SHAH ALAM - Unit-unit integriti di bawah jabatan kerajaan perlu mengemukakan laporan setiap bulan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menilai keberkesanan unit tersebut dalam mengawal amalan rasuah dalam jabatan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Unit-unit integriti di bawah jabatan kerajaan perlu mengemukakan laporan setiap bulan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menilai keberkesanan unit tersebut dalam mengawal amalan rasuah dalam jabatan berkenaan.

Pakar Kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, unit itu perlu memainkan peranan lebih efisien dahulu sebelum kerajaan mempercepatkan penggubalan undang-undang berkaitan salah laku penjawat awam bagi menangani gejala rasuah dalam sektor tersebut.

Tambah beliau, undang-undang anti rasuah sedia ada sudah mencukupi, cuma perlu diperhalusi dari segi prosedur operasi standard (SOP) sahaja.

Jelasnya, peruntukan kawalan salah laku penjawat awam sudah wujud dan lengkap untuk diaplikasikan seperti Kanun Keseksaan di bawah SPRM dan tindakan tatatertib di bawah Jabatan Perkhidmatan awam (JPA).

"Kenapa ada di antara penjawat awam masih mengambil rasuah walaupun undang-undang sudah lengkap? Ini kerana ada di antara mereka ‘pilih bulu’ dan ada bersangkut paut dengan kuasa-kuasa tertentu atau tangan-tangan ghaib yang membantu kes tersebut. Jadi benda-benda macam itu perlu diatasi.

"Unit-unit integriti sebenarnya yang boleh memainkan peranan untuk mencegah rasuah tetapi kalau hanya nak wujudkan sahaja jawatan itu tetapi pelaksanaan tidak dilakukan, rasuah itu tetap akan berlaku.

"Mereka perlu kemukakan laporan bulanan kepada SPRM termasuk apa yang perlu ditambah baik. Ini kerana SPRM mempunyai badan khas yang memantau unit integriti di bawah jabatan berkenaan dan kebanyakan daripada pegawai di unit tersebut terdiri daripada SPRM itu sendiri.

"Tidak ada gunanya kalau hanya sekadar ada jawatan di unit itu tetapi tidak nampak kesan kepada jabatan itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Khamis, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mengemukakan tujuh cadangan kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) bagi menambah baik perjalanan dan fungsi SPRM.

Antara saranan dikemukakan itu adalah mempercepatkan penggubalan undang-undang berkaitan salah laku penjawat awam yang perlu diberi perhatian serius kerana ia telah menyebabkan ketirisan dan kerugian dana kerajaan.

Dalam pada itu, Shahul berkata, penggubalan undang-undang itu seharusnya tidak kepada penjawat awam sahaja tetapi juga melibatkan kepada sektor swasta.

Menurut beliau, sektor swasta yang terlibat dengan jenayah rasuah lebih banyak dan nilainya lebih tinggi berbanding penjawat awam.

"Kalau pindaan itu khas kepada penjawat awam sahaja bagi saya tidak adil kerana swasta lagi hebat rasuahnya dari penjawat awam.

"Orang hentam penjawat awam ini sebab dia melibatkan kepentingan awam, keselamatan dan ekonomi. Kalau kita lihat balik apa yang berlaku di sektor swasta lagi banyak dan nilai rasuah itu lagi tinggi dan berjuta-juta. Ini juga kita kena lihat,” tegas beliau.

Sementara itu, Pakar Kriminologi, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) Universiti Utara Malaysia, Dr Zalmizy Hussin berkata, penggubalan undang-undang tersebut merupakan satu usaha untuk reformasi penambahbaikan kepada fungsi dan tanggungjawab badan SPRM.

Beliau menjelaskan, undang-undang berkenaan boleh membantu untuk reset diri penjawat awam dengan menekankan kepada nilai, moral dan karakter sebagai penjawat awam selari dengan nilai lima Rukun Negara.

"Cadangan itu adalah sangat relevan, telus dan perlu disegerakan. Aspek integriti dan amanah sangat penting bagi penjawat awam pada ketika ini ekoran daripada peningkatan kes rasuah dan pelbagai fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kepada mereka.

"Ia menggambarkan imej buruk kepada penjawat awam di media sosial. Cadangan itu juga mampu menimbulkan nilai integriti ke dalam diri individu.

"Apa yang penting adalah cadangan ini dapat memutuskan rantaian di antara pemberi dan penerima rasuah. Segala usaha yang dilakukan ini memerlukan komitmen, sokongan dan mengajak rakyat Malaysia bangkit bersama memerangi rasuah,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca