SHAH ALAM - Sistem eksekutif dan kehakiman perlu melalui semak dan imbang dengan betul bagi mengelak ia merosakkan budaya dan integriti masyarakat.
Presiden Usahawan Graduan Malaysia, Datuk Muzamir Mustafa berkata, hal ini kerana sistem tersebut dikawal oleh ahli-ahli politik yang akan menyebabkan rasuah akan tetap berlaku.
Tambah beliau, kebanyakan daripada ahli politik menggunakan sistem tersebut untuk kepentingan diri masing-masing yang akan akhirnya menjejaskan integriti sesebuah sistem itu.
"Orang politik seharusnya bersih daripada rasuah. Apabila mereka dah bebas, maka sektor awam akan bebas daripada rasuah dan begitu sebaliknya.
"Jadi contohnya hanya segelintir rakyat sahaja yang mengeji rasuah dan banyak yang lain seolah-olah seperti menyokong sehinggakan ada yang taasub dengan pemimpin-pemimpin yang terlibat dengan rasuah.
"Orang politik ini ada kroni dan pelobi yang ingin mendapatkan kontrak, projek untuk kepentingan serta keperluan diri sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis
Dalam pada itu, Muzamir berkata, pada masa ini, perasuah masih diangkat, dicium tangan dan diagungkan oleh segelintir masyarakat yang menganggap rasuah di kalangan pemimpin adalah normal.
Jelasnya, masyarakat perlu dididik dan disekolahkan supaya mereka memahami golongan perasuah hanya berkhidmat untuk diri sendiri.
"Jadi kalau semua orang mengeji dan menghina golongan ini, jadi akan kuranglah perasuah dalam negara.
"Tetapi kita tengok sekarang ini sudah jadi satu budaya. Kita tidak faham kenapa pemikiran seperti itu boleh wujud di Malaysia,” ujarnya.
Selain daripada itu, Muzamir berkata, Malaysia memerlukan anak muda untuk membentuk negara dan mengubah sistem pentadbiran yang bebas rasuah.
"Saya percaya golongan muda ini benci rasuah walaupun dia bukan 100 peratus mampu untuk menentang tetapi mereka boleh melawan.
"Kita mengharapkan akan datang sebab nak ubah sukar kerana suara anak muda ini bakal penentu masa hadapan negara.
"Mereka ini akan menggantikan pemimpin korupsi yang terlalu lama dalam tampuk pimpinan dengan pemimpin muda yang bebas rasuah,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca