TEMPOH tiga tahun berkhidmat dengan Pasukan Polis Hutan (PPH) bukanlah satu perkara yang mudah, namun itulah pengalaman ditempuh Detektif Koperal Mokhtar Omar, 60, ketika bertugas sebagai anggota PPH pada 1979. Berkongsi pengalaman... Klik di sini untuk terus membaca

TEMPOH tiga tahun berkhidmat dengan Pasukan Polis Hutan (PPH) bukanlah satu perkara yang mudah, namun itulah pengalaman ditempuh Detektif Koperal Mokhtar Omar, 60, ketika bertugas sebagai anggota PPH pada 1979.

Berkongsi pengalaman berkhidmat ketika negara masih menghadapi ancaman komunis, Mokhtar berkata, tugas pasukannya adalah mengesan pergerakan komunis di dalam hutan.

"Kita perlu sentiasa berhati-hati dalam operasi mengesan anggota komunis kerana mereka memasang banyak jerangkap samar di dalam hutan,” katanya kepada Sinar Harian di Pejabat Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) di Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mohktar memberitahu, beliau terjumpa banyak binatang seperti monyet, pelanduk dan kancil yang mati terkena jerangkap samar.

"Kita akan mengetahui kawasan itu ada jerangkap samar apabila ternampak bangkai haiwan,” ujarnya.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, anak kelahiran Batu Gajah, Perak itu boleh dianggap bertuah kerana tidak mengalami sebarang kecederaan sepanjang penglibatannya dalam operasi di dalam hutan.

Mohktar (kanan) menyerahkan sumbangan bantuan kepada mangsa banjir di Hulu Langat pada Disember lalu.

BONGKAR 'FOOD DUMP' KOMUNIS

Mohktar masih teringat operasi terakhirnya adalah beliau bersama 12 anggota dan pegawai PPH ditugaskan untuk melaksanakan serang hendap terhadap komunis di satu lokasi dikenali sebagai ‘food dump’.

"Serang hendap itu tidak berjaya kerana musuh tidak muncul di lokasi berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata, ‘food dump’ adalah tempat di mana pengganas komunis akan menanam dan menyimpan bekalan makanan ataupun peluru serta senjata di dalam hutan.

"Selalunya komunis akan menanam bungkusan atau guni kecil ‘food dump’ di dalam tanah atau disembunyikan di dalam pokok besar,” jelasnya.

Menurutnya, tindakan komunis itu adalah supaya ia tidak mudah dijumpai oleh pasukan keselamatan yang melakukan rondaan di dalam hutan.

"Selain itu, pengganas komunis juga tidak perlu membawa beg berat dan pergerakan mereka lebih pantas,” katanya.

Penyerahan bantuan keperluan kepada mangsa banjir Ahli PBPM Hulu Langat pada Disember lalu.

TUGASAN ANGGOTA MENCABAR

Cerita Mokhtar, pengalaman penugasan rondaan di dalam hutan berbeza dengan penugasan rondaan di bandar.

"Penugasan rondaan di dalam hutan mencabar kerana keadaan persekitaran dan bentuk muka bumi, dan kita tidak pasti bila-bila masa kita akan diserang hendap oleh musuh,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui, penugasan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk jenayah siber.

"Anggota PDRM pada masa kini perlu ada pelbagai kemahiran termasuk bidang teknologi maklumat bagi membendung jenayah siber,” tambahnya.

Jelas beliau, anggota PDRM juga perlu mempunyai nilai integriti tinggi dan sentiasa berdisiplin serta memberi perkhidmatan terbaik untuk masyarakat.

"Sifat amanah, telus, bertanggungjawab dan berkhidmat demi kepentingan awam menjadi inti pati kepada istilah integriti serta etika yang patut ada kepada pegawai dan anggota polis,” ujar beliau.

Mokhtar menjelaskan, beliau mula berkhidmat dengan pasukan PDRM pada Disember 1979.

"Saya menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur selama enam bulan,” katanya.

Anak ketiga daripada empat beradik itu menyertai PDRM kerana minat, selain abang, adik dan arwah bapanya juga adalah anggota polis.

"Saya kemudian menjalani latihan di Pusat Latihan Ulu Kinta Perak selama tiga bulan.

"Dalam tempoh itu, saya menimba ilmu peperangan di hutan, serang hendap dan meronda, selain membuat kem di hutan,” ujarnya.

Beliau berkata, tugasan pertama beliau pada usia 19 tahun adalah memburu atau buat ‘pembersihan’ komunis yang aktif di dalam hutan Pahang.

"Selain itu, peranan pasukan saya adalah mengawasi perkampungan Orang Asli, selain membersihkan jerangkap samar,” katanya.

Mohktar bersama Exco PBPM mengadakan perjumpaan dan perbincangan berkenaan Epesara di Bukit Aman.

Mohktar berkhidmat bersama PPH selama tiga tahun sebelum ditukarkan ke Bahagian Tugas Am mencegah jenayah di Kuala Lumpur pada 1983.

"Saya pernah mengendalikan sebuah pondok polis di Cheras selama empat tahun, kemudian saya diserapkan ke Bahagian Cawangan Pencegahan Jenayah.

"Saya kemudian ditukarkan ke Cawangan Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur,” katanya.

Kata Mohktar, semasa perkhidmatan dalam PDRM, beliau banyak menerima sijil penghargaan dan Anugerah Khidmat Cemerlang sepanjang perkhidmatannya selama 22 tahun.

"Ia adalah satu pencapaian yang amat membanggakan. Saya mengambil keputusan untuk bersara secara pilihan dan menceburkan diri dalam bidang perniagaan,” ujarnya.

BERGIAT AKTIF DALAM NGO

Mokhtar berkata, walaupun beliau sudah bersara, semangat perjuangannya tidak pernah padam.

"Saya bergiat aktif dalam PBPM dan telah diberi kepercayaan menjawat jawatan Setiausaha Agung PBPM sejak Jun 2017 hingga Januari 2021.

Mohktar (tengah) bergiat aktif dalam PBPM.

"Saya juga Timbalan Pengerusi PBPM Negeri Sembilan sejak 2017 hingga kini. Saya turut memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Koperasi Bersatu Pengaman Negeri Sembilan Berhad sejak 2006,” tambah beliau lagi.

Mokhtar yang juga Presiden PBPM kesembilan berkata, beliau akan cuba sedaya upaya untuk meletakkan hala tuju persatuan itu di landasan yang betul.

"Di samping memperkasakan kembali PBPM seperti di zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu,” ujarnya.

Beliau menambah, pihaknya sentiasa memberi penghormatan terhadap mereka yang pernah berjuang untuk membela dan menjaga keamanan, kedaulatan agama, bangsa dan negara.

"Terutama mereka yang terkorban di medan perang dan wira yang cacat serta cedera akibat bertempur dengan musuh,” katanya.

Menurutnya, nilai kesedaran, keprihatinan dan pengiktirafan kepada perjuangan mereka perlu diberi perhatian kerana ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial rakyat Malaysia

"Kita menikmati keamanan, keselamatan dan kesejahteraan hidup kerana jasa yang telah mereka curahkan demi anak bangsa pada hari ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, pihaknya sentiasa mengekalkan semangat muhibah dan perpaduan antara ahli bekas polis serta anggota-anggota polis yang masih berkhidmat.

Tegas Mokhtar, pihaknya juga berusaha mempertingkatkan kesedaran, kefahaman dan keprihatinan supaya kemudahan serta peluang pekerjaan, perniagaan, anugerah bintang kebesaran, biasiswa pendidikan yang bersesuaian dapat diutamakan kepada ahli PBPM.

"Kita mahu memupuk sikap prihatin supaya orang ramai mengingati jasa dan pengorbanan bekas polis yang tidak bernasib baik bahawa mereka adalah tanggungjawab kita bersama,” beritahunya.

Beliau berkata, pihaknya menghadapi cabaran mencari dana untuk bantuan kebajikan ahli PBPM.

"Kita perlu mencari dana kewangan yang secukupnya untuk bantuan kebajikan ahli PBPM, namun kos yang tinggi menjadi kekangan untuk membantu ahli secara keseluruhan,” ujar beliau.

Dari segi bantuan, beliau merayu kepada kementerian, syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan masyarakat agar sentiasa memberi sokongan serta sumbangan bagi membantu bekas anggota polis yang telah uzur dan ahli keluarganya meringankan beban.

Mokhtar menambah, hampir 80 peratus ahli PBPM berusia lebih 60 tahun dan segelintirnya menghidap pelbagai penyakit.

Beliau turut menjelaskan, pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu turut memberi kesan kepada ahli PBPM.

"Majoriti ahli PBPM adalah golongan B40 dan segelintirnya asnaf. Kita telah mencari bantuan daripada GLC untuk meringankan beban ahli PBPM itu,” katanya.

Mokhtar berkata, pihaknya menyarankan kerajaan untuk mengkaji semula penyelarasan pencen bekas polis.

"Jurang pencen antara bekas polis lama dan baharu berbeza.Kita menyeru kerajaan memberikan perhatian khusus terhadap isu berkenaan bagi membela nasib bekas anggota polis,” rayunya.

Biodata

Nama : Mokhtar Omar

Tarikh lahir: 12 Jun 1961

Tempat lahir: Batu Gajah Perak

- Pengajian:

1967 - 1972 : Sekolah Kebangsaan Inggeris Batu Gajah Perak

1973 - 1977 : Sekolah Menengah Anglo Chinese Ipoh Perak

- Pekerjaan:

1979 -1983 : Berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan di Bakri Muar Johor

1984 - 1988 : Berkhidmat sebagai Ketua Pondok Polis Taman Midah Cheras

1989 - 1990 : Berkhidmat dalam Unit Risikan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras

1991 - 2002 : Berkhidmat sebagai Detektif Cawangan Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur

- Penghargaan yang diterima ketika bertugas:

19 Mac 1985 : Surat penghargaan daripada Ketua Polis Kuala Lumpur atas kejayaan menumpaskan sindiket cuti kereta di Kuala Lumpur.

9 Oktober 1991 : Surat penghargaan sebagai anggota polis yang aktif, berkemampuan menjalankan tugas dengan cemerlang dan berjaya memainkan peranan dalam hubungan polis dengan masyarakat.

23 Mac 1992 : Surat penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Cheras atas kejayaan tangkapan empat penjenayah bersenjatakan pisau di kawasan perumahan di Cheras.

24 Mac 1992 : Surat penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Cheras atas kejayaan tangkapan penjenayah curi kereta.

9 Jun 1993 : Surat penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Cheras atas kejayaan menumpaskan sindiket pecah rumah di Cheras.

25 Mac 1995 : Surat penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Brickfields atas kejayaan memperoleh maklumat penting dalam tugas Cawangan Khas di Brickfields.

17 Februari 1997 : Sijil Perkhidmatan Cemerlang daripada Ketua Polis Negara atas khidmat cemerlang dalam PDRM.

1998 : Surat penghargaan daripada Ketua Polis Negara atas prestasi cemerlang dalam penugasan Sukan Komanwel di Kuala Lumpur.

21 Julai 2000 : Surat penghargaan daripada Ketua Polis Kuala Lumpur atas kejayaan memperoleh maklumat penting dalam penugasan Detektif Cawangan Khas hingga tangkapan berjaya dilaksanakan.

Disember 2000 : Surat penghargaan daripada Ketua Polis Kuala Lumpur atas kejayaan memperoleh maklumat penting dalam penugasan Detektif Cawangan Khas.

- Pingat Kebesaran yang diterima:

2006 : Mendapat Pingat Khidmat Masyarakat Cemerlang (PMC) dari Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan

2006 : Mendapat Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dari DYMM Sultan Selangor

2017 : Mendapat Pingat Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) dari DYYM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan

Klik di sini untuk terus membaca