PADA Khamis lalu, Rusia mendakwa berjaya menguasai bandar pelabuhan Mariupol di Ukraine yang strategik selepas lebih tujuh minggu bertempur atas arahan Presidennya, Vladimir Putin yang mengarahkan askar-askarnya menceroboh negara berkenaan.
Pengumuman penawanan pelabuhan itu dibuat oleh Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu kepada Putin dalam satu mesyuarat yang disiarkan menerusi televisyen namun ketika itu, kira-kira 2,000 orang masih bertempur untuk Ukraine dan terus bertahan di sebuah kilang keluli.
Terletak di Laut Azov, bandar itu telah menjadi hadiah utama bagi Rusia dalam usahanya untuk bergabung dengan Semenanjung Crimea di barat dengan wilayah yang dikuasai oleh kumpulan pemisah pro-Rusia di timur Ukraine.
Pada 2 Mac lalu, kira-kira seminggu selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, pasukan artileri Moscow mula menyerang Mariupol, sebuah bandar yang mempunyai penduduk lebih 440,000 orang dengan majoritinya boleh berbahasa Rusia dan terletak kira-kira 55 kilometer (km) dari sempadan Rusia dan 85km dari kubu pemisah pro-Rusia, Donetsk.
Datuk Bandar Mariupol, Vadym Boychenko menuduh tentera Rusia dan para pejuang pro-Rusia berusaha untuk melaksanakan sekatan dengan memotong bekalan makanan dan infrastruktur penting, termasuk air, elektrik dan pemanasan di bandar tersebut.
Pada 9 Mac lalu, sebuah bangunan yang menempatkan wad bersalin dan hospital kanak-kanak di Mariupol menjadi sasaran serangan dan tuduh-menuduh berlaku bahawa Rusia dan Ukraine telah melancarkan serangan sehingga mengakibatkan tiga orang terbunuh.
Rusia mendakwa bangunan itu melindungi golongan nasionalis Ukraine.
Pada pertengahan Mac lalu, pemindahan ribuan orang awam dari bandar itu dilakukan dengan menggunakan koridor kemanusiaan selepas percubaan pemindahan sebelum ini telah gagal kerana kedua-dua pihak saling menuduh gagal untuk bertindak menghentikan tembakan.
Pada 16 Mac lalu, tentera Rusia didakwa melakukan serangan udara sehingga memusnahkan sebuah bangunan teater yang menempatkan kira-kira 1,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan masa beberapa hari diambil untuk bantuan disalurkan kepada mangsa-mangsa selepas mereka terselamat di tempat perlindungan bawah tanah.
Pihak berkuasa Ukraine menganggarkan kira-kira 300 orang terbunuh dalam kejadian itu.
Namun, Moscow menafikan melancarkan serangan tersebut dan sebaliknya menyalahkan batalion Azov yang dikenali sebagai Nazi di Rusia dan berpangkalan di bandar itu yang melakukan serangan tersebut.
Pada 21 Mac lalu, Kiev menolak kata dua Rusia kepada anggota-anggota tentera Ukraine di bandar itu yang meminta mereka bertindak menyerah diri.
Moscow kemudian mengumumkan gencatan senjata pada 30 Mac lalu bagi membolehkan orang awam dari Mariupol dipindahkan ke bandar Zaporizhzhia yang dikuasai Ukraine manakala kerajaan Ukraine telah menghantar sebanyak 45 buah bas untuk membawa orang ramai ke tempat yang selamat.
Pada 4 April lalu pula, Datuk Bandar Mariupol berkata, bandar itu telah musnah sebanyak 90 peratus akibat peperangan.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy kemudian berkata pada April lalu bahawa Rusia bertindak menyekat akses kemanusiaan ke Mariupol kerana ia mahu menyembunyikan bukti bahawa ribuan orang yang terbunuh di bandar tersebut namun pada 7 April lepas, Datuk Bandar baru Mariupol, Konstantin Ivashchenk yang diiktiraf oleh kumpulan pro-Rusia menyatakan kira-kira 5,000 orang awam telah meninggal dunia.
Pada 11 April lalu, tentera marin di Mariupol menyatakan bahawa ia bersedia untuk melakukan pertempuran yang terakhir.
Zelenskyy pula meletakkan angka kematian di Mariupol melibatkan puluhan ribu orang.
Amerika Syarikat (AS) turut menyatakan bahawa ia mempunyai maklumat yang boleh dipercayai yang mendakwa Rusia mungkin menggunakan agen kimia dalam serangannya.
Pada 13 April lalu, Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan bahawa seramai 1,026 askar dari Briged Marin ke-36 telah menyerah diri di Mariupol dan menyiarkan video yang menunjukkan anggota-anggota tentera itu menyerah diri namun tentera Ukraine menegaskan bahawa perjuangan menentang pencerobohan Moscow diteruskan.
Sepanjang minggu berikutnya, Rusia mengeluarkan kata dua kepada tentera Ukraine yang bersembunyi di sebuah kilang keluli Azovstal supaya menyerah diri tetapi mereka enggan berbuat demikian.
Justeru, pada 20 April lepas, seorang komander marin di kilang keluli itu yang mana kira-kira 1,000 orang awam turut berlindung berkata, tenteranya mungkin menghadapi hari-hari terakhir dalam pertempuran dengan tentera Rusia.
Maka, pada 21 April lalu, Putin mengisytiharkan pembebasan Mariupol sebagai satu kejayaan.
Bagaimanapun, beliau mengarahkan tentera Rusia untuk tidak menyerbu kilang Azovstal sebaliknya menyuruh askar-askarnya bertindak mengepungnya. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca