadi, tidak ada kesalahan meletakkan simpanan kita dalam pelaburan, cumanya berhati-hati kerana kita kena lihat apakah skim pelaburan itu benar-benar bertauliah dan mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada kita," katanya dalam program Wacana Sinar Harian Siri 340 bertajuk ‘Takkan duit KWSP nak kena zakat?’ pada Jumaat.

Turut bersama Eksekutif Unit Syariah dan Antarabangsa Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Muhammad Furqan Abdullah dan Pakar Ekonomi, Nungsari Ahmad Radhi manakala Ismail Adnan sebagai moderator.

Dalam pada itu, Zokhri berkata, bagaimanapun pelabur perlu melihat kepada skop pelaburan yang melibatkan sistem rantaian pembekalan dunia dan geopolitik dunia.

Menurutnya, sistem rantaian pembekalan dunia masih belum pulih sepenuhnya susulan Covid-19 masih melanda negara sejak dua tahun lalu.

"Kita juga masih lihat di daerah Shanghai, China masih mengamalkan perintah berkurung.

"Jadi ia masih belum sempurna dan pulih, Jadi itu risiko yang harus kita fikir kalau kita nak melabur dalam mana-mana skim pelaburan,” ujarnya.

Tambah beliau, geopolitik dunia antara Ukraine dan Rusia juga mendatangkan implikasi kepada pelaburan.

"Terutamanya sumber-sumber asli, seperti Gas dan sebagainya. Mungkin kita tidak menggunakan gas sebegitu banyak tetapi apabila berlakunya ketidakstabilan ia akan melibatkan sektor pembekalan makanan, rantai hidup dan juga peningkatan kos hidup kepada negara kita.

"Jadi dua pemerhatian ini yang seharusnya kita lihat apabila kita ingin melabur, apakah risiko yang perlu kita tangani dalam tempoh dua tahun akan datang kerana kita masih belum pulih dan negara kita masih berada dalam proses pemulihan ekonomi, sosial dan sebagainya.

"Jadi secara dasarnya saya bersetuju kita boleh melabur untuk pelaburan akan datang kerana keuntungan akan datang tetapi pada masa sama beberapa indikator atau pemerhatian yang harus kita lihat jika pelaburan itu benar-benar konstruktif dan efektif,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca