SHAH ALAM - Pakar ekonomi melahirkan kebimbangan terhadap kejatuhan ringgit yang didagangkan pada RM4.29 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika penutupan perniagaan pada Khamis. Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar ekonomi melahirkan kebimbangan terhadap kejatuhan ringgit yang didagangkan pada RM4.29 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika penutupan perniagaan pada Khamis.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit kini berada di bawah nilai dan melemah kerana jangkaan Rizab Persekutuan AS (FED) akan mempercepatkan kenaikan faedah persekutuannya untuk mengekang inflasi.

Beliau berkata, sentimen itu dijangka menyebabkan ringgit akan terus turun dan naik dalam julat yang kecil ketika pemain pasaran menunggu keputusan FED dalam mesyuaratnya pada 3 dan 4 Mei depan.

"Pada pendapat saya, kejatuhan ringgit ini disebabkan faktor luaran kerana beberapa minggu ini kita banyak mendengar daripada ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang mencadangkan kenaikan kadar faedah yang lebih agresif.

"Terbaharu, ahli FOMC AS, James Bullard membayangkan kenaikan kadar faedah sebanyak 75 mata asas memandangkan ekonomi negara itu mencatatkan pertumbuhan yang baik dan inflasi yang tinggi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Mohd Afzanizam berkata, ringgit merekodkan trend kejatuhan sejak tahun lalu selepas timbulnya cakap-cakap tentang kenaikan kadar faedah di AS itu.

"Sentimen ini semakin memuncak pada mesyuarat FOMC pada Mac lalu apabila FED telah menaikkan kadar faedah mereka sebanyak 25 mata asas.

"Kadar faedah ini adalah kadar faedah yang ditadbir bank pusat. Kalau di negara kita ia dipanggil kadar dasar semalaman (OPR). Kadar faedah ini lazimnya memang akan dinaikkan apabila ekonomi menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang semakin mengukuh,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata, ringgit tidak mustahil kembali naik dan mengukuh sebelum dan selepas mesyuarat FOMC berkenaan.

Menurutnya, peningkatan kadar dasar yang dikuatkuasakan bank pusat lain termasuk Bank England, Bank Kanada dan Bank Pusat Eropah yang dijangka menaikkan kadar itu turut menjadi faktor mempengaruhi turun naik sedemikian.

"Sebab itu sentimen terhadap ringgit sedemikian rupa, walhal negara kita masih lagi dalam keadaan baik kerana pertumbuhan ekonomi berjalan lancar.

"Ringgit dinilai rendah apabila melihat pada kadar pertukaran efektif nominal dan kadar pertukaran efektif nyata di mana kedua-dua indeks berlegar bawah paras 100 mata,” katanya.

Jelas beliau, sepatutnya nilai ringgit mencerminkan kedudukan ekonomi negara tetapi buat masa ini sentimen pasaran lebih menitikberatkan perkara yang sedang berlaku di AS.

Klik di sini untuk terus membaca