SEBETULNYA, bukan mudah untuk mengubah diri kita menjadi insan benar-benar bertakwa. Justeru, kita perlu berusaha secara istiqamah untuk mencapai ketakwaan tersebut. Hakikatnya, halangan dan ujian tetap ‘singgah’ kepada kita tanpa... Klik di sini untuk terus membaca

SEBETULNYA, bukan mudah untuk mengubah diri kita menjadi insan benar-benar bertakwa. Justeru, kita perlu berusaha secara istiqamah untuk mencapai ketakwaan tersebut.

Hakikatnya, halangan dan ujian tetap ‘singgah’ kepada kita tanpa mengira masa, tempat dan keadaan. Kefahaman yang jelas tentang tujuan kita dihidupkan oleh ALLAH SWT amat membantu untuk mendepani segala cabaran bagi mencapai jiwa bertakwa.

Dalam membicarakan hal ketakwaan, saya cukup tersentuh dengan kupasan Pak Hamka menerusi bukunya, Kesepaduan Iman dan Amal Saleh - "Kita ini manusia, terjadi dari jasmani, rohani dan nafsu. Kita bukan malaikat yang semata-mata rohaniah. Kita bukan pula iblis yang semata-mata api yang penuh kenafsuan. Kita juga bukan binatang kerana kita dapat menimbang mana yang baik, mana yang buruk, mana yang bermanfaat dan mana yang berbahaya.

"Tidak ada antara kita yang ingin bersalah terus. Pernah kita terlanjur berbuat kesalahan kerana dorongan hawa nafsu tetapi meskipun sedang berbuat salah, sanubari kita selalu membantah. Selalu mengatakan kita telah salah.”

Tambah beliau lagi: "Iman kepada ALLAH dan ibadah itulah yang akan dapat menuntun kita supaya hidup kita jangan kucar-kacir oleh kesalahan yang senantiasa kita perbuat kerana nafsu tidak terkendalikan.

"Orang taat kepada ALLAH, yang teguh imannya dan berlatih terus senantiasa muraqabah (memelihara diri kerana berasa diperhatikan oleh ALLAH) mengintai peluang mendekati ALLAH, pastilah kurang kesalahannya. Kian ia berlatih, kian kuranglah kesalahannya. Bertambah lama, bencilah ia berbuat salah.”

Namun begitu, berpandukan kepada fenomena sekarang, masih ramai yang melencong jauh daripada paksi ketakwaan.

Berkaitan hal itu, ALLAH SWT berfirman: "Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang-orang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua-dua tangannya, sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak).

"Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan peroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.” (Surah Al-Kahfi, 18:57)

Membicarakan soal hidayah, hati saya cukup bergetar dengan perkongsian seorang Syeikh dari Mesir, berkongsi peristiwa yang berlaku di negaranya beberapa tahun dahulu menerusi kuliah Subuh di kariah masjid saya baru-baru ini.

Menurut beliau, ada seorang hamba ALLAH SWT yang telah diduga dengan ujian bankrap dalam perniagaannya. Apabila ditanya oleh seorang hakim kenapa tidak berupaya membayar hutang perniagaannya?

Beliau menjawab: "Sesungguhnya saya menanti setiap hari, apakah ujian ALLAH SWT terhadap saya kerana telah menghina seorang miskin tanpa sempat meminta maaf daripadanya sebelum beliau meninggal dunia.

"Walaupun saya menyesal dengan perbuatan saya dan telah bertaubat kepada ALLAH SWT serta mengubah kehidupan saya untuk menjadi lebih tenang dan sabar, rupa-rupanya setelah 20 tahun daripada peristiwa penghinaan tersebut, barulah saya diuji dengan kebankrapan dalam perniagaan. Sepanjang tempoh itu, saya sentiasa dihantui oleh perasaan bersalah.”

Yang jelas, walaupun telah terima hidayah untuk berubah, namun hati tetap gelisah dengan dosa-dosa yang dilakukannya.

Daripada Nawwas bin Sam’an RA, Nabi SAW bersabda: "Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan hatimu (ketika dosa tersebut dilakukan), tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia.” (Hadis Riwayat Muslim).

Semoga kita tidak tergolong dalam kelompok hati yang tertutup dan telinga yang tersumbat.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca