UMUM sudah berspekulasi tentang tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Walaupun tarikhnya masih kelabu, namun keriuhannya sudah terasa. Apabila parti politik sudah berlumba-lumba mengumumkan calon poster boy masing-masing, maka jelas PRU15 sekadar menanti masa.
Paling menarik tentulah poster boy itu sendiri. Lazimnya poster boy adalah individu yang diketengahkan parti politik sebagai tokoh utama dalam sesebuah pilihan raya. Selalunya poster boy akan diarak sebagai calon Perdana Menteri atau Menteri Besar sekiranya parti itu menang pilihan raya.
Mengapa poster boy penting? Pertama poster boy menjual kualiti, karisma dan kebolehan individu tertentu yang secara umum dan tidak langsung dikaitkan dengan kredibiliti, agenda serta hala tuju penawaran parti yang diwakilinya selepas mendapat mandat memerintah.
Namun, menjadi poster boy masih belum menjamin kejayaan. Malah ada yang diarak sebagai poster boy sepanjang berkempen dan sudah menang pun tidak juga dapat jadi Perdana Menteri atau Menteri Besar, begitulah.
Jadi, sifat poster boy ini mungkin mirip yang dikatakan Wartawan Penyiaran Berita Canada (CBC), Leslie MacKinnon sebagai a household name but still an enigma (suatu nama yang popular tetapi penuh enigma).
Mengapa enigma? Kerana poster boy bukan sekadar terpampang di poster kempen tapi mampu ‘menghipnotis’ pengundi untuk mengundinya dan parti diwakili.
Kemampuan poster boy berbeza-beza. Tidak ada angkubah yang boleh menerangkan kualiti terpenting untuk menjadi poster boy yang ampuh. Sebagai contoh, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mungkin poster boy yang sangat berkarisma. Lihat bagaimana poster beliau menangis cukup ampuh untuk menarik sesiapa sahaja mengundi Pas.
Namun, karisma juga tidak mampu membawa kemenangan kepada pembangkang yang ‘menjual’ Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai poster boy pada PRU13 sehinggalah Tun Dr Mahathir Mohamad memimpin mereka pada PRU14.
Mungkin legasi Dr Mahathir menyinar ketika beliau diangkat menjadi poster boy Pakatan Harapan (PH) ketika PRU15 tetapi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan hal itu tidak menyumbang langsung kepada partinya.
Kalau hal serupa dikatakan membantu, Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin tidak akan tewas PRU14 kerana legasi keluarga dan prestasinya. Begitu juga fenomena ‘Abah’ Tan Sri Muhyiddin Yassin pada PRN Melaka dan Johor yang disifatkan gagal menarik sokongan.
Perkara itu memperlihatkan bahawa faktor poster boy mungkin tidak menjamin kemenangan mana-mana parti. Namun setiap parti tahu bahawa meletakkan wajah popular dan nama besar untuk menerajui parti dalam pilihan raya adalah sangat penting. Walaupun pilihan raya adalah strategi berpasukan, ketokohan individu tertentu jelas berpengaruh dalam menyuntik keyakinan pengundi untuk mengundi sesebuah parti.
Di sebalik pendekatan konvensional politik hari ini yang berteraskan pengundi – menyasarkan mereka, menggerakkan dan mendapatkan undi dengan mematahkan penawaran parti lawan – faktor poster boy mungkin dilihat sebahagian elemen pemasaran politik.
Apatah lagi, dari perspektif politik pilihan raya, apa juga yang menyentuh tentang calon (terutama yang negatif) akan digunakan untuk menyerang lawan dan mendapatkan kelebihan.
Sudahnya, apabila ia berlaku, pengundi akan menjadi buta dan leka dengan hal tersebut sehingga lupa untuk melihat aspek-aspek lain yang lebih penting daripada calon poster boy itu sendiri.
Di sinilah faktor poster boy itu sekadar camouflage (penyamaran) untuk memesongkan perhatian pengundi daripada melihat secara menyeluruh sesebuah parti politik sebagai organisasi dianggotai pelbagai watak. Ingat, ramai dalam kalangan mereka itu yang oportunis, antagonis dan populis berselindung di sebalik slogan parti yang kononnya ‘berjuang demi rakyat’.
* Mujibu Abd Muis ialah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM), Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca